UNIFOR anjur Majlis Doa Kesyukuran sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Sarawak 2024

BERSATU… Uskup Agung Simon Poh (berdiri empat kanan) bergambar bersama Datuk Amar Dr Sim Kui Hian (duduk dua kiri) serta para pemimpin kerajaan dan pelbagai agama.

Oleh UKAS

SRI AMAN — Bandar Sri Aman menjadi tuan rumah bagi Sambutan Hari Malaysia Peringkat Sarawak 2024 yang berlangsung pada pagi 14 September lalu di Dewan Suarah. 

Majlis Doa Kesyukuran bagi sambutan ini turut dianjurkan oleh Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) untuk mendoakan kesejahteraan Malaysia.

Ia dihadiri enam kumpulan agama, iaitu Baha’i, Buddha, Hindu, Kristian, Sikh dan Tao, yang diwakili oleh ketua agama masing-masing.

Uskup Agung Simon Poh dari Keuskupan Agung Kuching, yang mewakili Gereja Katolik Sri Aman, memimpin doa pembukaaan bagi majlis tersebut.

MOHON BERKAT… Uskup Simon Poh memimpin doa pembukaan.

Uskup Agung Simon diiringi 23 umat dari Paroki Our Lady Queen of Peace, Simanggang.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di majlis itu.

Menurut Dr Sim, melalui UNIFOR, Abang Johari memberi jaminan bahawa dana akan terus disalurkan untuk menyokong pelbagai projek pembangunan, kerja penyelenggaraan, dan pembaikan rumah-rumah ibadat. 

“Projek-projek ini meliputi pelbagai kerja, termasuk pembinaan baharu, penyelenggaraan, pembaikan, renovasi serta pembelian peralatan dan instrumen keagamaan bagi rumah-rumah ibadat,” katanya.

“Dengan termeterainya perjanjian yang lebih baik bersama Kerajaan Persekutuan menerusi MA63 (Perjanjian Malaysia 1963), kita optimis dapat membangunkan Sarawak yang saiznya hampir menyamai seluruh Semenanjung Malaysia tanpa Perlis.

“Apa yang kita tuntut daripada pemimpin Persekutuan adalah keadilan berdasarkan hak-hak kita yang termaktub dalam Perlembagaan dan MA63,” tegasnya.

Dalam pada itu, Abang Johari menyeru para pemimpin agama agar terus memainkan peranan penting dengan menyampaikan mesej perpaduan, keamanan, dan toleransi kepada masyarakat.

Ini bagi memastikan nilai-nilai pluralisme dan kepelbagaian terus dihargai.

“Mari kita bersama-sama meraikan peristiwa yang bermakna ini dengan doa dan harapan, agar para pemimpin kita terus membawa Sarawak dan Malaysia ke arah kemajuan yang lebih cemerlang,” tambahnya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, serta isteri, Datin Sri Kelly Rebid, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Buckland Bangik, serta isteri, Datin Daisy Dayus, Pengarah UNIFOR, Dato Georgina Apphia Ngau, serta tetamu kenamaan lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.