Gereja Our Lady Queen of Peace lancar Bulan Al-Kitab

SUCI… Seramai 12 pelajar bersama tiga pembaca Injil mempersembahkan naskhah Al-Kitab Suci kepada umat. (Gambar: Marshall)

Oleh Bridget Florina

SRI AMAN — Pada 7 Julai lalu, bertempat di Gereja Our Lady Queen of Peace di sini, Pelancaran Bulan Al-Kitab telah disempurnakan oleh Fr Henry Jimbey. Program ini dikelolakan oleh guru-guru adat Our Lady Queen of Peace, Sri Aman.

Walaupun program ini hanya mengambil masa sekitar 30 minit, namun ia sarat dengan pelbagai pengisian kerohanian, antaranya perkongsian mesej oleh Fr Henry yang diambil daripada perutusan Presiden Suruhanjaya Al-Kitab Keuskupan, Uskup Richard Ng, tentang kepentingan Al-Kitab dalam kehidupan kita.

Memetik kata-kata Santo Jerome, “Ignorance of the Holy Bible is ignorance of Jesus Christ” (Kejahilan tentang Al-Kitab Suci adalah kejahilan tentang Yesus Kristus) merupakan mesej yang ringkas namun sangat tepat serta tidak harus dipandang enteng oleh semua umat Kristian amnya dan umat Katolik khususnya.

MULA BACA… Fr Henry Jimbey, diiringi oleh Pengerusi MCC dan PCC Paroki Our Lady Queen of Peace, Cikgu Collin Robert Lanuk, merasmikan Bulan Al-Kitab di Gereja Our Lady Queen Of Peace, Sri Aman.
ASAS KUKUH… Kanak-kanak bertuah yang menerima naskhah Al-Kitab.

Selain daripada itu, program ini turut dimeriahkan dengan perarakan masuk 12 pelajar yang terdiri daripada pelajar kelas agama Tahap Dua hingga Tahap 10 yang diketuai oleh Cikgu Bandar Isa, Guru Kelas Adat Tahap Tujuh, untuk membawa naskhah Al-Kitab Suci ke hadapan altar dan seterusnya diserahkan kepada umat yang bertuah pada pagi itu.

Slot Kuiz Al-Kitab Spontan yang dikendalikan sendiri oleh Fr Henry turut menambah keterujaan umat untuk menjawab setiap soalan yang diberikan. Sorak-sorai umat yang menjawab soalan telah memeriahkan suasana pada pagi itu.

Acara pada pagi itu kemudiannya diteruskan dengan pembacaan Injil yang telah disempurnakan oleh tiga pelajar, iaitu Audreyana Cornelia Sinta dari Kelas Tahap Empat, Jannelysna Hazellyn dari Kelas Tahap Lima, dan Tadius Arel dari Kelas Tahap Sembilan. Pembacaan Injil dilakukan dalam tiga bahasa, iaitu Inggeris, Melayu dan Iban.

Program ini diakhiri dengan pemberkatan naskhah Al-Kitab, termasuk yang dibawa oleh hadirin sendiri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.