Kem Belia St Gonzalo Gracia Padang Pan: Perjalanan Iman dan Persahabatan

Semangat iman dan kesatuan selepas Jalan Salib untuk para belia.

Oleh Seminarian Lordkennylister P. James

BAU — Kem Belia St Gonzalo Gracia Padang Pan yang diadakan pada 24–25 Ogos lalu telah berjaya mengumpulkan seramai 35 belia. 

Objektif utama kem belia ini adalah untuk mengukuhkan hubungan baik dalam kalangan belia dan mendekatkan mereka kepada Yesus.

Ceramah pertama bertajuk ‘Panggilan: Menemui Rancangan Tuhan untuk Anda’ telah disampaikan oleh Seminarian Lordkennylister. 

Sesi ini mengajak para peserta untuk lebih mengenali diri dan memahami hala tuju hidup mereka selain menekankan aspek tentang panggilan hidup.

Sebaik sahaja ceramah pertama selesai, para peserta berkumpul di luar gereja untuk sama-sama mengadakan aktiviti permainan yang berunsurkan komuniti dan memupuk sikap bekerjasama dalam kalangan mereka. 

Aktiviti ini membantu belia untuk mengenali satu sama lain, kekal fokus, melihat bahawa pertumbuhan rohani juga menyeronokkan, dan mengasah kreativiti dalam kalangan mereka.

Disebabkan oleh hujan berterusan, program ‘Malam Unggun Api’ dibatalkan dan digantikan dengan ibadat Jalan Salib khas untuk belia. 

Sebelum program bermula pada 7.30 malam, penerangan diberikan agar para peserta dapat mendalami tujuan sebenar ibadat ini. 

Para belia diajak untuk berdoa Jalan Salib secara peribadi dan mendalami pengorbanan Yesus Kristus dalam karya penebusan dosa. 

Mereka turut mengambil bahagian dengan menyalakan lilin dan berdoa di bawah kaki salib. 

Hari kedua program dimulai dengan ibadat pada 8.30 pagi, disusuli dengan ceramah kedua ‘Penginjilan: Berkongsi Iman’ yang disampaikan oleh Seminarian Melvin Dawson. 

Ceramah ini memberi tumpuan kepada “panggilan untuk menginjil” dan menggalakkan para belia untuk lebih giat berkongsi iman mereka. 

Para belia turut diajar cara yang mudah untuk berdoa agar sentiasa dapat berdoa di mana sahaja mereka berada. 

Kem Belia ini diakhiri dengan aktiviti permainan dan makan tengahari. 

Program ini diharapkan dapat mencapai objektifnya, iaitu mengukuhkan hubungan di antara para belia dengan mendekatkan diri kepada Yesus.

Untuk makluman, ia julung kali dianjurkan oleh para seminarian. 

Paderi Paroki St Stephen, Bau, Fr Peter Liston, membenarkan para seminarian menganjurkan program ini dengan bantuan komuniti St Gonzalo dalam persediaan logistik dan makanan.

Kem ini adalah bukti iman, semangat dan dedikasi belia Katolik Bau, yang mengharapkan agar lebih banyak lagi program pembangunan iman dianjurkan bagi belia Katolik tempatan.

“Jangan biarkan sesiapa menghinamu kerana usiamu yang muda. Jadikan dirimu teladan kepada semua orang beriman dari segi kata-kata, kelakuan, kasih, iman dan kesucian. ” (1 Timotius 4:12, AVB)


Berita dalam Bahasa Inggeris: St Gonzalo Gracia Padang Pan Youth Camp: A Journey of Faith and Fellowship

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.