Kem Kerasulan Belia Keuskupan Kuching 30 (KAYA 30) 2024

Gambar beramai-ramai pada hari terakhir KAYA 30 selepas Misa Pengutusan.

Oleh Joan Lau

KOTA PADAWAN — Program KAYA ke-30, yang berakhir baru-baru ini, disertai lebih daripada seratus belia Katolik untuk mendekatkan diri kepada Tuhan.

Dengan tema ‘Siapakah Aku menurutmu?’ yang diambil daripada Injil Markus 8:29, program ini, yang dianjurkan oleh Komisi Belia Keuskupan Agung Kuching saban tahun, berlangsung dari 14 April 2024 hingga 13 Mei 2024. 

Kumpulan belia KAYA pada kali ini terdiri daripada 83 peserta, 19 pelayan sepenuh masa termasuk empat koordinator, 10 fasilitator dan lima helper, serta 40 pembantu sambilan.

Peserta KAYA 30 bukan sahaja belia dari Keuskupan Agung Kuching tetapi juga lima orang dari keuskupan lain, iaitu Pulau Pinang, Sibu dan Melaka-Johor. 

Dalam kalangan pelayan, terdapat dua pelayan sepenuh masa yang datang dari Filipina.

Semua peserta tinggal selama empat minggu di Pusat St Lukas, Kota Padawan, untuk kem ini.

Empat aspek utama yang menjadi fokus KAYA ialah pembentukan rohani, pembentukan manusiawi, pembentukan pastoral, dan pembentukan kehidupan bermasyarakat.

Sepanjang program selama sebulan, peserta terlibat dalam aktiviti seperti Misa Kudus harian, doa berkumpulan, kuliah, sesi dan bengkel, aktiviti kumpulan dan tugasan seperti menjaga kebersihan, keperluan dapur selain pelbagai tugasan lain.

Peserta juga dihantar ke kampung, kawasan perumahan, paroki dan kampung, semuanya dalam wilayah Keuskupan Agung Kuching, di mana mereka menjalankan penginjilan, melakukan kerja-kerja amal, dan belajar daripada orang yang berbeza melalui pengalaman yang berbeza dalam konteks kehidupan Katolik.

Mereka juga menghabiskan hujung minggu untuk program ‘Pendedahan dan Penghargaan kepada Panggilan’ bertujuan untuk membuat peserta mengenali dan mencari nilai “panggilan” yang berbeza dalam mengasihi dan berkhidmat kepada Tuhan, baik sebagai orang bujang, sudah berkahwin, religius mahupun paderi. 

Setiap petang Khamis, mereka meluangkan masa dalam doa dengan Rosari Kudus, Holy Hour, exposisi, adorasi dan benediction serta masa untuk pengakuan dan penjagaan pastoral. 

Dari Khamis selepas makan malam, hingga Jumaat sebelum sarapan pagi, lebih seratus orang muda ini telah menghabiskan semalaman dalam kesunyian kudus yang indah—tidak bercakap, tidak menggunakan telefon, hanya masa bersama, hati ke hati dengan Tuhan. Indah!

Blossom Dance” di Gunung Singai

Menjadikan KAYA 30 lebih formatif dan tidak dapat dilupakan, para peserta bersama penganjur dan helper juga melakukan perjalanan ke tempat-tempat istimewa tertentu. 

Mereka tinggal selama tiga hari dua malam di Pusat Ziarah Peringatan Katolik di Gunung Singai.

Sesetengah daripada mereka juga mendaki untuk sampai ke puncak gunung.  

Mereka juga melakukan lawatan sehari ke Pusat Ziarah Getsemani di Bunan Gega. 

Akhir sekali, mereka menghabiskan waktu petang hingga malam di sebuah resort pantai, Kem Redbee di Sampadi.

Dalam semua ini, semua mengalami kegembiraan dan kecenderungan lebih menghargai Tuhan dan anugerah alam-Nya. 

Ke mana sahaja mereka pergi, mereka sentiasa meluangkan masa membersihkan dan mencantikkan tempat-tempat tersebut, untuk menyumbang kepada penjagaan ciptaan.

Program KAYA 30 diakhiri dengan Misa Penutupan yang dirayakan oleh Uskup Agung Simon Poh bersama Fr Galvin Ngumbang, Fr Davie Entalai dan Fr Ramon Borja, SDB.

Sesuai dengan tema Penutupan Malam Solidariti dan Misa Kudus pada hari terakhir, seperti yang dipilih oleh belia sendiri, iaitu ‘Disatukan oleh cinta, dipisahkan oleh cinta’, semua orang berasa semuanya berakar umbi dalam kesatuan dengan Tuhan. 

Ya, ada kesedihan untuk menamatkan program yang telah menyentuh kehidupan mereka dan berpisah dengan rakan yang telah menjadi lebih rapat dengan mereka. 

Namun, terdapat juga keinginan untuk pergi dan berkongsi Tuhan dengan orang lain, untuk memasuki semula dunia mereka sebelum KAYA tetapi dengan minda, jiwa dan hati selepas KAYA.

Miskin tidak lagi tetapi KAYA dalam rahmat Tuhan!

Malam Solidariti - Pujian dan Penyembahan

Testimoni para peserta

“Shaaaaalommmm!!! Saya Adrian Aden anak Anderson merupakan AKAYA 29 yang menjadi sebahagian daripada service team sebagai fasilitator kepada KAYA 30.

Pada mulanya, saya tidak mempunyai fasilitator kerana sibuk dengan pembelajaran saya. Namun, suatu hari saya mendapat panggilan untuk menjadi fasilitator dan saya mendaftarkan diri saya.

Syukur Tuhan, saya menjawab panggilan tersebut dan memulakan pelayanan saya dengan menghadiri kursus pembentukan selama empat hari sebelum ketibaan para peserta untuk membangunkan jati diri serta semangat kerohanian.

Banyak yang saya peroleh dalam pembentukan ini, termasuklah cara mendengar luahan hati serta cara berdoa untuk orang lain yang mengalami masalah batin.

Hari Minggu, kami menyambut ketibaan tetamu dengan senang hati sambil tersenyum lebar. Program dimulakan dengan Misa Pembukaan dan setelah itu peserta KAYA 30 secara rasminya memulakan pembentukan mereka.

Saya banyak belajar perkara baharu dalam KAYA 30 yang membuahkan hasil dalam menjalankan harian saya sebagai umat Kristian sekali gus membakar semangat saya untuk terus melayani Tuhan.

Tugasan sebagai fasilitator sangatlah mencabar dari segi mental dan rohani kerana kita semua manusia yang serba kekurangan dan tidak sempurna tetapi itu tidak mematahkan semangat, malah saya terus belajar memperbaiki diri.

Bagi saya dalam era globalisasi ini, ramai belia yang jarang dan tidak ingin menyerahkan diri untuk melayan tetapi inilah masanya bagi saya untuk meletakkan diri saya dalam keadaan luar kemampuan saya supaya saya mampu membimbing belia lain di luar untuk berjalan di jalan yang bercahaya bersama Tuhan Yesus.

Saya gembira kerana melalui KAYA 30, saya juga belajar bahawa setiap perbuatan yang kita lakukan akan berkait rapat dengan orang lain juga, maka itu, memahami satu sama lain amatlah diperlukan.

Perkara ini memang merupakan norma biasa yang dilakukan tetapi bagi saya ia amatlah mencabar untuk setiap kita di dunia.

Di KAYA juga saya banyak belajar menjadi diri saya sendiri supaya dapat membantu para peserta juga dalam menjalankan program mereka untuk menjadi diri mereka juga dalam Tuhan.

Semangat kesukanan dan kerjasama bersama fasilitator dan helper yang lain juga dapat dipupuk dalam diri saya untuk meneruskan program KAYA 30 berjalan dengan lancar.

Saya amatlah gembira kerana melalui pelayanan saya di KAYA 30 juga saya dapat mengetahui panggilan saya untuk menjadi paderi semakin kuat, dan saya dapat memimpin peserta lain juga dalam mencari dan menjawab panggilan mereka dalam kehidupan seharian mereka selepas program KAYA 30.

Bukan mudah jalan yang diharungi oleh belia zaman sekarang, banyak rintangan dan badai tetapi kami sebagai pembimbing tidak putus membantu mereka di dalam program ini.

Saya berharap juga agar benih yang disemai dalam KAYA 30 dapat dituai oleh masyarakat Kristiani kita. Saya berharap juga di KAYA akan datang, saya dapat kembali untuk melayani dan belia di luar sana juga mampu kembali melayani bersama…

Tetap berjalan dalam Nama Tuhan Yesus… Alleluia!” Adrian Aden anak Anderson


“Sebelum saya mulakan perkongsian saya, saya ingin memperkenalkan diri saya terlebih dahulu. Nama saya Dymphna Elviela Daniela anak Daniel dari Paroki St Ann Kota Padawan dan membantu dalam Logistic and Technical Ministry untuk Solidarity Night. Saya diberi peluang untuk menceritakan pengalaman sebelum dan ketika KAYA.

Sebelum saya menyertai program KAYA, saya seorang yang antisosial, kurang keyakinan dan saya juga seorang yang tidak mempercayai diri sendiri mahupun orang lain.

Minggu pertama saya dalam program KAYA, saya masih lagi kurang yakin dengan diri saya, terutamanya untuk melayani Tuhan, seperti saya tak berani untuk memulakan perbualan dengan mana-mana peserta dan saya tak berani untuk berdiri di hadapan orang ramai seperti Solidarity Night.

Namun begitu, pada minggu kedua, minggu ketiga dan minggu keempat, saya dapat merasakan kehadiran Yesus dalam diri saya. Hal ini kerana banyak perkara yang telah saya pelajari di sini dan sedikit sebanyak telah membantu saya untuk menjadi lebih yakin diri, berani untuk mencuba benda baharu dan bersosial dengan orang di sekeliling saya.

Sebenarnya, apa yang telah menjadi kebiasaan saya selama 18 tahun ini telah banyak berubah apabila saya menyertai program KAYA.

Dahulu, sebelum saya menyertai program KAYA, saya lebih suka bersendirian kerana saya tidak mempunyai kawan-kawan seperti orang lain. Saya memilih buat kerja sendiri daripada kerja berkumpulan.

Tetapi, sekarang saya selesa untuk melakukan tugas bersama kerana ahli kumpulan saya, iaitu Kumpulan 9 yang lama dan juga Kumpulan 9 yang baharu, banyak mengajar saya untuk keluar dari zon selesa saya sendiri. Terima kasih, kawan-kawan dalam Kumpulan 9. 

Pada masa sama, saya juga berasa lebih dekat dengan Tuhan. Kalau dulu, saya jarang pergi ke gereja atas sebab saya malas, dan saya juga seorang pelajar asrama yang susah keluar dari asrama untuk pergi ke gereja.

Namun sekarang, saya ingin pergi ke gereja tiap-tiap hari dari hari Isnin sampai hari Ahad. Sebelum ini, saya tidak perlu mengikuti Misa Harian, kini saya ingin mengajak ibu bapa menghadiri Misa Harian.

Saya masih ingat ketika saya outreach ke Kampung Pasir Hilir, Lundu, tim saya telah mengadakan doa rosari pada malam Sabtu selepas Sunset Mass yang telah dirayakan oleh Fr Adrian.

Saya dan tim saya telah pun mengetuai rosary prayer itu dan, ketika itu, saya berasa sangat yakin pada diri saya dan rasa kerisauan itu telah pun hilang seolah-olah saya sudah biasa mengetuai orang lain untuk berdoa rosari, tetapi malam itu merupakan malam pertama saya mengetuai doa rosari bersama komuniti.

Dari situ, saya semakin berani untuk mencuba memperbaiki diri dan berdepan dengan orang baharu dengan membawa Tuhan dalam apa jua yang saya lakukan selepas ini.

Di sini juga saya telah banyak mempelajari doa yang selama ini saya tidak tahu pun tentang kehadiran doa-doa tersebut. Taize, Divine Mercy, Holy Hour, Praise and Worship adalah baharu bagi saya.

Tanpa disedari, doa-doa ini membantu membina peribadi Dymphna Elviela Daniela. Jadi saya ingin berterima-kasih atas peluang untuk berkongsi, terutamanya kepada Keluarga KAYA 30, peserta, service team dan terutamanya ibu bapa saya. Tuhan memberkati.” Dymphna Elviela Daniela anak Daniel


Puisi: Disinilah bermula

Ku mencari kebenaran dalam hidupku
Ku mencari jawapan buat persoalanku
Ku mencari terang bagi duniaku
Dan Engkau telah memanggilku ke sini.

Inilah tempat Aku menjumpai segalanya
Engkau memberi aku ketenangan
Engkau memberi aku kegembiraan
Engkau memberi aku pengajaran
Dan Engkau juga memberi aku kekuatan.

Mungkin permulaannya susah
Namun ia diakhiri dengan baik
Maka semuanya akan baik-baik sahaja.

Kini ku rindu akan permulaannya
Ku tidak ingin mengakhirinya
Setiap permulaan pasti ada pengakhirannya
Dan setiap pertemuan pasti ada perpisahannya
Itulah fasa kehidupan.

Namun Tuhan ada misi buat kita semua
Setiap manusia ditentukan takdir tersendiri
Akan kujejakkan kedua-dua kakiku ke alam remaja
Namun kenangan bersama kalian tidak akan pudar.

Semangat baru akan kusemai di dalam hati
Menunggu cabaran di dunia luar
Dari tiada kini berdiri berisi
Menggenggam erat memenuhi cita-cita
Maka percayalah kita akan berjaya

Ia bukanlah pengakhiran
Tapi permulaan buat kita semua…
– Emily

(Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: Kuching Archdiocesan Youth Apostolate 30 (KAYA 30)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.