Pemberkatan rasmi Gereja Santo Michael, Teng Bukap

TENG BUKAP — Pada 29 September yang lalu, Gereja St Michael, di Teng Bukap, Padawan, yang merupakan sebuah gereja di bawah naungan Paroki St Anna, telah mencatatkan peristiwa bersejarah dengan melangsungkan majlis perasmian pembukaan bangunan gereja baharu yang disambut secara serentak dengan Hari Pesta Penaung gereja tersebut iaitu Santo Michael Malaikat Agung.

Sebelum bermulanya majlis perasmian Gereja St Michael pada jam 4.00 petang, jemaat telah mengadakan Kebaktian Sabda di gereja kampung masing-masing seawal jam 8.00 pagi.

Program Hari Pesta St Michael tahun ini bermula dengan aktiviti membeli sambil beramal dalam jualan pelbagai produk pada peringkat kampung masing-masing, dan juga jualan tiket cabutan bertuah. Kemeja rasmi gereja St Michael Teng Bukap turut dijual bagi tujuan tersebut.

Jemaat dari segenap pelosok Paroki St Anna yang turut hadir sungguh teruja dan gembira untuk menyaksikan dan mengikuti Misa Perasmian Gereja Baharu ini, termasuk barisan ketua-ketua kampung dan tetamu-tetamu khas yang dijemput.

Misa perasmian bangunan gereja pada jam 4.00 petang dimulakan dengan paluan gong dan tarian tradisional oleh belia dari Kampung Gayu.

Pembukaan tirai plak perasmian gereja dan pemotongan reben oleh Uskup Agung Simon Poh adalah simbolik bagi upacara perasmian gereja.

Rektor Paroki St Anna, Friar William Lee, OFM dan barisan friar lain di paroki ini iaitu Friar David Au, Friar Don Don Ramerez dan Diakon Cruzender Alex semuanya hadir bersama Uskup Agung untuk merayakan Misa bersejarah ini.

Mantan Rektor Paroki St Anna, Friar Gerard Victor, turut melakukan kunjungan khas dari Singapura untuk menyertai perasmian tersebut.

Dalam Misa, Uskup Agung Simon menyampaikan mesej penting daripada Pope Francis  kepada jemaat dalam kuthbahnya.

Sempena juga dengan Hari Minggu Migran, beliau menyeru agar umat Kristian sentiasa ingat akan empat patah perkataan iaitu “to welcome, protect, promote and integrate” (mengalu-alukan, melindungi, menggalakkan dan menyerap) dalam penerimaan saudara dan saudari asing sebagai satu keluarga berdasarkan nilai kemanusiaan dalam cinta kasih Yesus Kristus, tanpa mengira latar belakang, bangsa dan agama kerana mereka juga merupakan ciptaan Tuhan sama seperti kita.

Dalam misa tersebut, Uskup Agung juga telah mengambil kesempatan untuk melancarkan Terjemahan Baru Misa Biatah berdasarkan Missal Roma 2010. Usaha ini telah dijalankan oleh Jawatankuasa Bahasa Bidayuh Biatah di bawah naungan Paroki St Anna dengan sokongan padu dari Keuskupan Agung Kuching.

Sebelum Misa Senja selesai, Kevin Jindes selaku Pengerusi Gereja St Michael Teng Bukap telah menyampaikan ucapan ribuan terima kasih kepada penyumbang yang telah bersama berganding bahu dalam usaha mengumpul dana untuk menyempurnakan pembinaan bangunan Gereja St Michael Teng Bukap, yang kini kukuh dan tersergam indah.

Friar William Lee selaku Rektor juga telah berjaya mengumpul dana dan menyerahkan sumbangan yang dikutipnya daripada penyumbang ikhlas termasuk dari Singapura. Cek sumbangan bagi pembangunan Gereja St Michael Teng Bukap telah diserahkan kepada Kevin Jindes selaku Pengerusi St Michael Teng Bukap.

Selain itu, Gereja St Micheal turut menerima sumbangan daripada Kerajaan Negeri Sarawak menerusi UNIFOR (Unit untuk Agama-Agama Lain) yang bernilai RM300,000.00.

Cek disampaikan melalui Datuk Roland Sagah Wee Inn, Menteri Muda Permodenan Pertanian Pembangunan Tanah Adat Wilayah Sarawak, pada petang tersebut.

Roland Sagah dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada jemaat St Michael kerana semangat dan ketegasan yang dimiliki mereka untuk menyiapkan gereja baharu ini.

Setelah itu, kunci simbolik dipersembahkan kepada Uskup Agung Simon Poh oleh kontraktor utama projek sebagai tanda penyerahan rasmi gereja tersebut.

Penyampaian cenderahati disempurnakan kepada tetamu kehormat iaitu Uskup Agung Simon Poh dan Roland Sagah sebagai tanda penghargaan ikhlas daripada seluruh jemaat dalam zon Temg Bukap kerana sudi hadir ke majlis perasmian itu.

Majlis turut menyaksikan acara pemotongan kek sempena Hari Pesta Gereja St Michael.

Selepas Misa, hadirin dihidangkan pelbagai juadah makan malam bersama para friar dan Uskup Agung. Terdapat juga persembahan tarian moden yang disampaikan oleh kumpulan belia dari Kampung Peraya yang memeriahkan lagi suasana pada malam tersebut.

Program malam itu diteruskan dengan hiburan ringan dan cabutan tiket bertuah. Majlis melabuhkan tirainya kira-kira jam 9.00 malam.

Tuntasnya, penyempurnaan pembinaan Gereja St Michael Teng Bukap ini dapat menyatukan seluruh jemaat dalam zon Teng Bukap bersama Paroki St Anna untuk bersatu teguh dalam memperkukuhkan iman Kristiani dan dalam pembangunan gereja.

Untuk menonton video penuh Upacara Misa Perasmian Gereja Baharu ini, silalah lakukan carian di Laman Facebook Rasmi ‘St. Michael’s Church Teng Bukap, Padawan”.

Angelina Raj

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.