PONTIANAK, Indonesia — Kongres Nasional (KONGNAS) III Komuniti Kerasulan Kerahiman Ilahi di Indonesia telah dihadiri seramai 670 orang peserta, termasuk uskup, paderi, religius dan peserta pelayanan Kerahiman Ilahi dari setiap daerah dan juga luar negara.
KONGNAS III ini, yang diketuai Monsignor Anicetus Sinaga OFM, iaitu Uskup Agung Emeritus Keuskupan Agung Medan, berlangsung pada 11-13 Oktober lalu di dewan Hotel Kapuas Palace, Pontianak.
Pembukaan KONGNAS III telah diadakan di Katedral Santo Yosef Pontianak yang diketuai Keuskupan Agung Pontinak iaitu Msgr Agustinus Agus dan dirasmikan oleh Wakil Gabenor Kalimantan, Indonesia.
Kebaktian Kerahiman Ilahi ini sudah membangun di setiap negara pada peringkat paroki mahupun pada peringkat keuskupan. Kuching dan Sabah diwakili 50 orang peserta yang diketuai Uskup Agung Simon Poh dari Kuching. Beliau mahu peserta menimba pengalaman agar dapat diterapkan di paroki masing-masing dalam Keuskupan Agung.
Tema bagi Kongres ini ialah ‘Engkaulah Bunga Kasih, dan Buah Kerahimanku’ (BHF 948) dan dikendalikan oleh lima orang penceramah. Dalam sesi ini, peserta telah mempelajari tentang Kerahiman Ilahi dan juga Cara Kebaktian Kerahiman Ilahi.
Ceramah yang disampaikan juga ditutup dengan sesi soal jawab bersama penceramah yang disoal tentang kebaktian itu. Sesi ini diakhiri dengan perkongsian kesaksian oleh Puan Cynthia.
KONGNAS IV pada tahun 2022 akan diadakan di Makasar, Sulawesi.
Charles Baba