Kebaktian Puji dan Sembah sempena Jerayawara KAYD 2024 diadakan di Paroki Our Lady Queen of Peace, Sri Aman

Para umat dan belia bergambar bersama Fr Henry Jimbey (tengah). (Gambar: Elvin Jali)

Oleh Airellina Betrissa

SRI AMAN — Sempena Jerayawara Hari Belia Keuskupan Agung Kuching (KAYD) 2024, yang dijalankan di Gereja Our Lady Queen of Peace pada 28 Julai 2024, Ministri Belia Katolik (CYM) telah mengadakan kebaktian Pujian dan Penyembahan pada 27 Julai 2024 yang terbuka kepada semua umat di Paroki Sri Aman.

Acara ini telah mendapat sambutan yang meriah daripada para umat dan belia, terutamanya umat yang datang dari pelbagai kawasan seperti Betong, Lubok Antu dan Saratok.

Ia dimulakan pada jam 8 malam dengan doa pembukaan oleh belia CYM Sri Aman.

Nyanyian dan pujian pada malam itu menyentuh hati para umat dan belia, yang merasai kehadiran dan cinta kasih Tuhan Yesus.

Bersesuaian dengan tema acara, iaitu Lukas 4:8 “Tetapi Yesus berkata kepadanya, “Ada tertulis: Engkau harus menyembah Tuhan, Allahmu, dan hanya kepada Dia sajalah engkau berbakti”, perkara itu jelas menyatakan bahawa kita seharusnya memuji dan menyembah satu-satunya Tuhan dalam kehidupan kita, kerana hanya daripada Dia, kita akan mendapat ketenangan dan penyembuhan.

Umat memuji dan menyembah Tuhan dengan penuh penghayatan dalam roh dan kebenaran. (Gambar: Airellina dan Anastasia Audy)

Kebaktian itu kemudian diakhiri dengan doa penutupan dan pemberkatan terakhir daripada Fr Henry Jimbey, yang mengingatkan para umat dan belia bahawa Tuhan Yesus sentiasa bekerja di dalam diri mereka dan membawa mereka lebih dekat kepada-Nya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.