Perayaan Jubli Perak – Pentahbisan Kepaderian Uskup Richard Ng

Uskup Richard Ng dengan keluarganya - 17 Februari 2020 (Foto: Stephen Then)

Oleh Stephen Then

MIRI — 25 tahun lalu, Fr Richard Ng memulakan perjalanan kepaderian beliau untuk memberi khidmat kepada kerajaan Allah di Sarawak.

Pada hari ni, benih kepercayaan beliau sudah membesar menjadi sebatang pokok gergasi yang menyaksikan beliau menjadi Uskup Richard – dan memimpin kira-kira 90,000 orang Katolik di Keuskupan Miri.

19 tahun sebagai paderi dan enam tahun sebagai Uskup Miri – Roh Kudus telah memimpin beliau sepanjang perjalanan beliau.

Uskup Richard mengalu-alukan peluang untuk melayani Allah dengan setia selama bertahun-tahun lagi dan memimpin jemaat paroki dalam Keuskupan Miri pada laluan yang betul menuju ke Syurga. 

Di antara keutamaan beliau adalah untuk melihat jemaat dalam Keuskupan Miri bukan sahaja membangunkan kepercayaan mereka dengan cara yang betul, tetapi juga melihat mereka mengamalkan ciri-ciri Sabda Kebahagiaan di dalam kehidupan harian mereka seperti yang ditunjukkan oleh Tuhan kita Yesus ketika Putera Allah berjalan di muka bumi dan membawa penyelamatan ke dunia.

Misa Pentahbisan Kepaderian Uskup Richard Ng ke-25 di St Joseph’s Cathedral, Miri – 17 Februari 2020. (Foto: Stephen Then)

Uskup Richard bercakap mengenai kisah rohani beliau – dalam kata-kata beliau sendiri.

“Saya ditahbis bersama Fr Patrick Heng pada 18 Februari 1995. Kami ditahbis oleh Uskup Agung Peter Chung di Katedral St Joseph Kuching.

Ia adalah perayaan yang penuh kegembiraan dan ramai orang hadir untuk menyaksikan pentahbisan itu, termasuk jemaat yang menaiki beberapa buah bas dari Paroki St Jude, Bunan Gega di mana saya melayani sebagai seorang diakon.

Selepas pentahbisan, saya terus melayani di Paroki St Jude sebagai paderi penolong. Saya rasa itu adalah masa yang paling menyeronokkan dalam kepaderian saya. Saya muda, bertenaga dan sangat suka melakukan lawatan ke kawasan pedalaman untuk pergi ke kampung-kampung. Ini biasanya dibuat dengan berjalan kaki dari Isnin hingga Jumaat. Pada hujung minggu, saya akan kembali ke paroki dan merayakan Misa Hari Minggu di stesen luar yang lebih besar.

Orang di sana adalah petani yang sederhana dan sangat baik hati dan memberi sokongan kepada paderi dan katekis mereka. Saya sangat bersyukur kepada paderi kanan, katekis dan ketua awam yang membimbing saya dengan kebijaksanaan dan persahabatan mereka. Kami seronok bersama sambil menikmati kehidupan sederhana di kawasan pedalaman. Selain itu, gangguan tidak banyak kerana kami tidak ada internet dan platform media sosial ketika itu.

Selepas beberapa tahun, saya ditugaskan ke Paroki Serian, sebuah paroki besar dengan kira-kira 100 buah stesen luar. Perbezaan besar dengan paroki Bunan adalah sistem jalan yang lebih baik. Saya tidak perlu banyak berjalan tetapi terpaksa memandu dan kadang-kadang menaiki bot. Sekali lagi saya kebanyakan waktu melawat pelbagai kampung untuk merayakan Ekaristi dan sakramen lain.

Selepas setahun, saya ditugaskan ke katedral, paroki asal saya. Kehidupan dalam paroki bandar raya adalah berbeza daripada paroki luar bandar. Saya tidak lagi melakukan lawatan dengan kerap untuk merayakan Misa di stesen luar, sebaliknya orang datang untuk berjumpa dengan paderi mereka di pejabat dan waktu malam diisi dengan mesyuarat dan program lain. Jangkaan juga berbeza dan jemaat amnya lebih berpendidikan, canggih dan mendesak.

Pada 1999, saya telah dihantar ke Rom untuk melanjutkan pengajian. Ini adalah waktu yang mencabar bagi saya sebagai seorang pelajar sekali lagi dan terpaksa mempelajari beberapa bahasa baharu dan lebih penting lagi, lulus peperiksaan.

Menerui rahmat Allah, saya cekal dan dan lulus pada 2003. Masa saya di Itali dan Rom begitu menyeronokkan dan saya rasa diberkati kerana dapat pergi ke pelbagai bandar raya dan melawat banyak gereja dan tempat suci yang cantik. 

Saya juga berpeluang untuk berjumpa dengan Pope John Paul II.

Selepas saya pulang ke tanahair, saya ditugaskan untuk mengajar Kitab di Kolej St Peter. Saya mengajar di seminari selama 10 tahun dan ini adalah tahun-tahun yang menyeronokkan.

Saya rasa amat berpuas hati melihat pelajar meningkat dalam keyakinan, kebijaksanaan dan kematangan ketika mereka menjalanu formasi seminari dan akhirnya ditahbis. Saya juga ada lebih banyak masa yang terluang berbanding dengan kehidupan dalam paroki dan saya dapat menikmati hobi berbasikal saya dan pada waktu cuti seminari, saya dapat mengetuai ziarah. Namun masa sedih juga ada terutamanya pada hujung setiap tahun akademik apabila kami terpaksa membuat keputusan yang sukar mengenai masa depan pelajar-pelajar tertentu.

Pada keseluruhannya, saya gembira di seminari sehingga saya menerima panggilan telefon yang tidak dijangkakan dari Nunsio untuk berjumpa dengan beliau di pejabat beliau pada Oktober 2013.

Bila saya tiba, beliau memberitahu saya bahawa Pope Francis telah melantik saya untuk menjadi Uskup Miri dan meminta kebenaran saya ketika itu juga. Dengan hati yang berat, saya kata ya untuk mematuhi Paus. Selama 10 tahun saya cuba memupuk nilai kepatuhan dalam seminarian. Sekarang ia adalah masa bagi saya untuk mengerjakan apa yang saya ajar. Saya menerima pelantikan saya pada 30 Oktober 2013.

Saya berkhidmat sebagai seorang paderi dalam Keuskupan Agung Kuching selama 19 tahun dan sebagai Uskup Miri selama enam tahun. Waktu kepaderian saya di Kuching adalah antara waktu yang paling menggembirakan dalam hidup saya. Kehidupan sebagai seorang uskup adalah sangat berlainan dengan cabaran dan kepuasannya yang tersendiri. Saya rasa paling puas hati apabila saya melawat rumah panjang dan paroki stesen luar yang banyak dalam keuskupan dan mengenali jemaat. Pada amnya, orang ramai sangat baik hati, ramah mesra, murah hati dan menerima. Saya mendapati ia penting bagi saya sebagai uskup untuk melawat dan meluangkan masa bersama jemaat saya. Saya menghabiskan kira-kira 80% pada hujung minggu dalam masa setahun untuk melawat paroki dan rumah panjang dan saya mencatatkan perjalanan melebihi 10,000 km setahun.

Fokus utama saya buat masa sekarang adalah untuk membangunkan presbiterium, mendirikan infrastruktur yang perlu di paroki dan keuskupan, melatih lebih ramai katekis untuk menginjil dan memberi lebih banyak pembentukan iman kepada jemaat selain membina chapel, gereja dan kemudahan lain untuk menampung keperluan jemaat yang sentiasa meningkat.

Mengimbau pengalaman saya selama 19 tahun sebagai seorang paderi dan enam tahun sebagai seorang uskup, saya dapat benar-benar menyatakan bahawa saya cekal sehingga ke hari ini hanya menerusi rahmat Allah dan kasih Bonda Maria. Saya bersyukur kepada Allah di atas anugerah panggilan dan kerana mendekatkan saya ke hatiNya pada waktu sukar. Saya juga berterimakasih kepada Bonda Maria kerana menjadi ibu saya yang menjaga saya. Saya berterimakasih kepada ibu bapa dan keluarga saya di atas kasih sayang dan sokongan mereka. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua paderi, religius, seminarian, katekis dan jemaat di atas persahabatan, doa-doa, penjagaan dan keprihatinan mereka selama ini. Semoga Allah memberkati anda semua.”

(Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: Silver Jubilee Celebration – Sacerdotal Ordination of Bishop Richard Ng

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.