Oleh Paroki Sacred Heart
KOTA SENTOSA — Pada 19–21 Julai 2024, Jawatankuasa Pembentukan Iman Paroki Sacred Heart telah menjemput Diakon Prof. Dr Sherman Kuek OFS menyampaikan Seminar Satu yang bertajuk ‘Pemberontakan Besar’ dalam siri seminar ‘Allah Menebus Dunia Kita’ di Gereja Sacred Heart, Kota Sentosa.
Siri tersebut dimulakan pada 19 Julai lalu dengan perayaan Misa Kudus.
Pada 20 Julai, program ini telah dimulakan dengan sesi puji dan sembah.
Seminar ini membincangkan persoalan asas tentang iman kita, bermula dengan persoalan ‘adakah Allah itu benar-benar wujud’ dalam Sesi Pertama, bertajuk ‘Kewujudan Allah’.
Dan jika Allah wujud, bagaimanakah kita mengenali Dia? Apakah buktinya Allah itu wujud?
Dalam Sesi Kedua, melalui topik ‘Deposit Iman’, kita diperkenalkan kepada Firman Allah sebagai pengetahuan tentang Allah yang diturunkan dari satu generasi kepada generasi lain, iaitu dari zaman para Rasul.
Dalam topik ini, kita diperkenalkan kepada Kitab Suci dan Tradisi Suci yang dijaga oleh Magisterium Gereja.
Dalam Sesi Ketiga: Allah Tritunggal, kita ditegaskan bahawa hanya ada satu Allah tetapi mempunyai tiga oknum berbeza, iaitu Bapa, Putera dan Roh Kudus.
Allah adalah Persekutuan Peribadi yang wujud dalam cinta kasih Allah yang sempurna.
‘Dunia yang Tidak Kelihatan’, tajuk bagi Sesi Keempat, membawa kita mengetahui lebih lanjut tentang penciptaan, kewujudan dunia yang tidak kelihatan sebelum wujudnya dunia fizikal.
Dalam topik ini juga, kita mengetahui bagaimana dan mengapa kejahatan wujud di dunia ini.
Pada hari ketiga, iaitu 21 Julai, seminar diteruskan dengan topik ‘Bagaimana Allah mencipta manusia dalam dunia yang kelihatan’.
Adakah Adam dan Hawa benar-benar wujud?
Dalam sesinya yang terakhir dalam seminar satu ini, Diakon Sherman menerangkan bagaimana generasi pertama umat manusia, iaitu Adam dan Hawa, jatuh, dan apakah maksud kejatuhan tersebut.
Setelah tamat Sesi Keenam, maka tamatlah ‘Seminar Satu: Pemberontakan Besar’ yang telah dihadiri para pelayan ministri gereja dan umat dari Gereja Sacred Heart, Gereja St Mark dan juga umat dari sekitar Kuching.
Sebelum bersurai, Paderi Paroki Sacred Heart, Fr Felix Au turut menyampaikan ucapan penghargaan kepada Diakon Sherman kerana sudi menerima undangan sebagai penceramah untuk program anjuran Jawatankuasa Pembentukan Iman Paroki Sacred Heart.
Beliau turut menyampaikan cenderahati kepada Diakon Sherman sebagai tanda penghargaan sebelum menamatkan program dengan doa penutup.