Oleh Janet Bong May Ing & Augustine L. Garet
KOTA PADAWAN — Pada 17 Mei lalu (Jumaat), Paroki Santa Anna telah mengadakan Misa Kudus yang diikuti dengan Perarakan Vigili Perawan Bonda Maria. Para umat memohon bantuan doa Perawan Bonda Maria sebelum memulakan pelayanan dalam pelbagai ministri atau Komiti Gereja Kampung (KGK) atau Komiti Gereja Taman (KGT).
Perayaan ini memiliki makna yang mendalam bagi semua umat Katolik. Vigili merupakan waktu berjaga-jaga dan berdoa, untuk mengingatkan kita akan peranan penting Bonda Maria dalam sejarah penyelamatan umat manusia. Sebagai Ibu Yesus Kristus dan Bonda Gereja, Maria selalu menjadi contoh kesetiaan dan ketaatan kepada kehendak Allah.
Selesai doa sesudah Komuni, semua umat mengikuti perarakan vigili mengelilingi gereja kecuali mereka yang mempunyai masalah pergerakan. Perarakan ini dipimpin oleh Rektor Paroki, Friar Don Don Romero Rameraz OFM, dan Friar Joseph Lee OFM, diikuti dengan pelayan gereja dan umat yang membawa lilin sambil menyanyikan lagu-lagu pujian kepada Bonda Maria.
Patung Bonda Maria telah diarak untuk mengingatkan umat akan kehadiran dan kewujudan Bonda Maria yang turut menantikan pencurahan Roh Kudus yang dijanjikan oleh Yesus kepada para murid-Nya selepas kenaikan-Nya ke syurga.