Komisi Kateketik Malaysia mengadakan mesyuarat tahunan pertama dalam talian di bawah PKP

Gambar skrin yang menunjukkan ahli-ahi yang menghadiri mesyuarat tahunan MCC. (Gambar: Dr Steven Selvaraju)

Oleh Dr Steven Selvaraju

KUALA LUMPUR — Mesyuarat Tahunan Komisi Kateketik Malaysia (MCC) yang sepatutnya diadakan di Kota Kinabalu, Sabah, telah diadakan pada tahun ini menerusi platform dalam talian Cisco Webex pada 11 dan 12 Ogos 2020, dari jam 2.00 petang hingga 5.00 petang setiap hari. Mesyuarat dalam talian itu telah disediakan dengan baik oleh Setiausaha MCC, Frederick Empaga (Keuskupan Miri). Turut menyertai mesyuarat adalah Uskup Agung Julian Leow Beng Kim, selaku Presiden Keuskupan bagi Kateketik, paderi dan religius yang menjadi pengarah atau ketua Komisi Kateketik Keuskupan masing-masing, selain wakil awam jemputan.

Dalam ucapan alu-aluan beliau, Pengerusi MCC, Paderi Nicholas Stephen (Keuskupan Kota Kinabalu), berkata ahli-ahli perlu bermesyuarat menerusi platform dalam talian itu disebabkan oleh pandemik COVID-19. Walaupun kaedah komunikasi ini tidak selalunya yang terbaik, kerana tiada interaksi peribadi di antara satu sama lain, mengambil kira situasi semasa, ia adalah penting bagi MCC untuk mencari cara-cara yang kreatif bagi meneruskan perbincangan dan usahanya.

Dalam ucaptama beliau, Uskup Agung Julian membahagikan tiga pandangan yang penting. Pertama sekali, COVID-19 telah menyebabkan gangguan kepada cara katekesis biasanya dijalankan. Cabaran baharu telah timbul, dan ia wajar dipuji bahawa paderi, katekis dan ibu bapa sedang berusaha sedaya upaya untuk menyesuaikan diri kepada kaedah baharu bagi menyampaikan dan membahagikan kepercayaan kita. Di beberapa buah keuskupan, cabaran-cabaran adalah lebih hebat kerana di kawasan tertentu, akses kepada internet atau malah tenaga elektrik tidak ada.

Kedua, buat masa sekarang, katekisme semuka dan sesi RCIA sudah ditangguhkan. Kepimpinan gereja akan terus memantau keadaan dengan dekat, dan mendengar nasihat pihak berkuasa kesihatan mengenai pembukaan semula kelas-kelas keagamaan. Sementara itu, di beberapa keuskupan tertentu, uskup-uskup sudah mula memberi Sakramen Penguatan, dan paroki-paroki sudah mula mengadakan perayaan liturgi untuk penerimaan Sakramen-Sakramen Inisiasi bagi orang dewasa yang sudah selesai menjalani proses RCIA.

Ketiga, Uskup Agung menyuarakan kebimbangan mengenai cara anak-anak kita dan golongan muda diberi ajaran katekisme. Beliau tertanya-tanya sama ada masanya sudah tiba ataupun belum untuk menjalankan penilaian yang sistematik ke atas metodologi dan kandungan kateketik yang sedang digunakan sekarang, selain peranan katekis dan ibu bapa. Menurut Uskup Agung itu, “Mungkin kita perlu mencari cara baharu untuk membahagikan kepercayaan kita kepada generasi akan datang … dan oleh yang demikian, semua saluran, semua bidang komunikasi perlu digunakan dan tidak bergantung kepada kaedah tradisional”. 

Maka itu Uskup Agung Julian mencadangkan agar Hari Kajian dianjurkan bagi ahli-ahli MCC selain peserta jemputan, terutamanya dari golongan belia, untuk berbincang dan “mencambah otak” tentang isu berbangkit. Hari Kajian dijadualkan pada 29 September 2020.

Di antara perkara-perkara penting yang dibincangkan pada hari pertama mesyuarat adalah Hari Minggu Kateketik pada tahun depan. Pada 2021, Hari Minggu Kateketik jatuh pada 31 Januari 2021, dan tema yang dipilih adalah ‘Jemaat Paroki: Ejen-ejen Iman, Harapan dan Kasih’ (1 Kor. 13:13). Ia mengetengahkan peranan paroki sebagai ejen iman, harapan dan kasih dengan mengambil kira keraguan, ketakutan dan keresahan yang disebabkan oleh pandemik COVID-19. Tema tersebut dipilih kerana MCC sudah memutuskan bahawa Fokus Strategik bagi Katekesis pada 2021 adalah “Jemaat Paroki”. Usaha akan dibuat agar perutusan Hari Minggu Kateketik 2021 disediakan dan diterjemahkan, dan dihantar ke paroki-paroki pada hujung November 2020.

Pada hari kedua, antara perkara yang dibincangkan adalah kemungkinan memperkenalkan lebih banyak topik kepada sukatan pelajaran sekarang bagi kelas Penguatan. Topik-topik ini tidak akan dimasukkan ke dalam buku teks tetapi akan disediakan secara berasingan sebagai topik-topik tambahan untuk dipilih dan digunakan oleh katekis jika dia menganggap ia perlu. Sebuah pasukan telah ditubuhkan untuk meneliti perkara itu.

Pada hujung hari kedua, masa telah diberikan kepada ahli-ahli untuk menceritakan bagaimana setiap keuskupan menyahut kepada cabaran yang ditimbulkan oleh pandemik COVID-19. Kebanyakan keuskupan mengambil pendekatan yang berhemah dengan tidak membenarkan kelas semuka. Di mana kemudahan dan peralatan sedia ada, kelas dikendalikan dalam talian. Kaedah lain termasuk sentiasa berhubung dengan pelajar menerusi WhatsApp atau aplikasi media sosial lain.

Di antara masalah-masalah yang dibangkitkan oleh keuskupan adalah bagaimana untuk menyelesaikan isu-isu berhubung sukatan pelajaran yang tidak siap atau pelajar yang tidak hadir. Sehubungan ini, contohnya, dapatkah pelajar menerima Sakramen Komuni Kudus atau Penguatan? Jika sukatan pelajaran tidak siap, adakah seluruh kelas akan dilanjutkan selama setahun lagi? Sebagai jawapan, Uskup Agung Julian menyatakan bahawa keputusan mengenai perkara tersebut dan perkara berkaitan diserahkan kepada uskup masing-masing, dan atas arahan mereka, kepada paderi paroki. Setiap keuskupan dan paroki mempunyai cabarannya yang unik, dan perlu bertindak menurut keperluannya.

Mesyuarat MCC seterusnya akan diadakan di Kuching, Sarawak, dari 5–8 Julai 2021, jika keadaan mengizinkan. Jika tidak, mesyuarat akan dikendalikan dalam talian.

(Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: Malaysian Catechetical Commission holds first annual meeting online under MCO

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.