Oleh Catherina Ra Flora
LUNDU — Misa Kudus Khas untuk meraikan penerimaan Komuni Kudus Pertama oleh 64 kanak-kanak dan remaja, termasuk 22 calon baptis, telah berlangsung di Gereja Holy Spirit di sini pada jam 6.00 petang, 9 November lalu.
Ia dihadiri oleh keluarga, saudara-mara serta umat setempat yang datang untuk memberikan sokongan dan memanjatkan doa bagi para calon.
Perayaan dimulakan dengan perarakan masuk yang meriah, diiringi nyanyian oleh koir gereja.
Fr Adrian Kho, selaku paderi yang merayakan Misa, memimpin liturgi dengan penuh khusyuk, dan menyampaikan mesej kasih Kristus yang ditunjukkan melalui Ekaristi.
Dalam homilinya, beliau menekankan kepentingan sakramen ini sebagai perjumpaan peribadi dengan Tuhan Yesus Kristus, dan menyeru para calon untuk terus hidup dalam kesetiaan dan kasih kepada Tuhan.
Sebelum penerimaan Komuni Kudus Pertama, 22 calon baptis melaksanakan Sakramen Pembaptisan sebagai langkah pertama untuk menjadi anggota penuh Gereja Katolik.
Upacara pembaptisan ini penuh bermakna, disaksikan oleh keluarga dan umat yang turut mendoakan perjalanan iman mereka.
Sakramen ini merupakan detik bersejarah yang menandakan awal perjalanan rohani mereka dalam Gereja.
Para calon telah membuat persediaan rapi selama beberapa bulan melalui kelas katekesis di bawah bimbingan para katekis.
Mereka diajar mengenai ajaran asas kepercayaan Katolik, Ekaristi, dan kepentingan hidup dalam persekutuan dengan Tuhan.
Usaha ini ternyata berbaloi apabila para calon menunjukkan kesungguhan dan penghayatan penuh sepanjang upacara berlangsung.
Setiap calon menerima Tubuh Kristus dengan penuh rendah hati dan rasa syukur.
Misa Kudus Khas ini bukan sahaja peristiwa penting dalam kehidupan para calon, tetapi juga memperkukuh semangat komuniti paroki.
Semua hadirin pulang dengan hati penuh syukur, sambil mendoakan agar para calon terus berkembang dalam iman dan kasih kepada Tuhan Yesus Kristus.