Panggilan Hidup Saya

Oleh Fr Galvin Ngumbang

Fr Galvin Ngumbang

Keluarga kecil kami dahulunya hanya pergi sembahyang setiap hari minggu dan bergerak aktif dalam Blok Rosari di taman perumahan kami. Saya mendapatkan pendidikan Agama di SK dan SMK St Joseph, Kuching. Saya masih ingat lagi apabila saya berumur lapan tahun, waktu itu keluarga kami menghadiri Misa Kudus di Katedral St Joseph, Kuching dan saya melihat seorang paderi mengangkat Hostia sewaktu konsekrasi. Saya memberitahu ibu saya, “mummy, saya mahu seperti dia satu hari nanti”, kerana saya tertarik kepada juba yang dikenakan paderi tersebut. Ibu saya memarahi saya dan menyuruh saya diam, kerana tidak mahu mengganggu perjalanan Misa Kudus tersebut.

Apabila saya menyediakan diri untuk peperiksaan PMR pada tahun 1998, saya kerap mengikuti rakan-rakan saya untuk berdoa di hadapan Hostia Kudus yang tersimpan di Chapel La Salle Brothers di SMK St Joseph. Saya tidak pandai berdoa, dan saya hanya memohon supaya Tuhan akan menolong saya untuk lulus dalam peperiksaan tersebut. Apabila saya mendapat keputusan PMR tersebut, saya betul-betul terkejut dan tidak menyangka yang Tuhan akan mendengar doa saya. Peristiwa ini membuatkan saya bertanya, “adakah saya ini begitu istimewa sehinggakan Tuhan mendengar doa saya? Siapakah saya ini di hadapan Tuhan Allah?

Selepas menamatkan pengajian saya di SMK St Joseph, saya bertanyakan kepada diri saya, “apakah yang saya mahu lakukan selepas SPM? Saya mahu mencari peluang untuk melanjutkan pelajaran supaya saya dapat pekerjaan yang baik dan mungkin berkeluarga satu hari nanti.” Tiba-tiba satu persoalan timbul: “adakah Tuhan memanggil saya untuk menjadi seorang paderi?” Saya mencari alasan untuk menepis panggilan Tuhan itu. Pada masa itu juga saya mendapatkan tawaran untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara Kampus Samarahan. Di akhir pengajian saya di Universiti, saya bertanyakan soalan yang sama kepada diri saya, “apakah yang saya mahu lakukan selepas saya bergraduasi? Saya mahu dapatkan pekerjaan yang baik dan mungkin berkeluarga satu hari nanti.” Tiba-tiba persoalan itu timbul lagi: “adakah Tuhan memanggil saya untuk menjadi seorang paderi?”

Saya marah dengan Tuhan kerana pada masa itu saya ada menjalinkan hubungan dengan teman wanita saya. Saya mengatakan TIDAK kepada Tuhan dan memohon agar Tuhan memberikan saya pekerjaan yang baik. Sekali lagi Tuhan mengurniakan saya dengan peluang pekerjaan yang baik. Saya bekerja sebagai Pembantu Penyelidik di Universiti Teknologi Mara Kampus Samarahan selama satu setengah tahun dan kemudiannya sebagai Penolong Pegawai Sains di Lembaga Lada Malaysia Cawangan Sibu selama tiga tahun. Saya amat gembira dengan pekerjaan saya, berjumpa dengan para pekebun lada dan berinteraksi dengan mereka. Namun, saya merasakan terdapat ada kekosongan di dalam jiwa ini dan saya tertarik untuk menghadiri “Holy Hour” pada setiap hari Khamis di Katedral Sacred Heart Sibu. Jiwaku merasakan tenang dan merasakan jiwa ini dipenuhi dengan damai Tuhan setiap kali menghadiri “Holy Hour” tersebut.

Apabila saya merenungkan kehidupan ini saya selalu mendapatkan apa jua yang saya mahukan dan Tuhan sentiasa mendengar doa saya. Ini merupakan bukti tanda Tuhan itu ada bersama di dalam kehidupan ini dan memberikan saya kekuatan untuk mengatakan YA kepada panggilan Tuhan. Pada bulan September 2009, setelah saya menghubungi Fr Simon Poh, pada ketika itu, saya menulis perletakan jawatan saya kepada ketua jabatan dan juga sepucuk surat lagi ditujukan kepada ibu saya untuk memberitahu beliau bahawa saya telah meletakan jawatan dan akan memasuki seminary pada tahun 2010. Setelah dua minggu berlalu, barulah kakak saya menelefon saya memberitahu bahawa ibu saya telah menerima surat tersebut. Hatinya remuk, jiwanya bersedih, kerana anak lelaki tunggalnya akan meninggalkannya. Namun, setelah beberapa bulan, ibu saya merelakan saya untuk belajar di seminary dan beliau mengiringi saya dengan restu dan doanya.

Kehidupan di seminary bukanlah yang indah-indah belaka. Ada masanya bergembira dan juga ada masanya berputus asa, tetapi apa yang menyebabkan saya kekal dan tabah mengatasi semuanya adalah saya merasakan Tuhan itu setia bersama dengan saya di dalam suka dan duka sepanjang pembentukan seminary saya dan melalui cabaran itu, saya diperkuatkan dalam iman dan panggilan saya.

Pada permulaan pembentukan terdapat sembilan orang rakan termasuk saya sendiri. Namun, pada tahun kedua Philosophy, hanya saya dan seorang rakan saya sahaja yang masih meneruskan perjalanan ini. Pada mulanya, saya bertanya adakah Tuhan itu memanggil saya atau tidak? Persoalan ini membuatkan saya betul-betul berfikir dan mendalami panggilan Tuhan dalam diri ini. Panggilan ini juga dikukuhkan lagi apabila saya menjalani kerja-kerja pastoral dimana saya dicabar untuk memahami siapakah seorang paderi itu dan paderi yang bagaimanakah yang mahu saya ikuti suatu hari nanti. Tuhan itu setia dan penuh dengan cintakasihnya.

Dengan berkat Tuhan Allah, saya telah ditahbiskan menjadi seorang paderi pada 22 September 2017 dan sekarang melayani di Katedral St Joseph, Kuching. Inilah panggilan Tuhan untuk saya: menjadi pelayan-Nya yang setia dan pewarta cintakasih Tuhan kepada semua orang yang mencarinya.

Tuaian banyak sekali, tetapi penuai hanya segelintir (Mt. 9:37). Mahukah anda menjadi penuai di ladang Tuhan, sekiranya Tuhan memanggil anda? Janganlah takut! Sekiranya anda merasakan terpanggil untuk melayani sebagai seorang paderi, bolehlah menghubungi paderi-paderi di paroki anda.



LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.