Oleh Seminarian Leon Gautier
KUCHING — Seminari Utama Kolej St Peter (SPC), Kuching dan Seminari Utama St Francis Xavier (SFX), Singapura bersidang pada 1–7 Julai 2024 untuk pemukiman (retreat) tahunan mereka.
Perhimpunan ini merupakan yang pertama seumpamanya dalam sejarah Persidangan Uskup-Uskup Katolik Malaysia, Singapura dan Brunei.
Seramai 33 seminarian dari kesemua sembilan keuskupan dan keuskupan agung di Malaysia, bersama-sama dengan 17 seminarian dari Keuskupan Agung Singapura dan dua dari Vikariat Apostolik Brunei Darussalam, berhimpun untuk pemukiman ini.
Turut menyertai mereka adalah formator SFX, iaitu Fr Valerian Cheong, Fr Terence Kesavan dan Fr Edward Seah. Pemukiman ini dipimpin oleh Uskup Agung Emeritus John Ha dari Kuching.
Uskup Agung Emeritus John memberi fokus kepada ayat daripada Yohanes 6:68: “Tuhan, kepada siapakah kami akan pergi? Perkataan-Mu adalah perkataan hidup yang kekal”, sebagai tema bagi pemukiman itu.
Beliau memberi tumpuan kepada skandal Gereja, pemuridan yang gagal, dan akhir sekali pemuridan sebenar, yang berakhir dengan jenis kepaderian yang menjadi aspirasi kita.
Dalam ceramah Uskup Agung Ha, beliau terus membangkitkan kepentingan Firman Allah dalam hidup kita, martabat pembaptisan kita sebagai anak-anak yang dikasihi Bapa, dan transformasi Para Rasul.
Mereka pada awalnya meragui dan menyangkal Yesus tetapi pada akhirnya menjadi martir dan pewarta Berita Baik Yesus, didorong oleh kefahaman yang betul tentang Kristus.
Pemukiman ini berakhir setiap hari dengan Jam Suci. Selain ceramah yang disampaikan, pada Jumaat, 5 Julai, para peserta pemukiman dibahagikan kepada dua kumpulan.
Satu kumpulan pergi ke Gethsemane Pilgrimage Centre di Bunan, manakala satu lagi ke Gereja St Stephen, Bau, untuk ‘pengalaman gurun’ di mana setiap daripada mereka secara peribadi perlu membuat kesimpulan tentang sesi-sesi sebelum itu.
‘Pengalaman gurun’ ini adalah masa senyap, di mana mereka disuruh bercakap hanya dengan Tuhan dan mendengar mesej Tuhan secara peribadi kepada mereka.
Pemukiman selama tujuh hari ini berakhir dengan majlis makan malam kesyukuran sempena Hari Raya Santo Petrus dan Santo Paulus, iaitu penaung SPC, selain penutupan bagi perayaan Gawai-Kaamatan.
Dalam Misa penutupan, Uskup Agung Ha menyuarakan sukacitanya di perhimpunan ini dan menyatakan bahawa masa depan kelihatan memberangsangkan bagi Persidangan Uskup selepas menyaksikan semua seminarian bergaul dan membina persaudaraan dengan amat baik sekali dengan satu sama lain.
Pada majlis makan malam itu, Rektor SPC, Fr Patrick Heng, menyuarakan kegembiraannya kerana segalanya berjalan dengan lancar.
Melihat bagaimana setiap orang berdoa dan bekerja sama adalah satu tanda perpaduan yang jelas dan menyenangkan dalam kalangan bakal paderi pada masa depan, katanya.
Beliau menjelaskan tentang kebudayaan Dayak kepada para tetamu dari Singapura, dan bagaimana kebudayaan yang berbeza dari tiga negara boleh belajar daripada satu sama lain untuk membina Gereja.
Rektor SFX, Fr Valerian Cheong, berkata pada masa depan, mereka dapat bergantung kepada satu sama lain sebagai paderi-paderi bersaudara.
Beliau kemudian mengimbau Perhimpunan Para Paderi Muda (YPG) 2009 dan menceritakan tentang pengalaman indah yang diperolehnya, perkenalan dengan para paderi Malaysia, dan rasa terujanya kerana di YPG pada masa depan, para paderi akan dapat bergaul dengan lebih baik kerana sudah mengenali satu sama lain.
Uskup Agung Simon Poh dari Kuching menekankan kepentingan bekerja bersama sebagai satu Gereja dan membawa Kristus kepada sesiapa sahaja yang kita jumpa, dan membawa Kristus yang kita kenali kepada orang lain.
Selepas pemukiman itu, para paderi dan seminarian dari Singapura meneruskan cuti tahunan mereka di sekitar Keuskupan Agung Kuching, dan menginap semalam di Gethsemane Pilgrimage Centre, Bunan, selain beberapa gereja lain.
Mereka juga menikmati pengalaman kampung di rumah panjang di Kampong Mongkos.
Pada hari terakhir sebelum mereka meninggalkan Kuching, beberapa seminarian juga sempat mengadakan perlawanan bola sepak persahabatan, manakala seminarian lain mengambil kesempatan untuk bersiar-siar di bandar raya ini, termasuk melawat Muzium Budaya Borneo dan beberapa kedai makan tempatan.
Para seminarian turut bercerita tentang sentimen dan pengalaman mereka.
Alex Chua (pelajar Teologi Tahun Pertama – Singapura) mengimbau bahawa mereka sangat sama, termasuk dalam cara mereka menyebut doa ‘Divine Office’; ia adalah satu kesempatan yang amat baik untuk membina persaudaraan dalam kalangan para seminarian dari persidangan uskup-uskup yang sama.
Marcus Yee (Tahun Inisiasi – Singapura) menyatakan bahawa pemukiman itu adalah satu kurnia dan satu sukacita bagi perjalanannya sendiri sebagai seorang seminarian.
Karel Tingang (pelajar Teologi Tahun Ketiga – Brunei) berkata pemukiman itu berhasil kerana beliau berpeluang untuk belajar lebih lanjut tentang sinodaliti menerusi kepercayaan dan pengalaman bersama yang diperoleh kedua-dua seminari.
Joseph D’Cruz, yang sedang menjalani ‘regency’ (Tahun Penugasan Paroki) dan hanya datang untuk menyertai percutian, berkata walaupun interaksi hanya singkat sahaja baginya, ia menyenangkan hatinya untuk mendengar semangat dan kasih sama yang dirasai setiap seminarian terhadap keuskupan masing-masing.
Brywinedren Godon (pelajar Teologi Tahun Keempat – Keningau) merenungkan bahawa ia adalah perlu bagi kita untuk bermukim atau berundur (retreat) setiap hari dengan meluangkan sedikit masa senyap untuk doa peribadi dan mengalami Yesus dalam hidup kita, kerana Dia sentiasa ada bersama kita dan kadang-kadang, kita tidak menyedarinya.
Lincoln Lee (pelajar Teologi Tahun Ketiga – Kuala Lumpur) mengalu-alukan aktiviti gabungan yang sama pada masa depan kerana menerusi pemukiman yang julung kali diadakan ini, ikatan persaudaraan telah dipupuk antara ketiga-tiga negara di bawah persidangan uskup-ukup mereka.
Akhir sekali, Kenny (pelajar Teologi Tahun Pertama – Kuching) mendapati pemukiman itu menyegarkan kerana ia membantunya untuk menumpukan hasratnya dan mengukuhkan panggilannya kepada kepaderian.
(Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: Creating history: When St Peter and St Francis Xavier met