Bersaksilah dan sebarkan berita baik tentang Yesus Kristus

Nyanyian pujian daripada golongan muda. (Semua gambar: Raphael Lutta)

Oleh Sheron Micheal

MIRI — Setiap umat harus memainkan peranan yang aktif untuk bersaksi dan menyebarkan berita baik tentang Tuhan Yesus Kristus agar lebih ramai orang akan mengimani-Nya.

“Kita juga harus berkongsi iman kita dengan orang lain supaya mereka juga boleh datang untuk mengimani-Nya,” kata Uskup Miri, Uskup Richard Ng.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan homili dalam Misa Kudus bagi Sambutan Hari Penaung Santo Dominic 2024 yang telah diraikan pada 11 Ogos lepas di Gereja St Dominic and the Rosary (SDRC), Taman Tunku di sini. 

“Dalam bacaan pertama, Allah menyediakan makanan bagi Nabi Elia untuk menguatkannya dalam perjalanan jauh melalui padang pasir ke gunung Allah. Ini menunjukkan bahawa Allah tidak meninggalkan Elia pada masa dia berputus asa tetapi menguatkan dan menggalakkannya supaya dia dapat menyelesaikan perjalanannya.

“Dalam Injil Yohanes bab 6, Yesus berseru, ‘Orang yang makan roti ini akan hidup kekal. Roti yang akan Ku-berikan untuk hidup manusia di dunia ini ialah tubuh-Ku.’ 

“Kita juga harus berkongsi iman kita dengan orang lain supaya mereka juga boleh datang untuk mengimani-Nya,” katanya.

“Jika pada masa dahulu orang terpaksa berjalan jauh untuk menyebarkan berita baik, namun sekarang kita boleh menyebarkan berita baik dengan pelbagai saluran yang ada, seperti menerusi aplikasi WhatsApp, YouTube dan lain-lain.”

Beliau menegaskan bahawa paroki yang aktif adalah paroki yang mampu menghasilkan tuaian yang banyak.

Misa di Gereja SDRC

Misa Kudus itu dirayakan bersama Rektor SDRC, Fr Kevin Chundi, dan Vikar Jeneral, Msgr Francis Kuleh Usat.

Sambutan Hari Penaung Santo Dominic 2024 diteruskan dengan Jamuan Kesyukuran yang diadakan di dewan serba guna SDRC.

Pelbagai persembahan pentas telah diadakan, termasuk nyanyian daripada kumpulan muda-mudi, sagak Datun Julud Orang Ulu, ngajat Iban, tarian Bidayuh, tarian Melanau, tarian Bisaya dan persembahan daripada Sekolah Minggu serta Ministri Tarian SDRC.

Pada majlis tersebut, Bapa Uskup turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang kuiz Al-Kitab dalam kategori ministri, rumah panjang dan zon dalam Bahasa Malaysia, dalam kategori ministri, rumah panjang dan zon dalam Bahasa Iban, dan dalam kategori Sekolah Minggu. 

Persembahan dari Sekolah Minggu

Sambutan Hari Penaung Santo Dominic 2024 sebenarnya bermula pada 9 Ogos lalu dengan aktiviti jualan amal. 

Acara kamudiannya diteruskan pada 10 Ogos dengan senamrobik beramai-ramai, sukaneka, ceramah kebakaran dan demonstrasi memadam kebakaran daripada anggota Balai Bomba dan Penyelamat Miri Sentral, pertandingan karaoke serta persembahan artis terkemuka tempatan, Jennia Janet dan Sylvia Banyie.

Belajar memadam api

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Lambir, Datuk Dr Ripin Lamat merasmikan aktiviti-aktiviti yang diadakan pada 10 Ogos.

Dalam ucapannya, beliau memberitahu bahawa kerajaan menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) akan sentiasa membantu pihak gereja di dalam menyediakan tempat ibadat yang selesa.

Beliau juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 bagi penganjuran acara-acara di Paroki St Dominic and the Rosary (SDRC).

Pada majlis tersebut, Dr Ripin turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang sukaneka serta beramah mesra dengan para pengunjung dan peniaga di tapak jualan.

Sempena kunjungannya ke Paroki St Dominic, Bapa Uskup turut merayakan Misa Senja di Rumah James Ugil, Sungai Nakat, Bukit Song pada 10 Ogos bersama umat Katolik di rumah panjang tersebut.

Beliau diiringi Vikar Jeneral, Msgr Francis Kuleh Usat.

Seramai enam orang Katolik yang telah berjaya menamatkan kursus penguatan turut menerima Sakramen Penguatan semasa Misa Senja tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.