“Dalam kesatuan dengan Kristus, di tengah-tengah kerosakan yang telah kita tinggalkan di dunia ini oleh dosa-dosa kita, kita diseru untuk membina tamadun kasih yang baharu.” Di bawah adalah gambaran tentang ensiklik terbaharu Paus Francis.
Oleh I.Media / Aleteia
Ensiklik keempat Paus Francis, Dilexit nos (Dia mengasihi kita), diterbitkan pada 24 Oktober 2024.
Beberapa petikan penting daripada dokumen ini khusus tentang “kasih Hati Yesus Kristus yang manusiawi dan ilahi”:
1. Menghargai Hati
“Penipuan dan penyamaran tidak ada tempat” di dalam hati
“Ia biasanya menunjukkan niat kita yang sebenar, apa yang kita benar-benar fikirkan, percaya dan inginkan, ‘rahsia’ yang kita tidak beritahu sesiapa: dalam erti kata lain, kebenaran nyata tentang diri kita. Ia adalah sebahagian daripada diri kita yang bukan rupa atau ilusi, tetapi sebaliknya adalah asli, tulen, ‘siapa kita’ sepenuhnya.” (5)
Ia sentiasa sukar untuk menghargai hati
“Isu-isu yang dibangkitkan oleh masyarakat cecair pada hari ini banyak dibincangkan, tetapi penyusutan teras mendalam kemanusiaan kita ini – hati – mempunyai sejarah yang lebih lama. Kita dapati ia sudah ada dalam rasionalisme Yunani dan pra-Kristian, dalam idealisme pasca-Kristian, dan dalam pelbagai bentuk materialisme. Hati telah diabaikan dalam antropologi, dan tradisi falsafah yang hebat mendapati ia sebagai tanggapan asing dan lebih mengutamakan konsep lain seperti akal budi, kehendak, atau kebebasan.” (10)
“Saya adalah hati saya”
“Maka itu, boleh dikatakan bahawa saya adalah hati saya, kerana hati sayalah yang membezakan saya, membentuk identiti rohani saya dan meletakkan saya dalam kesatuan (komuni) dengan orang lain. Algoritma yang beroperasi dalam dunia digital menunjukkan bahawa pemikiran dan kehendak kita adalah lebih ‘seragam’ daripada apa yang kita fikirkan sebelum ini. Ia mudah diramal dan dengan itu mampu dimanipulasi. Itu tidak berlaku dengan hati.” (14)
“Pada zaman kecerdasan buatan ini, kita tidak boleh lupa bahawa puisi dan kasih adalah perlu untuk menyelamatkan kemanusiaan kita.” (20)
2. Dunia yang Kehilangan Hati
Yesus, kasihanilah.
“Di hadirat hati Kristus, saya sekali lagi memohon kepada Tuhan untuk mengasihani dunia yang menderita ini di mana Dia memilih untuk hidup sebagai salah seorang daripada kita. Semoga Dia mencurahkan khazanah cahaya dan kasih-Nya, supaya dunia kita, yang terus maju ke hadapan, walaupun ada peperangan, jurang sosio-ekonomi dan penggunaan teknologi yang mengancam kemanusiaan kita, boleh mendapatkan semula perkara yang paling penting dan perlu: hati-Nya. ” (31)
Dalam dunia di mana kita didesak untuk terus membeli
“Dalam dunia di mana segala-galanya dibeli dan dijual, nilai orang kelihatan semakin bergantung pada apa yang mereka boleh kumpulkan dengan kuasa wang. Kita sentiasa didesak untuk terus membeli, mengguna dan mengalihkan tumpuan kita sendiri, ditawan oleh sistem yang merendahkan maruah dan menghalang kita daripada melihat di luar keperluan kita yang segera dan kecil. Kasih Kristus tidak ada tempat dalam mekanisme yang sesat ini, namun hanya kasih itulah yang dapat membebaskan kita daripada usaha gila yang tidak lagi ada ruang bagi kasih percuma.” (218)
3. Tiga Kasih Kristus dalam Gambaran Hati
Kasih ilahi, manusiawi … dan waras
“Gambaran hati Tuhan sebenarnya berbicara kepada kita tentang kasih tiga kali ganda. Pertama, kita merenung kasih ilahi-Nya yang tidak terhingga. Kemudian pemikiran kita beralih kepada dimensi rohani dalam kemanusiaan-Nya, di mana hati adalah ‘simbol bagi kasih paling berkobar-kobar, diserap ke dalam jiwa-Nya, yang memperkaya kehendak manusiawi-Nya’. Akhirnya, ‘ia juga adalah simbol bagi kasih-Nya yang waras’.” (65)
“Tiga kasih ini tidak terpisah, selari atau terputus, tetapi sama-sama bertindak dan mencari ekspresi dalam kesatuan yang berterusan dan penting.” (66)
4. Kebaktian kepada Hati Kudus tidak Ketinggalan Zaman
Jam Kudus Hari Khamis
“Walaupun tiada siapa yang harus merasa bertanggungjawab untuk menghabiskan masa satu jam dalam pemujaan setiap Khamis, amalan itu pastinya disyorkan. Apabila kita melaksanakannya dengan penuh kebaktian, dalam kesatuan dengan ramai saudara dan saudari kita, dan menemukan kasih hati Kristus yang sangat besar dalam Ekaristi, kita ‘memuja, bersama dengan Gereja, tanda dan manifestasi kasih ilahi yang sanggup mengasihi umat manusia, melalui hati Sabda Yang Menjelma Menjadi Manusia’.” (85)
Kasih yang tiada batasnya
“Apa yang kita renungkan dan puja adalah keseluruhan Yesus Kristus, Putera Allah yang menjadi Manusia, digambarkan oleh imej yang menonjolkan Hati-Nya. Hati daging itu dilihat sebagai tanda istimewa bagi kemanusiaan paling mendalam Putera Yang Menjelma Menjadi Manusia dan kasih-Nya, baik ilahi mahupun manusiawi. Lebih daripada bahagian tubuh-Nya yang lain, hati Yesus adalah ‘tanda semula jadi dan simbol kasih-Nya yang tiada batas’.” (48)
Dia tidak pernah berhenti mengasihi
“Ada kalanya, kita mungkin tergoda untuk menganggap misteri kasih ini sebagai peninggalan yang mengagumkan dari masa lalu, kerohanian baik yang sesuai bagi zaman lain. Namun kita perlu sentiasa mengingatkan diri kita sendiri bahawa, seperti yang pernah dikatakan oleh seorang mubaligh yang suci, ‘hati ilahi ini, yang membiarkan diri-Nya ditikam oleh tombak musuh untuk mencurahkan sakramen-sakramen yang membentuk Gereja melalui luka suci itu, tidak pernah berhenti mengasihi’.” (149)
Hati ada alasannya
“Mungkin bagi sesetengah orang, aspek kebaktian kepada Hati Kudus ini tidak mempunyai asas teologi yang kukuh, namun hati mempunyai alasannya. Di sini, sensus fidelium memahami sesuatu yang misteri, di luar logik manusia, dan menyedari bahawa kesengsaraan Kristus bukan sekadar peristiwa masa lalu, tetapi peristiwa yang boleh kita kongsi melalui iman. Bagi kesalehan Kristian, meditasi tentang persembahan diri Kristus di atas salib melibatkan sesuatu yang lebih daripada sekadar ingatan. Keyakinan ini mempunyai asas teologi yang kukuh.” (154)
Menghibur-Nya
“Maka itu, saya meminta agar tiada yang meremehkan kebaktian yang sungguh-sungguh daripada umat Allah yang setia, yang dalam kesalehan umat berusaha untuk menghibur Kristus. Saya juga menggalakkan semua untuk mempertimbangkan sama ada terdapat kemunasabahan, kebenaran dan kebijaksanaan yang lebih besar dalam demonstrasi kasih tertentu yang berusaha untuk menghiburkan Tuhan berbanding amalan kasih yang dingin, jauh, berkira-kira dan kecil, yang… kadang-kadang diamalkan oleh mereka yang mendakwa memiliki iman yang lebih reflektif, canggih dan matang.” (160)
5. Apa yang Kristus Harapkan daripada Orang Kristian
Maruah setiap insan
“Dengan menyantuni golongan yang paling rendah dalam masyarakat (rujuk Matius 25:31-46), ‘Yesus membawa perkara baharu yang besar untuk mengenali maruah setiap insan, terutamanya mereka yang dianggap ‘tidak layak’. Prinsip baharu dalam sejarah manusia ini – yang menekankan bahawa individu-individu malah lebih ‘layak’ untuk dihormati dan dikasihi apabila mereka lemah, dihina atau menderita, malah sehingga kehilangan ‘figura’ manusia – telah mengubah wajah dunia. Ia telah memberi kehidupan kepada institusi yang menjaga mereka yang mendapati diri dalam keadaan kurang bernasib baik, seperti bayi yang ditinggalkan, anak yatim, orang tua yang ditinggalkan tanpa bantuan, orang sakit mental, orang yang mempunyai penyakit yang tidak dapat diubati atau kecacatan teruk, dan mereka yang tinggal di jalanan.” (170)
Mengembalikan keindahan
“Dalam kesatuan dengan Kristus, di tengah-tengah kerosakan yang telah kita tinggalkan di dunia ini oleh dosa-dosa kita, kita dipanggil untuk membina tamadun kasih yang baharu. Itulah yang dimaksudkan untuk membuat penebusan seperti yang dikehendaki hati Kristus untuk kita lakukan. Di tengah-tengah kehancuran yang ditimbulkan oleh kejahatan, hati Kristus ingin kita bekerjasama dengan-Nya untuk mengembalikan kebaikan dan keindahan ke dunia kita.” (182)
Mohon pengampunan
“Sebahagian daripada semangat penebusan ini adalah tradisi memohon keampunan daripada saudara-saudari kita, yang menunjukkan keluhuran yang besar di tengah-tengah kelemahan manusia. Memohon pengampunan adalah satu cara untuk memulihkan hubungan, kerana ia ‘membuka semula dialog dan memanifestasikan keinginan untuk menjalin semula ikatan kasih persaudaraan … Ia menyentuh hati saudara atau saudari kita, membawa penghiburan dan mengilhamkan penerimaan pengampunan yang diminta. Jika pun perkara yang tidak boleh diperbaiki tidak dapat diperbaiki sepenuhnya, kasih sentiasa boleh dilahirkan semula, membolehkan luka dapat ditanggung.’” (189)
6. “Mubaligh-mubaligh yang Dilamun Kasih”
Seperti mana-mana kekasih
“Misi, sebagai pancaran kasih hati Kristus, memerlukan mubaligh yang dilamun kasih dan, terpesona dengan Kristus, yang merasa terikat untuk membahagikan kasih ini yang telah mengubah hidup mereka. Mereka tidak sabar apabila masa dibuang dengan membincangkan persoalan sekunder atau menumpukan perhatian kepada kebenaran dan peraturan, kerana keinginan utama mereka adalah untuk membahagikan apa yang telah mereka alami. Mereka mahu orang lain melihat kebaikan dan keindahan Dia Yang Dikasihi melalui usaha mereka, tidak kira betapa tidak memadainya mereka. Bukankah itu sedemikian bagi mana-mana kekasih?” (209)
Berani memberitahu orang lain
“Kristus tidak mahu anda malu untuk memberitahu orang lain, dengan segala budi bicara dan rasa hormat yang sewajarnya, tentang persahabatan anda dengan-Nya. Dia mahu anda berani memberitahu orang lain bahawa mengenali-Nya adalah perkara yang begitu bagus dan indah sekali.” (211)
Aleteia (Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: 6 Key themes from the Pope’s encyclical on the Sacred Heart