PKKD merayakan Gawai Dayak 2024 dengan Misa Gawai dan Majlis Makan Malam Gawai Dayak

Uskup Agung Simon (tengah) bergambar bersama para penari dan beberapa ahli jawatankuasa PKKD selepas Misa Kesyukuran Gawai pada 24 Mei lalu. (Gambar: James Tsau)

Oleh Lendik Edmond Mawin

KUCHING — Pada 24 Mei lalu, Pertubuhan Kebudayaan Katolik Dayak (PKKD) dari Paroki Katedral St Joseph menganjurkan Misa Kesyukuran Gawai dengan tema ‘Mensyukuri Berkat Tuhan Dalam Doa” di Katedral St Joseph di sini.

Misa jam 8.00 malam itu dirayakan oleh Uskup Agung Simon Poh bersama Uskup Agung Emeritus John Ha dan lima paderi Keuskupan Agung Kuching, iaitu Msgr William Sabang, Fr Nicholas Ng, Fr Galvin Richard Ngumbang, Fr Henry Jimbey dan Fr Prince Carneelyes Arockiam, CMF.

Bacaan-bacaan disampaikan dalam Bahasa Bidayuh Bukar-Sadong, Bidayuh Salako dan Bahasa Malaysia. 

Dalam homili beliau, Fr Galvin menekankan betapa pentingnya kita harus bersyukur atas segala berkat yang telah kita terima daripada Tuhan dan mengakui bahawa semua perkara yang baik adalah daripada-Nya.

“Kita harus sentiasa merendahkan diri dan menjadikan doa sebagai alat untuk memperkuatkan segala perkara agar ia akan menjadi berkat,” katanya. 

Beliau juga memperingatkan semua yang merayakan Gawai supaya merayakannya dengan kesederhanaan dan tidak melakukan sesuatu yang keterlaluan.

Sementara itu, Fr Prince Carneelyes, seorang paderi dari India dan Rektor Paroki St Jude, Bunan Gega, telah memukau jemaah dengan kefasihannya bertutur dalam dialek Bukar-Sadong ketika menyampaikan mesej Gawainya.

Katedral hampir penuh sesak dengan umat yang menghadiri Misa dengan mengenakan pakaian tradisional masing-masing. 

Misa dimeriahkan lagi oleh para penari PKKD yang mempersembahkan tarian persembahan dan tarian kesyukuran yang begitu indah.

Misa tersebut disusuli Majlis Makan Malam Gawai pada malam 25 Mei di Christian Ecumenical Worship Centre, Jalan Stampin, di sini yang dihadiri ramai dengan 108 meja makan habis dijual.

Uskup Agung Simon (tengah) memukul gong sebagai tanda perasmian Majlis Makan Malam Gawai pada malam 25 Mei di Christian Ecumenical Worship Centre, Jalan Stampin, Kuching, disaksikan oleh Fr Galvin (dua kiri), Fr Nicholas (tiga kanan), Msgr William (dua kanan), dan beberapa ahli jawatankuasa penganjur majlis.

Pelbagai aktiviti hiburan diadakan pada malam itu, iaitu tarian sambutan, persembahan sape oleh guru sape terkenal, Matthew Ngau, Danison Manium dan James Nuratnam, tarian finale, cabutan tiket bertuah serta sesi karaoke.

Kemuncak Majlis Makan Malam itu ialah ‘suara emas’ oleh Uskup Agung Simon yang mendendangkan lagu lama berjudul ‘Kau Yang Sangat Ku Sayang’.

Tarian finale yang dikoreografikan oleh Elsie Elton Lawrence mempamerkan kekayaan dan kepelbagaian budaya Sarawak dengan persembahan yang sangat hebat.

Dalam perutusan Gawainya, Uskup Agung Simon mengucapkan tahniah kepada PKKD yang menyambut ulang tahunnya yang ke-21 dan kerana berjaya menyerapkan kebudayaan, tarian serta muzik Dayak ke dalam ibadat Kristian.

“Saya amat berbesar hati kerana PKKD telah berjaya membentuk generasi kedua para penari dan pemuziknya,” katanya. 

Uskup Agung menyeru kepada semua umat Dayak yang tinggal di kawasan bandar untuk sentiasa membawa anak-anak dan cucu-cucu mereka pulang ke kampung, bukan hanya semasa perayaan sahaja tetapi lebih kerap lagi supaya mereka belajar mencintai kampung halaman mereka dan bersedia membangunkan tanah yang akan mereka warisi daripada nenek moyang mereka.

Beliau juga mengingatkan mereka tentang kepentingan melestarikan iman Katolik melalui kebudayaan untuk generasi masa depan. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.