Oleh Rufina Jerawit Kumbang
MIRI — Paroki Holy Family di Lapok menjadi tuan rumah dan penganjur Hari Belia Miri (MYD) 2024 yang berlangsung pada 22–24 November lepas.
Acara dengan tema ‘Rejoice In Hope Isaiah 40:31’ (Sukacita Dalam Harapan Yesaya 40:31) ini dihadiri seramai 358 belia dari 14 paroki di bawah naungan Gereja Katolik Keuskupan Miri.
Dalam homilinya bagi Misa Pembukaan, Uskup Miri, Bapa Uskup Richard Ng, menyuarakan kegembiraannya melihat begitu ramai belia mengambil bahagian dalam acara pada kali ini.
Beliau berkata, semua orang muda harus mencari Yesus dalam hidup masing-masing dan tidak segan menyahut seruan Tuhan untuk menjadi paderi atau religius.
Misa pada hari kedua dirayakan oleh Fr Sylvester Ngau, yang menyeru dalam homilinya agar para belia menjadi cahaya dalam kegelapan dan berpegang teguh pada keadilan.
MYD pada kali ini turut dihadiri oleh Rektor Paroki Holy Family Lapok merangkap Pengerusi Penganjur Program MYD 2024, Fr Selvan, dan beberapa paderi dari paroki lain, iaitu Fr Philip Empalah, Fr Michael Sia dan Fr Damian Lalo.
Turut mengimarahkan acara ini adalah Sister Lea, Katekis Anthony Tudak, Katekis Paulus Penying, Katekis Stewart, Katekis Dennis Jagan, Katekis Sandra Lahai dan Pelatih Katekis Josephine Mujan.
Ia disokong oleh Pengerusi Majlis Paroki Gereja Holy Family Lapok, John Aton, Timbalan Pengerusi Majlis Paroki, Juliana Dau, dan semua ahli majlis serta jawatankuasa penganjur MYD.
Antara aktiviti yang dijalankan pada program selama tiga hari ini adalah Misa Kudus, Malam Kebudayaan, Sukaneka, Sesi Katekesis, Jalan Salib, dan Pesta Puji dan Sembah yang disertakan dengan Adorasi Sakramen Maha Kudus.
Dalam Sesi Katekesis, Katekis Anthony memberitahu peserta bahawa Tuhan bertanya dan meminta sesuatu daripada mereka. “Apakah yang dapat kita beri kepada Tuhan?”
Beliau membawa para peserta merenungkan panggilan Tuhan dan bagaimana mereka dengan sukacita dapat menyahut-Nya dan membantu orang di sekeliling mereka yang memerlukan pertolongan.
Dalam ucapan penangguhan MYD 2024, Fr Selvan menzahirkan rasa gembira dan berterima kasih kepada semua yang telah terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini.
Beliau seterusnya menggalakkan orang muda untuk menyedari kehadiran Yesus, yang kekal dan bukannya sementara dalam diri mereka.
Menurutnya, Tuhan Yesus mahu hidup dalam golongan muda selama-lamanya, dan memanggil mereka untuk hidup bahagia sebagai mahkota tidak ternilai dalam kerajaan Tuhan.
Yesus, Raja kita, hidup dalam semua orang yang mengasihi dan melayani-Nya dan sesama.
Fr Selvan mengumumkan bahawa tuan rumah bagi (MYD) Tahun 2026 adalah Paroki St Dominic and The Rosary di Taman Tunku di sini.