Gereja St Anne di Pulau Pinang menerima status basilika kecil

St Anne's Church, Bukit Mertajam (Photo: Boon Tiong)

GEORGE TOWN — Gereja St Anne yang ikonik di Bukit Mertajam telah dinaikkan ke darjat sebuah basilika kecil.

Gereja ziarah Roman Katolik ini, yang diasaskan pada 1846 oleh misionari Perancis dari Persatuan Misi Asing Paris, bakal menjadi basilika pertama di Malaysia.

Sekarang terdapat empat basilika besar di Rom, manakala beberapa basilika kecil terletak di bahagian lain di dunia.

Ketika beliau mengalu-alukan berita ini, Uskup Sebastian Francis dari Pulau Pinang berkata penghormatan yang diberikan kepada gereja itu turut dikongsikan oleh ramai penziarah dari semua kerakyatan, kaum dan agama yang telah melawat gereja bersejarah itu.

“Mereka telah merasai dialu-alukan di sini dan inilah yang telah menjadikan gereja ini satu simbol bagi keharmonian antara agama,” katanya kepada akhbar New Straits Times.

Beliau berkata Keuskupan Pulau Pinang telah menerima dekri dari Kongregasi bagi Penyembahan Ilahi dan Disiplin Sakramen-Sakramen di Rom bertarikh 5 September lalu yang memberi gelaran ‘Minor Basilica’ (Basilika Kecil) kepada Gereja St Anne.

“Rasa syukur dan terima kasih saya yang mendalam ditujukan kepada semua orang di atas sokongan doa mereka dalam pencapaian yang signifikan dan bersejarah ini bagi Keuskupan Pulau Pinang, Gereja Malaysia dan seluruh rantau ini,” kata Uskup Francis, selain menambah bahawa upacara pelancaran rasmi Basilika Kecil St Anne akan diumumkan selepas tarikh dimuktamadkan nanti.

Basilika kecil merupakan sebuah bangunan gereja Katolik yang telah diberi gelaran basilika oleh Takhta Suci.

Buat masa sekarang, dekri yang memberikan kelulusan itu diberikan oleh paus menerusi Kongregasi bagi Penyembahan Ilahi dan Disiplin Sakramen-Sakramen.

Rancangan untuk memohon status basilika bagi Gereja St Anne pertama kali muncul pada 2012, apabila Uskup Francis dilantik sebagai Uskup bagi Keuskupan Katolik Pulau Pinang.

Idea itu kemudian dilaporkan disokong oleh Uskup Agung Joseph Salvador Marino, nunsio apostolik dan duta Vatikan ke Malaysia, yang tiba di negara ini pada 2013.

NST (Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris:

St Anne’s Church in Penang gets minor basilica status

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.