Oleh Margaret Francis
KUCHING — Pada 16–20 September lalu, ‘Ladies Guild’ Keuskupan Agung Kuching telah mengadakan ziarah ke Kalimantan Barat, Indonesia.
Ziarah ini dirancang rapi oleh Pengerusi ‘Ladies Guild’, Margaret Francis, dengan bantuan Alice Kutong bersama ahli jawatankuasanya, dalam masa lebih kurang empat bulan.
Seramai 34 anggota rombongan menyertai ziarah tersebut, yang terdiri daripada ahli-ahli ‘Ladies Guild’ dari enam paroki, iaitu St Peter Padungan, St Theresa Serian, Our Lady Queen of Peace Sri Aman, St Ann Kota Padawan, St Jude Bunan Gega, dan Holy Spirit Lundu.
Penasihat rohani, Fr Robert Jissem, dijemput untuk mengetuai serta membimbing lawatan secara rohani dengan doa dan merayakan Misa Kudus di gereja-gereja yang diziarah, iaitu Gereja St Yosef di Pemangkat, Gereja St Yosef di Anjungan, Gereja Maria Ratu Pencinta Damai (MRPD Pancasila) di Pontianak, dan Katedral St Yoseph di Pontianak.
Perancangan telah disusun dengan sebaik mungkin semasa ziarah ini, dengan melibatkan ahli-ahli rombongan untuk mengetuai doa rosari di Gua Maria Hati Kudus Yesus di Sontok, grotto Gereja St Francis Asisi di Singkawang, dan grotto di Katedral St Yoseph, Pontianak. Di samping itu, mereka juga melibatkan peserta rombongan untuk menjadi komentator dan pembaca dalam Misa Kudus.
Selain mengadakan acara rohani, rombongan juga berkesempatan untuk menginap di Rumah Retret Paus Yohannes Paulus II, Anjongan, melawat Tugu Khatulistiwa serta membeli-belah di pasar raya dan kedai Hosana Religious Articles.
Selain itu, mereka turut mengadakan acara santai, belayar menelusuri Sungai Kapuas, melawat rumah panjang, iaitu Rumah Radang, menikmati kopi di Aming Coffee, dan makan malam di Kampung Kecil, Kota Pontianak.
Ziarah itu bertujuan untuk berkenalan serta merapatkan hubungan persaudaraan di antara ahli-ahli ‘Ladies Guild’ di Keuskupan Agung Kuching dengan IKAT (Ibu Katolik) di St Josef Pemangkat, WK (Wanita Katolik) St Yosef Anjungan, dan WK MRPD Pancasila di Pontianak, Kalimantan Barat.
Di samping itu, mereka berpeluang bertukar pendapat serta berkongsi aktiviti di paroki masing-masing.
Ahli-ahli rombongan ziarah ini melahirkan rasa syukur, teruja dan gembira dengan pengalaman yang dilalui serta semangat persaudaraan, kerjasama, perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan ahli. Kesatuan ini diharap akan berkekalan untuk sama-sama memajukan imej anggota gereja di setiap paroki masing-masing.