Oleh St Ann Media
KOTA PADAWAN — Jawatankuasa Pembentukan Iman Paroki Santa Anna menganjurkan Seminar ‘Allah Menebus Dunia Kita’ dengan Sesi Kedua: Penyelamatan Ilahi di Gereja St Ann di sini pada 27 hingga 30 Ogos lalu.
Seminar itu bermula dengan Misa Kudus pada selasa malam, dan dihadiri seramai 800 umat.
Dalam ceramah pertama, Diakon Prof. Dr Sherman Kuek OFS berkongsi pengetahuan tentang perjanjian dengan sebuah keluarga (Nuh).
Dalam ceramah ini, beliau menerangkan frasa kunci yang menarik tentang kisah Nuh dalam Kejadian 6:6, “Tuhan menyesal bahawa Dia telah menjadikan manusia di Bumi, dan hal itu telah memilukan hati-Nya.”
Adakah Tuhan benar-benar menyesal? Apakah maksud sebaliknya yang ingin disampaikan oleh penulis kitab itu?
Topik ceramah kedua pada Rabu adalah tentang perjanjian dengan sebuah buku (Abraham).
Kehidupan Abraham, Ishak dan Yakub dan seterusnya turun menurun dalam keluarga mereka memberikan contoh kepada kita untuk mentaati kehendak Allah serta nilai pengampunan dalam keluarga.
Yang menarik ialah dalam kehidupan keluarga yang banyak kesengsaraan, kita dapat merenungkan isu keluarga mereka dalam kehidupan harian pada diri kita.
Ceramah ketiga adalah tentang perjanjian dengan sebuah bangsa (Musa). Cinta kasih Allah yang amat mendalam dalam bangsa ini dapat diperhatikan dalam perjanjian ini.
Ceramah itu mengingatkan kita bahawa sikap tidak bersyukur ke atas berkat dan kurnia Tuhan merupakan sejenis penderhakaan.
Manakala itu, topik ceramah keempat adalah tentang Sepuluh Perintah.
Dr Sherman menimbulkan persoalan tentang kebebasan umat dalam menurut perintah.
Adakah kita betul-betul bebas? Adakah kita sudah menyerahkan diri dalam menuruti perintah dan menjauhkan diri daripada dosa?
Hari kelima, iaitu hari terakhir dalam seminar itu, merupakan hari yang begitu bermakna kerana ia adalah Hari Kemerdekaan Malaysia, 31 Ogos 2024, yang bermula dengan Misa Kudus.
Dalam homilinya, renungan Dr Sherman mengaitkan kewarganegaraan kita dari segi rohani dan duniawi.
Sebagai umat Katolik, setelah pembaptisan, roh kita mendapat kewarnegaraan syurga. Buah Roh Kudus dalam diri kita membawa identiti dan sifat umpama api dan garam dalam dunia kita sebagai warga Malaysia.
Beliau berkata negara ataupun dunia di sekeliling kita akan menjadi lebih indah dan penuh kasih sayang dengan kewujudan kita sebagai umat Katolik.
Pada hari tersebut, dua topik telah dikongsikan oleh Dr Sherman, iaitu ‘Kemasukan ke Tanah Perjanjian’ dan ‘Perjanjian dengan Sebuah Kerajaan (David)’.
Sesi soal jawab juga diteruskan dengan soalan daripada peserta.
Seminar ini berakhir dengan topik ‘Perjanjian dengan Sebuah Kerajaan’ untuk memberikan kesedaran kepada umat bahawa ideologi boleh menjadi sanjungan pada zaman moden.
Pada penutupan seminar, Rektor Gereja St Ann, Friar Don Don Romero Ramerez, OFM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dr Sherman Kuek dalam membantu meningkatkan lagi iman umat Katolik.