Pope Francis rasmi Bulan Misionari dengan seruan untuk berkongsikan kegembiraan, harapan, bakat

Pope Francis memberi penghormatan kepada relik-relik St Therese di Lisieux, St Francesco Saverio dan Pauline-Marie Jaricot sewaktu vigil doa untuk merasmikan bulan yang diabadikan kepada misionari, di Basilika St Peter di Vatikan pada 1 Oktober lepas. (Foto: CNS)

KOTA VATIKAN — Allah mahu semua orang mengambil risiko untuk berkongsi pemberian yang Dia telah berikan kepada mereka – kehidupan dan bakat mereka serta kasihNya – dengan orang lain, kata Pope Francis.

Ketika merasmikan Bulan Misionari Luar Biasa di vigil doa di Basilika St Peter pada 1 Oktober lepas, Bapa Suci berkata Allah “meminta anda untuk bukan sekadar menjalani kehidupan, tetapi untuk memberi kehidupan; tidak merungut mengenai kehidupan, tetapi turut menangis bersama semua yang menderita”.

Sambil memberi galakan, Bapa Suci berkata: “Allah menjangkakan perkara yang hebat daripada anda. Dia juga menjangkakan sebahagian daripada anda untuk memiliki keberanian untuk pergi ke mana sahaja maruah dan harapan paling kurang sekali”, kerana masih terdapat ramai orang yang hidup tanpa kegembiraan Injil.

Pope Francis mengadakan bulan istimewa ini untuk mengingatkan umat tentang tanggungjawab mereka untuk membahagikan Injil dan mewartakan Injil dengan semangat baharu.

Sama seperti beliau mentauliahkan misionari kerahiman bagi Jubli Kerahiman, Bapa Suci mentauliahkan 10 orang misionari khas pada hujung upacara, dengan menyampaikan sebuah salib kayu sederhana yang kecil kepada lima wanita religius, empat lelaki religius dan sebuah keluarga untuk dipakai pada leher mereka apabila mereka menjalankan misi di pelbagai bahagian di Afrika dan Asia.

Allah “sayang kepada gereja yang bergerak”, kata Bapa Suci dalam homili beliau. “Jika ia tidak bergerak, ia bukanlah gereja.”

Sebuah gereja misionari, katanya, “tidak membuang masa dengan meratapi perkara yang gagal, kehilangan jemaat, nilai-nilai dari zaman yang kini berada pada masa lalu”, katanya.

Gereja “tidak mencari tempat selamat untuk hidup dengan aman, tetapi ingin menjadi garam bumi dan ragi dunia” kerana ia tahu kekuatannya adalah Yesus sendiri, “bukan kerelevanan sosial atau institusi, tetapi kasih yang rendah hati dan penuh rahmat”.

Bapa Suci menggunakan perumpamaan bakat untuk menjelaskan bagaimana Allah mengamanahkan umat dengan khazanahNya yang paling besar: “kehidupan kita sendiri, kehidupan orang lain” dan beberapa bakat dan kurniaan yang berlainan.

Allah tidak mahu kurniaan itu “disimpan dalam peti besi” tetapi diabadikan “dengan keberanian dan kreativiti” kepada panggilan tulen yang akan membuahkan hasil, kata Bapa Suci.

Pada hari penghakiman, “Allah tidak akan bertanya kepada kita sama ada kita memelihara keimanan dan kehidupan kita dengan tekun ataupun tidak, sebaliknya sama ada kita tampil ke depan dan mengambil risiko, malah diaibkan”, katanya.

Bulan Misionari Luar Biasa bertujuan untuk “mengejutkan kita dan mendorong kita untuk melakukan kebaikan secara aktif. Bukan notari keimanan dan penjaga rahmat, tetapi misionari”, katanya.

Seperti martir, misionari menjalani kehidupan yang menyebar kedamaian dan kegembiraan, mengasihi semua orang, termasuk musuh mereka, kerana kasih bagi Yesus, katanya.

Dalam perumpamaan berkenaan, tuan gembira dan memuji hambanya yang berdaya maju sebagai “baik dan boleh dipercayai” dan mengkritik dengan keras hambanya yang takut sebagai “zalim dan malas”.

Allah menegur hamba yang takut itu dengan keras kerana kejahatannya “ialah tidak berbuat baik; dia berdosa kerana tidak melakukan kebaikan”, kata Bapa Suci.

“Tidak melakukan kebaikan adalah bertentangan dengan misi,” katanya.

Orang berdosa kerana tidak melakukan kebaikan “setiap kali kita tidak menyebar kegembiraan dan kita menganggap diri sebagai mangsa, atau berfikir bahawa tiada yang mengasihi kita atau memahami kita. Kita berdosa terhadap misi apabila kita tunduk kepada keredhaan, ‘saya tidak dapat melakukan ini: saya tidak berdaya’.”

“Kita berdosa terhadap misi apabila kita merungut dan asyik berkata bahawa segalanya semakin buruk, di dunia dan dalam gereja,” katanya, “apabila kita menjadi hamba kepada ketakutan yang melumpuhkan kita, apabila kita membiarkan diri dilumpuhkan oleh fikiran bahawa “keadaan tidak akan pernah berubah” dan apabila kehidupan dijalani seperti satu bebanan, bukan seperti satu kurniaan, “apabila kita meletakkan diri kita dan kebimbangan kita di tengah, dan bukan saudara-saudari kita yang menunggu untuk dikasihi”.

Bapa Suci mengetengahkan kehidupan St Therese Si Bayi Yesus, dengan hari rayanya yang jatuh pada 1 Oktober, St Francis Xavier dan Venerable Pauline-Marie Jaricot, yang membantu meletakkan asas bagi Persatuan Misi Pontifikal.

Dengan mengetengahkan seorang wanita religius, seorang paderi dan seorang wanita awam, Bapa Suci berkata beliau mahu menunjukkan bahawa tiada yang dikecualikan daripada misi gereja.

“Ya, pada bulan ini, Tuhan turut memanggil anda” – bapa, ibu, orang muda, pegawai bank, pekerja restoran, penganggur, orang sakit.

“Tuhan meminta anda untuk menjadi kurniaan di mana sahaja anda berada, dan seadanya, bersama setiap orang di sekeliling anda.”

CNS (Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: Pope opens Missionary Month with call to share joy, hope, talents

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.