KUCHING — Pada 3 Mei, Uskup Agung Simon Poh mengeluarkan notis kepada paderi dan jemaat Katolik dalam Keuskupan Agung Kuching, bagi menasihatkan mereka untuk berwaspada apabila menghadiri sembahyang Misa.
Notis itu menggariskan senarai langkah keselamatan bagi gereja, termasuk tidak membawa beg galas atau bagasi ke sembahyang Misa, tidak memakai jaket tebal, dan tidak meninggalkan beg tanpa dijaga.
Mesej sepenuhnya adalah seperti berikut:
KESELAMATAN DAN PERLINDUNGAN DALAM GEREJA-GEREJA KITA
Para Paderi, saudara-saudari dalam Tuhan Yang Bangkit,
Kita amat terkejut dengan kejadian yang berlaku baru-baru ini di Christchurch dan Sri Lanka di mana orang tidak bersalah dibunuh beramai-ramai ketika mereka bersembahyang. Cawangan Khas Polis Diraja Malayaia amat bimbang mengenai pengebom nekad yang meniru dan menyasari tempat ibadat terutamanya gereja-gereja di seluruh Malaysia. Seperti yang dinasihatkan, berikut adalah langkah-langkah keselamatan:
- Semua gereja mesti pro-aktif dan menubuhkan jawatankuasa keselamatan dan perlindungan masing-masing.
- Jika boleh, tugaskan kakitangan – pengawal, warden atau sukarelawan – di pagar dan pintu masuk Gereja.
- Jemaat paroki harus mengelak daripada membawa beg galas atau beg bagasi ke ibadat Misa. Tolong lakukan pemeriksaan visual ke atas beg-beg.
- Jangan tinggalkan beg anda tanpa dijaga pada bila-bila masa.
- Semua perlu waspada dan melaporkan mana-mana individu yang mencurigakan, bungkusan atau beg kepada paderi, warden atau pasukan keselamatan yang bertugas untuk tindakan lanjut.
- Jika ada orang kelihatan memakai jaket tebal atau besar dan/atau kelihatan mencurigakan, sila tanya soalan dan dapatkan maklumat.
- Jika ada kecurigaan yang kuat, sila hubungi polis dan jangan membenarkan mereka memasuki gereja..
Sila maklum bahawa langkah-langkah keselamatan di atas bersifat berjaga-jaga dan tidak ada kaitan dengan sebarang ancaman sebenar. Sementara kita perlu berwaspada, kita tidak ada sebab untuk panik. Janganlah kita membiarkan ketakutan untuk menghalang kita daripada menghadiri Misa dan menyembah Tuhan kita atau berdoa di dalam gereja-gereja kita.
Semua gereja, sama ada di bandar raya, bandar dan kampung dalam Keuskupan Agung Kuching, dipinta mengambil langkah-langkah keselamatan yang sama seperti dinyatakan di atas.
Dengan doa dan berkat Paska,
Most Rev Simon Poh,
Uskup Agung Kuching
Surat dan teks asal dalam Bahasa Inggeris: Announcement – Security and Safety in Our Churches