Oleh Maria Amella
KOTA PADAWAN — Program Kuching Archdiocesan Youth Apostolate 28 telah melabuhkan tirainya pada 17 Februari 2020 yang lepas. Program ini telah bermula pada 13 Januari sehingga 17 Februari 2020. Misa Kudus penutupan program telah dirayakan oleh Bapa Uskup Agung Kuching sendiri, Uskup Agung Simon Poh. Turut hadir bersama paderi-paderi dari paroki-paroki di Kuching. Uskup Agung Simon Poh dalam ucapanya berharap para peserta KAYA ini dapat memimpin dan terus melayani di mana sahaja mereka berada dengan ilmu dan nilai baik yang telah dipelajari sepanjang lima minggu di program KAYA.
Hanya seramai 105 orang peserta dari pelbagai paroki di bawah Keuskupan Agung Kuching telah berjaya menamatkan penyertaan mereka dalam program tersebut daripada 108 yang telah mendaftar pada hari pertama program. Mereka ini terdiri daripada peserta dari Paroki St Joseph Kuching, Paroki Blessed Sacrament BDC , Chapel of Mother Mary Stutong, Paroki St Stephen Bau, Paroki Holy Spirit Lundu, Paroki St Theresa Serian, Paroki St Jude Bunan-Tebedu dan Paroki Our Lady Queen of Peace, Simanggang. Turut membantu dalam menjayakan program ini, Sr Catherine Uming, Sr Evelyn, Seminarian Henrry Umar dan 14 facilitator dan tujuh helpers sambilan yang membantu di dapur.
Berikut adalah testimony dari para peserta KAYA28:
I have learnt an abundance of things from being a participant of this camp, especially the various kinds of prayers. This camp has taught me that Praise and Worship is not just a mere performance, but a form of prayer. Thanks to this camp, I have gained a deeper understanding about Praise and Worship and can now feel God’s love in a different way. There are many things I am so grateful for. One of them is the perseverance of the facilitators in serving. I am extremely grateful for the amazing facilitators who have guided us in almost everything throughout the whole camp. – Arthur Awai Anak Bernard dari St Joseph’s Cathedral
Pada awalnya, saya berasa ragu-ragu ingin menyertai program KAYA28 ini. Hal ini kerana, saya satu-satunya wakil dari paroki Chapel of Mother Mary. Pengalaman saya di program KAYA28 ialah saya mempelajari banyak perkara yang sebelum ini saya tidak tahu. Saya belajar tentang cara mengendali misa, Taize, Divine Mercy, Rosari dan banyak lagi. Di sana juga saya belajar hidup berdikari kerana tidak pernah berjauhan dari keluarga. Saya sangat bersyukur kepada Tuhan kerana saya diberi peluang menyertai program KAYA28. – Maria Mikhaelia anak Jackson dari Chapel of Mother Mary Stutong
Selain belajar berdoa, saya juga belajar untuk mengamalkan sikap berdikari, bekerjasama dan menjadi pemimpin yang bertanggungjawab dalam kumpulan. Di samping itu, melalui program outreach, saya juga belajar untuk berkomuniti dengan penduduk di bandar dan di luar bandar terutama sekali bersama keluarga angkat dengan pelbagai cara seperti melaksanakan program di gereja atau di rumah keluarga angkat. Dengan ini, hubungan silaturahim antara sesebuah komuniti dapat dieratkan melalui cinta kasih Tuhan. – Elsy Froser anak Gorin dari St Ann, Kota Padawan
Perkara yang telah saya pelajari sepanjang KAYA 28 ini ialah cara untuk memimpin dan menjadi seorang pemimpin yang bertanggungjawab untuk melayani serta menarik umat dan para belia untuk turut serta dalam melayani di gereja. Selain itu, perkara yang amat saya hargai sepanjang KAYA 28 ini ialah pelbagai talk/ceramah yang diberi oleh para paderi dan penceramah. Saya yakin setiap daripada ceramah ini amat berguna dan dapat membantu saya selepas tamat program KAYA 28 ini serta dapat memperkukuhkan lagi iman saya terhadap gereja. – Alvin Tumah dari St Stephen, Bau
Antara perkara yang telah saya pelajari sepanjang KAYA28 ini ialah saya telah belajar bagaimana untuk menjadi seorang leader yang berani menyahut cabaran dalam setiap aktiviti seperti Praise and Worship, doa Rosari, Misa Kudus, Holy Hour, dan sebagainya. Selain itu, saya juga telah belajar bagaimana hendak menepati masa yang telah diberikan oleh para facilitator kepada kami. Hal ini demikian, kerana ini dapat mengajar kami supaya menjadi lebih berdisiplin dan patuh pada masa yang telah ditetapkan. – Kelly Lyzz Anak Domanic dari St Theresa, Serian
Apa yang saya pelajari sepanjang KAYA28 ialah BELIA ADALAH TERANG GEREJA. Komuniti kampung mahupun bandar memerlukan tenaga, idea dan semangat pasukan kerana menurut pendapat saya belia adalah pewaris untuk masa depan, jatuh dan bangun keteguhan iman gereja. Perkara yang saya hargai ialah ilmu keagamaan yang diturunkan dari penceramah kepada kami seperti cara berdoa untuk Divine Mercy, praise and worship dan sebagainya yang boleh kami sebarkan kepada belia gereja-gereja untuk menyatu pasukan dan memperkasakan iman para belia di paroki kami. – Mark Alyfrin anak Dominick dari Holy Spirit, Lundu
Perkara yang saya hargai sesi yang berguna dan bermanfaat yang disampaikan oleh penceramah jemputan terutamanya sesi I-Chat. Saya sangat tersentuh dengan isi kandungan tentang I-Chat dan tayang video yang boleh membantu saya dalam mempertahankan iman saya. KAYA juga telah membantu diri saya dalam perkongsian tentang ajaran agama Katolik dan juga membantu saya untuk mengetuai semua jenis doa yang diajarkan untuk dikongsikan dengan belia lain. – Miranda Anak Poleon dari St Jude Bunan-Tebedu
Kuching Archdiocesan Youth Commission @ KAYC ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penderma yang telah menyumbang kewangan dan makanan untuk jayakan program KAYA ini. Juga kepada mereka yang telah membantu secara langsung dan tidak langsung khasnya kepada umat dari setiap paroki dan luar keuskupan agung Kuching. Kami sangat menghargai setiap doa dan sokongan anda banyak membantu dalam menjayakan program ini.