By Janet Bong May Ing & Augustine L. Garet
KOTA PADAWAN — Perayaan Gawai dan Kaamatan adalah perayaan penting dalam kehidupan tradisi masyarakat di Sabah dan Sarawak untuk mengucapkan syukur atas berkat dan kurnia yang diterima selama ini, termasuk dengan mengadakan Misa Kudus Kesyukuran.
Dari sudut keagamaan, kesyukuran ini mempunyai makna rohani yang mendalam, seperti petikan daripada Injil Lukas 17:11-19. Kisah tentang sepuluh pesakit kusta yang disembuhkan oleh Yesus menawarkan pelajaran berharga tentang iman, penyembuhan dan rasa syukur yang tulus. Injil ini memberikan makna yang amat mendalam buat renungan kita semua, terutamanya berkait dengan iman dan kepatuhan. Sepuluh pesakit kusta menunjukkan iman mereka dengan mengikuti perintah Yesus untuk pergi kepada imam meskipun mereka belum sembuh pada saat itu. Hal ini jelas menunjukkan bahawa iman merupakan sumber utama bagi tindakan dan kepatuhan, bahkan ketika hasilnya belum terlihat.
Kemudian, penyembuhan dan kasih kurnia dalam penyembuhan sepuluh pesakit kusta ini menunjukkan kuasa Yesus sebagai penyembuh dan pemberi kasih kurnia. Hal ini menggambarkan betapa besar kasih dan rahmat Allah yang dapat mengubah kehidupan seseorang.
Bagaimanapun, hanya seorang sahaja daripada 10 pesakit itu yang menunjukkan kesyukuran yang tulus dan kembali untuk berterima kasih kepada Yesus. Maka perkara ini menunjukkan bahawa rasa syukur yang tulus adalah tindakan yang tepat atas anugerah Allah. Syukur bukan hanya tentang mengucapkan terima kasih, tetapi juga tentang mengakui dan memuliakan Allah atas segala berkat yang diberikan.
Seorang lagi yang kembali kepada Yesus adalah orang Samaria, yang dianggap sebagai orang asing dan tidak disukai oleh kebanyakan orang Yahudi pada ketika itu. Hal ini jelas mengajarkan bahawa kasih Allah dan penyelamatan yang ditawarkan-Nya tidak terbatas kepada kelompok atau bangsa tertentu, tetapi untuk semua orang.
Dalam renungan dunia realiti yang dikongsikan oleh Fr Don Don Romero Ramerez OFM pada Misa Kudus Kesyukuran Pra-Gawai Kaamatan 2024 pada 24 Mei lalu di Gereja Santa Anna di sini, beliau telah mengaitkan identiti setiap etnik dalam gereja dengan pelbagai pakaian tradisi yang berbeza dan menunjukkan betapa indahnya dan uniknya setiap insan.
Selain itu, dalam dunia realiti juga, ramai umat yang hilang rasa syukur terhadap berkat dan kurnia dalam kehidupan seharian. Tuhan hanya akan dicari apabila mereka menghadapi masalah. Dengan ini, kita diajak untuk tidak hanya merayakan satu upacara perayaan tetapi juga untuk merenungkan dan menghayati makna kerohanian di sebalik setiap berkat yang kita terima.