Bangunan Gothik baharu Gereja St Peter masih kekurangan dana

Pembinaan kemas kini Gereja St Peter... 24 Jun 2024. (Gambar: Today's Catholic / Shannon Wei)

Oleh Ivy Chai

KUCHING — Pembinaan Gereja St Peter bercirikan Gothik, yang bernilai RM38 juta, untuk menampung lebih 1,000 anggota paroki, bermula pada Oktober 2019 dan dijangka siap pada Oktober atau November 2024. 

“Kalau kita boleh mendapatkan permit, kita akan mengadakan pembukaan kecil-kecilan dengan Misa tengah malam pada ambang Krismas,” kata Rektor Gereja St Peter di Padungan, Fr Vincent Chin.

Menurut artisan atau tukang dari Itali, Roberto Fasoli, yang akan tamat kontrak pada Ogos, kerja menghasilkan panel kaca berwarna memakan masa kira-kira empat tahun. Setakat ini, dengan kerjasama seorang lagi artisan dari Itali, Ernesto Reducci, mereka sudah menyiapkan kira-kira 80 peratus atau lebih daripada kerja yang telah ditauliahkan kepada mereka.

Menggabungkan reka bentuk Al-Kitab dengan reka bentuk peribumi

Kaca berwarna St Peter yang dikelilingi para penginjil, Lukas, Markus, Yohanes and Matius, serta nabi-nabi dari Perjanjian Lama—Musa, Yeremiah, Yehezkiel dan Daniel, menghiasi bahagian hadapan bangunan gereja itu. Dengan memakan kos RM600,000, ia berukuran 11.5 meter tinggi dan empat meter luas.

Panel kaca berwarna menghiasi dinding dalaman gereja. Pada satu dinding adalah Perjamuan Terakhir Yesus dan 12 Rasul. Tema-tema Al-Kitab yang menggambarkan St Yosef dengan fokus kepada kehidupan Yesus, Keluarga Kudus sereta Bonda Perawan Maria dan penglibatan Bonda dalam sejarah penyelamatan menghiasi dinding-dinding lain.

Dinding kaca berwarna bertemakan Alkitab
Kaca berwarna Kerahiman Ilahi - bahagian luar bangunan Gereja
Tingkap kecil kaca berwarna

Terletak di tengah-tengah banyak lagi kisah Al-Kitab adalah panel kaca berwarna 14 Perhentian Salib. Berjumlah 22 keping, panel yang ditauliahkan itu berharga RM120,000 setiap satu. Tingkap kaca berwarna yang lebih kecil digabungkan dengan motif etnik tempatan dengan tag harga RM35,000 setiap satu.

Gereja itu juga membawa logo-logo Vatikan dan Keuskupan yang dapat dilihat dari luar, dan menghiasi dua pintu dalaman adalah lambang Brooke dan lambang Negeri sekarang.

Kolam pembaptisan berbentuk salib di hadapan santuari masih dalam pembinaan.

Kerja membina santuari dan memasang jublin lantai dalaman sudah bermula. Menurut Fr Vincent, bentuk jubin tersebut direka secara eksklusif bagi gereja itu.

Sebuah Salib kayu yang unik telah didirikan di atas santuari. Korpus atau badan Kristus telah dibuat di Vietnam tetapi dicat oleh seorang artis tempatan. Salibnya dibuat di sini dan berlubang untuk mengurangkan beratnya selain melambangkan dosa-dosa umat manusia. Di bahagian belakang salib tersebut tertera huruf-huruf AMDG, yang bermaksud ‘Demi kemuliaan Tuhan yang lebih agung’ dalam bahasa Latin. 

Gereja St Peter akan dipasang dengan pendingin hawa sepenuhnya dan saluran-salurannya diserap ke dalam reka bentuk dalaman dengan ciri-ciri kawalan suhu.

‘Berilah dengan murah hati, berilah jumlah yang anda dapat berikan’

Walaupun bangunan gereja baharu itu hampir siap, Fr Vincent memaklumkan bahawa projek itu masih kekurangan dana. Beliau menjelaskan belum ada penerimaan daripada janji awal sebanyak RM15 juta untuk menampung kos pembinaan gereja, dan tambahan RM3 juta bagi kolumbarium. 

Sumbangan dalam bentuk wang tunai dan barangan adalah baik setakat ini, tetapi tidak memadai. “Kalau semua menyumbang dan membantu untuk mempromosikannya”, beliau yakin paroki ini dapat mengumpul dana yang diperlukan. Seseorang telah memberitahunya bahawa “semua wang itu ada di dalam saku anggota paroki anda”.

Fr Vincent menegaskan bahawa gereja itu adalah untuk semua dan mesej beliau adalah: “Mereka yang ada lebih, tolong beri dengan murah hati. Mereka yang ada sedikit, berilah jumlah yang anda dapat berikan. Perkara penting adalah UNTUK MEMBERI sebagai rakan untuk menjadikan gereja ini satu realiti—sesuatu yang anda boleh banggakan!”

Kolumbarium dua tingkat sekarang sudah beroperasi. Selain daripada bangunan utama gereja, turut dibina adalah tempat suci Bonda Kita, dewan serba guna yang bersambung dengan sebuah blok pejabat, asrama lapan tingkat bagi sebuah sekolah antarabangsa, pusat formasi empat tingkat, dan tempat letak kereta yang mencukupi. 

(Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: Gothic Church building still lacks funds

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.