Lebih 500 murid Sekolah Hari Minggu sertai Program Atrium Untuk Kanak-kanak

AMALI… Aktiviti yang diadakan bagi murid Sekolah Minggu di Atrium berkenaan.

Oleh Elizabeth Jimen

BATU KAWA — Lebih 500 murid Sekolah Hari Minggu berumur 7-17 tahun menyertai Program Atrium Untuk Kanak-kanak anjuran Gereja St Mark di sini pada 11 Ogos lepas. 

Program yang sama telah dijalankan di Dewan Sekolah Sam Hap Hin untuk pusat-pusat di bawah Gereja Sacred Heart pada Mei lepas.

Atrium merupakan ruang yang disediakan untuk mempamerkan benda-benda sakramental (sacramental items) bagi tujuan pembelajaran. 

Sebanyak tujuh ruang atau stesen diwujudkan dengan bahan-bahan pameran yang berlainan.

Ia merupakan program yang julung kali diperkenalkan di Paroki Sacred Heart, Kota Sentosa, Kuching oleh Penyelaras Pembentukan Iman Paroki, Sr Susan Dulang, SSFS.

Program ini diadakan untuk memperkenalkan pelbagai perkara berkaitan upacara liturgi Gereja dan iman Katolik seperti altar dan barang-barang suci (Stesen Satu), vestments atau busana (Stesen Dua), Perjamuan Terakhir (Stesen Tiga), pembasuhan kaki (Stesen Empat), kalendar liturgi (Stesen Lima), Jalan Salib (Stesen Enam) dan hirarki Gereja (Stesen Tujuh).

Program ini dijalankan dalam dua sesi mengikut bahasa yang digunakan, iaitu Sesi Satu bagi Kumpulan Bahasa Malaysia (11.00 pagi – 2.30 petang) dan Sesi Dua bagi Kumpulan Bahasa Cina (3.00 petang – 4.30 petang).

SOKONGAN PADU… Para pengunjung bergambar di Atrium yang disediakan bagi Program Untuk Kanak-kanak Sekolah Hari Minggu.

Melalui program ini, para murid, para guru dan umat awam diharapkan memahami dengan lebih mendalam erti dan fungsi bahan-bahan yang diguna dalam upacara liturgi.

Busana para paderi adalah satu simbol yang tidak terpisah daripada misteri yang yang dirayakan.

Para peserta diharapkan keliru dengan nama dan kegunaan peralatan dalam upacara liturgi dan sedar bahawa semua alat liturgi adalah kudus dan mesti diperlakukan dengan hormat.

Mereka diharapkan sentiasa menghargai dengan mendalam kekayaan ajaran Gereja Katolik.

Maklum balas yang diterima daripada murid-murid juga sangat positif.

Mereka sangat teruja apabila mengetahui dan mempelajari dengan lebih tepat tentang nama peralatan yang digunakan semasa perayaan Misa Kudus, tema warna busana yang dipakai oleh paderi, dan banyak lagi perkara lain.

Mereka juga seronok mengambil bahagian di dalam upacara Perjamuan Terakhir dan Pembasuhan Kaki.

Semoga pengetahuan ini kekal di dalam ingatan mereka dan semoga mereka lebih menghargai ajaran dan tradisi Gereja Katolik.


Berita dalam Bahasa Inggeris: Sunday School Activity at St Mark’s Church, Batu Kawa Atrium – Programme For Children

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.