Pengukuhan pelayanan belia di Gereja St John Marie Vianney, Tampin

Misa di Gereja St John Marie Vianney, Tampin, bersama Fr Albet Arockiasamy.

Oleh Jennifer Junita Franklin

NEGERI SEMBILAN — Kem Pengukuhan Pelayanan Belia telah diadakan di Gereja St John Marie Vianney di sini dari 1 hingga 3 November lalu.

Tujuannya adalah untuk memperkukuh iman dan semangat pengabdian peserta kepada komuniti paroki, memahami ajaran Katolik, dan mengeratkan hubungan sesama mereka. 

Ia memberikan pengalaman rohani yang mendalam bagi 35 peserta muda, yang terdiri daripada pelajar matrikulasi Kuala Pilah, Gemas dan belia dari Tampin.

Kem dimulakan dengan perayaan Misa Hari Semua Orang Kudus di mana peserta mengambil bahagian dalam perarakan untuk menghormati para santo dan santa. 

Pada malam itu, sesi ‘Puji Sembah’ memberi kesempatan kepada muda-mudi untuk merasakan hadirat Tuhan melalui pujian, diikuti dengan aktiviti ‘ice-breaking’. 

Pada hari kedua, selepas doa pagi, peserta dibahagikan kepada kumpulan kecil untuk sesi perbincangan rohani. 

Sebagai sebahagian daripada Misa Hari Peringatan Arwah, peserta berjalan menuju tanah perkuburan untuk menghadiri Misa dan memberi penghormatan kepada para arwah. 

Sepanjang perjalanan ke tanah perkuburan, mereka mengumpul sampah untuk menunjukkan rasa tanggungjawab dan kepedulian terhadap alam sekitar. 

Aktiviti ini bukan sahaja mengingatkan mereka tentang kehidupan kekal, tetapi juga mengajar mereka untuk menjaga ciptaan Tuhan dan berkhidmat dengan penuh kasih kepada dunia. 

Brother Charles Boromeo memberikan ceramah yang sangat bermakna mengenai ‘Panggilan dan Pelayanan dalam Gereja Katolik’.

Beliau menekankan bahawa setiap orang yang dibaptis dipanggil untuk menjadi saksi Kristus di dunia ini. 

Pelayanan tidak hanya terbatas kepada paderi atau religius tetapi merupakan tanggungjawab yang dipegang oleh setiap umat Tuhan, tanpa mengira usia atau status. 

Misa di Gereja St John Marie Vianney, Tampin, bersama Fr Albet Arockiasamy.

Brother Charles juga mengingatkan para peserta tentang teladan Bonda Maria. 

Maria, yang dengan penuh kerendahan hati berkata “ya” kepada Tuhan, menyerahkan diri sepenuhnya untuk melaksanakan kehendak-Nya tanpa ragu. 

Kesetiaan dan ketabahan bonda adalah contoh yang sempurna bagi setiap orang Katolik, khususnya belia, untuk menjawab panggilan Tuhan dengan sepenuh hati dan tanpa syarat. 

Brother Charles mendorong peserta untuk berani mengambil langkah pertama dalam pelayanan dan menjadikan hidup mereka sebagai cerminan kasih Kristus yang nyata. 

Sesi seterusnya disampaikan oleh Fennedy Finjau yang membincangkan tentang ‘Kepentingan Advokasi Dalam Kalangan Belia Katolik’. 

Beliau menekankan bahawa advokasi adalah cerminan iman yang hidup, bukan hanya tanggungjawab sosial. 

Melalui advokasi, belia dapat memperjuangkan isu-isu seperti hak asasi manusia, keadilan sosial dan kesejahteraan komuniti. 

Fennedy mengingatkan bahawa perjuangan bagi keadilan adalah sebahagian daripada panggilan Kristian untuk membawa nilai-nilai Injil ke dalam masyarakat. 

Rosari Cahaya Lilin bersama belia dari Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan.

Hari ketiga dimulakan dengan doa rosari dan Misa, diikuti dengan pemberkatan pengutusan, yang menandakan kesiapan para peserta untuk membawa pengalaman dan ajaran dari kem ini kembali ke dalam kehidupan mereka.

Paderi Gereja St John Marie Vianney, Fr Albet Arockiasamy, mengingatkan peserta tentang pesan mendalam Yesus dalam Yohanes 10:10.

Yesus mengungkapkan bahawa Dia datang untuk memberikan kehidupan yang penuh dan melimpah kepada umat manusia. 

Dalam renungannya, Fr Albet menekankan empat aspek utama, iaitu kredo (kepercayaan), kasih kepada sesama, hukum, dan doa. 

Beliau mengingatkan bahawa dua perintah terbesar yang diajar oleh Yesus adalah untuk mengasihi Tuhan dengan segenap hati, jiwa dan akal budi, dan mengasihi sesama seperti kita mengasihi diri kita sendiri. 

Beliau juga berbicara dengan penuh penghormatan tentang Bonda Maria, dan menyeru para peserta untuk mengikut teladan bonda yang penuh dengan kerendahan hati, iman yang kukuh, dan kesetiaan yang tidak tergoyahkan kepada kehendak Tuhan. 

Pada hari terakhir kem, Fr Albet membawa peserta merenungkan dengan lebih mendalam tentang kehidupan mereka dalam Gereja, keluarga, masyarakat dan ekologi yang saling berkait rapat. 

Beliau menekankan bahawa unsur-unsur ini bukan sahaja saling berkaitan, tetapi juga merupakan pusat kepada panggilan Kristian untuk melayani, mengasihi dan melindungi dunia. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.