Oleh David Hii
BATU KAWA — Fiesta Gereja St Mark (SMC) 2024 telah diadakan pada 17 November 2024 di perkarangan gereja di sini dari 7.00 pagi hingga 2.00 petang. Timbalan Pengerusi SMC, David Hii, ialah pengerusi penganjur.
Sebelum 6.00 pagi, gerai-gerai telah dibuka untuk menampung jemaat Misa jam 7.00 pagi. Pengusaha gerai adalah daripada kumpulan Blok Rosari Keluarga (FBR) SMC, Mandarin, Ladies Guild, Ministri Belia, kumpulan CHOICE, ERT, C.I.C., Warden dan umat, Paroki Sacred Heart (SHP), FBR Pusat St Joseph, Vincentian, PKKD, Emmaus, OCDS, MCC Kuching, Lions Club, St Colette, umat dari gereja lain serta dua agensi pelancongan.
Fiesta itu disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, yang juga tetamu kehormat.
Sebaik tiba, Dr Sim meninjau tapak pembinaan SMC Fasa Satu (Blok A) yang sedang dijalankan.
Beliau diiringi Rektor SHP dan SMC, Fr Felix Au, wakil UNIFOR, Ambrose Linang, dan ahli jawatankuasa utama SMC.
Mereka meninjau rektori yang sudah 50 peratus siap dan merangkumi pejabat pentadbiran, kediaman paderi, penjaga dan tandas awam.
Selepas tinjauan itu, mereka terus ke majlis perasmian di mana Fr Felix dan Dr Sim menyampaikan ucapan mereka. Mereka mengiktiraf sokongan dan sumbangan komuniti Katolik kepada masyarakat di Batu Kawa dan Kerajaan Negeri. Mereka gembira melihat komuniti berkumpul untuk mengumpul dana bagi Tabung Bangunan SMC.
Mereka kemudian memotong reben untuk merasmikan pembukaan Fiesta SMC 2024 sebelum mengunjungi gerai-gerai, dan menyokong pengusaha gerai dengan mengedar kupon fiesta.
Jemaat paroki dan pengunjung luar berduyun-duyun memenuhi gerai-gerai tersebut. Kemuncak fiesta ialah cabutan bertuah yang diadakan di dewan SMC pada 12.30 tengah hari selepas Misa BM 11.00 pagi.
Fr Felix merasmikan majlis penutupan dengan ucapan terima kasih dan doa selepas cabutan bertuah.
Berita dalam Bahasa Inggeris: St Mark’s Church Fiesta 2024 a resounding success