Majlis Krismas Kanak-Kanak 2024

Aktiviti permainan ‘Guess The Bible Characters’ telah dijalankan oleh para pelayan Ministri Liturgi Kanak-kanak.

Oleh Ministri Liturgi Kanak-kanak Gereja St Ann

KOTA PADAWAN — Hari Natal bukan sekadar perayaan biasa. Di sebalik kemeriahan bertukar hadiah dan keceriaan menghias rumah, terselit makna yang lebih mendalam, iaitu kelahiran Tuhan Yesus Kristus sebagai penyelamat umat manusia. 

Pada 14 Disember 2024, Gereja Katolik Santa Anna menerusi Liturgi Kanak-kanak telah mengadakan program ‘Children Christmas Party’ bertemakan ‘Bible Characters’ di Dewan St Anthony.

Ia dihadiri oleh seramai 196 kanak-kanak berumur antara empat hingga 12 tahun.

Tujuannya untuk mendidik kanak-kanak tentang erti sebenar Hari Natal agar mereka dapat memahami bahawa perayaan ini bukan sahaja tentang keseronokan, tetapi juga tentang kasih, harapan dan keimanan kepada Tuhan.

Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan, antaranya permainan ‘Guess the Bible Characters’ yang memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mengenali tokoh seperti santo dan santa dalam Al-Kitab, sekaligus menjadikan mereka sebagai inspirasi dalam kehidupan masing-masing. 

Program ini turut diserikan dengan pertandingan pakaian bertemakan ‘Bible Characters’. Kanak-kanak tampil dengan pakaian yang melambangkan watak-watak dari Al-Kitab, sambil menunjukkan kreativiti dan kesungguhan untuk memahami mesej yang disampaikan dalam tema tersebut. 

Selain itu, kanak-kanak turut menyanyikan lagu-lagu Krismas yang diketuai oleh pelayan Ministri Liturgi Kanak-kanak. Nyanyian ini membentuk suasana meriah dan memberi peluang kepada kanak-kanak untuk memuji Tuhan dengan penuh kegembiraan.

Kanak-kanak bukan sahaja seronok, tetapi mereka juga mempelajari nilai-nilai penting seperti bekerjasama dalam kumpulan, menjalin persahabatan baharu, dan memahami makna keimanan sejak kecil. 

Seperti kata pepatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”, program seperti ini dapat membentuk sahsiah kanak-kanak dari usia muda.

Kesimpulannya, program ini berfungsi sebagai wadah untuk menarik minat kanak-kanak serta meluaskan pemahaman mereka tentang erti Hari Natal yang sebenar.

Selain itu, program ini juga dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara pelayan ministri yang terlibat dalam program tersebut.

Secara tuntasnya, para pelayan Ministri Liturgi Kanak-kanak Santa Anna ingin mengucapkan Selamat Hari Natal 2024 dan Selamat Tahun Baharu 2025 kepada semua umat Katolik di seluruh dunia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.