KUCHING — Umat Katolik di Kuching dan sekitarnya, selain dari luar negara, berpeluang besar untuk menyertai latihan peringkat antarabangsa tentang doa syafaat profetik. Ia akan dikendalikan oleh seorang penceramah antarabangsa terkenal dari India, Chevalier Cyril John.
Latihan ini dianjurkan oleh Archdiocesan Charismatic Renewal Team (ACRT) atau Pasukan Pembaharuan Karismatik Keuskupan Agung dari Keuskupan Agung Kuching. Ia akan diadakan di Dewan Besar Pusat Pastoral Katedral dan Kuria Keuskupan Agung (ACCPC), Katedral St Joseph, Kuching, Sarawak, Malaysia, dari 21 hingga 25 November 2024. Sesi akan dijalankan dalam Bahasa Inggeris dan terjemahan langsung ke Bahasa Malaysia akan tersedia bagi semua sesi.
Menurut Chevalier Cyril John, umat Katolik ada keperluan yang mendesak untuk menyedari tentang kepentingan dan peranan doa syafaat, terutamanya doa syafaat profetik. Lebih ramai pendoa syafaat profetik perlu dilatih sebagai penjaga, pengawal tembok dan pahlawan doa bagi Tuhan.
Disebabkan oleh keperluan besar dan mendesak ini, ‘Intercession Commission’ atau Suruhanjaya Doa Syafaat telah ditubuhkan di bawah CHARIS International dengan Chevalier Cyril John sebagai koordinator atau penyelaras.
Latihan ini akan memberikan pengajaran dan maklum balas yang sangat mantap untuk memahami doa syafaat, terutamanya dalam memahami perbezaan di antara doa syafaat tradisional dengan doa syafaat profetik.
Dalam doa syafaat tradisional, kita berdoa untuk keperluan dan atas permohonan doa daripada orang lain, tetapi dalam doa syafaat profetik, kita belajar untuk mendengar Roh Kudus tentang kehendak Tuhan, sebelum kita berdoa. Dengan bantuan Roh Kudus, kita juga dapat mendengar beban-beban hati Tuhan dan doa-doa yang Dia ingin kita doakan sesuai kehendak-Nya. Doa-doa ini akan dipanjatkan mengikut strategi doa yang diberikan oleh-Nya. Untuk berdoa syafaat profetik dengan lebih mendalam dan berkesan, seseorang itu perlu menjalani latihan yang mendalam.
Paus Francis telah menganugerahkan gelaran Chevalier (Knight of the Order of St Gregory the Great) kepada Cyril John pada 2021. Ini adalah anugerah gelaran keempat tertinggi dalam Ordo Ekuestrian St Gregory the Great. Anugerah ini diberikan atas khidmat cemerlangnya kepada Gereja di peringkat keuskupan, negara, benua dan antarabangsa, terutamanya dalam sumbangan terhadap Pembaharuan Karismatik Katolik.
Chevalier Cyril John telah mengelilingi dunia untuki melatih umat Katolik sebagai pendoa syafaat profetik.
Latihan ini tidak eksklusif kepada golongan yang memiliki “karunia rohani” tertentu, tetapi terbuka kepada semua umat Katolik yang dipanggil untuk berdoa syafaat.
Untuk maklumat lanjut tentang latihan ini, sila hubungi Lainus Lichok, sebaiknya melalui WhatsApp di talian +60198190996, John Wong di talian +60198590386 atau Thomas Ngu +60198883811.
Berita dalam Bahasa Inggeris: Kuching to host international training on Prophetic Intercession