Diosis Melaka-Johor anjur Bengkel Dalam Talian tentang Kewartawanan Komunikasi Sosial

Sebahagian daripada peserta melalui platform Zoom Meeting

Oleh Friar Jorgerson Japar, OFM

JOHOR BAHRU — Diosis Melaka-Johor, dalam usaha sama dengan SIGNIS Malaysia, berjaya menganjurkan Bengkel Dalam Talian tentang Kewartawanan Komunikasi Sosial pada 11–12 Mei lepas. Acara maya ini, yang dikendalikan menerusi platform Zoom Meeting, dianjurkan sempena Hari Komunikasi Sedunia ke-58. Ia menarik 73 peserta dari seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei, termasuk paderi, rohaniwan dan rohaniwati serta jemaat awam.

Bengkel ini memaparkan dua sesi utama, masing-masing direka untuk melengkapkan peserta dengan kemahiran penting dalam penyampaian mesej media sosial dan penyuntingan kandungan.

Sesi 1: Penyampaian Mesej Menerusi Media Sosial 

Sesi pertama memberi tumpuan kepada perkara penting dalam penceritaan ringkas dan padat, dengan penekanan kepada penyampaian pesanan atau mesej yang memberi impak dalam jangka pendek. Peserta mempelajari seni merangka naratif menarik dan menyampaikan pesanan penting secara berkesan, satu kemahiran amat penting dalam landskap media yang bergerak pantas pada zaman sekarang. Sesi ini bertujuan untuk meningkatkan keupayaan komunikator Katolik menyantuni audiens mereka secara bermakna di platform media sosial.

Sesi 2: Penyuntingan Kandungan Media Sosial 

Sesi kedua menyelami dunia kewartawanan bergerak, dengan menyoroti kuasa telefon pintar sebagai alat untuk menangkap, menyunting dan berkongsi laporan berita. Peserta meneroka etika kewartawanan bergerak dan melakukan sendiri kerja amali, untuk mendapatkan kefahaman tidak ternilai tentang penghasilan kandungan kualiti profesional dengan menggunakan alat bergerak mereka. Sesi ini menggariskan tentang teknologi bergerak yang dapat diakses dan praktikal dalam kewartawanan moden.

Bengkel ini dipimpin oleh dua penceramah unggul: 

Augustine Anthuvan

Augustine Anthuvan, yang berasal dari Singapura, merupakan seorang bekas penerbit eksekutif di Channel News Asia, Mediacorp, dan seorang wartawan kanan TV. Dengan pengalaman meluas dalam fasilitasi literasi media dan sebagai salah seorang tenaga pengajar media berpengalaman di Singapura, Anthuvan membawa ilmu pengetahuan yang tinggi ke bengkel itu. Beliau sekarang berkhidmat sebagai Perunding Latihan Media bagi SIGNIS Malaysia, sebahagian daripada SIGNIS, Persatuan Katolik Dunia bagi Komunikasi.

Dexter Anthony

Berpangkalan di Kuala Lumpur tetapi berasal dari Kapit, Sarawak, Dexter Anthony merupakan Pengarah Kreatif dan Pengarah Filem bagi Semua Perkara Kreatif. Dengan pengalaman bekerja dalam projek-projek komersial, Anthony memberi kefahaman praktikal tentang aspek kreatif dalam pengeluaran kandungan media sosial.

Peserta menyuarakan penghargaan mereka di atas kefahaman tidak ternilai dan kemahiran praktikal yang diperoleh di bengkel itu. “Bengkel ini telah melengkapkan saya dengan kemahiran baharu dan kefahaman yang lebih mendalam tentang penerapan kepercayaan saya ke dalam kerja saya sebagai seorang Komunikator Sosial,” kata Felicia Rinto dari Gereja St Joseph, Plentong.

Seorang lagi peserta, Clayton Andrew, memberitahu bahawa bengkel itu ternyata telah membantunya menghasilkan lebih banyak idea tentang cara untuk menghasilkan imej dan video yang bagus dan menarik perhatian bagi platform media sosial parokinya.

Friar Marvin Jackson Vincent Voo, OFM, menyatakan bahawa salah satu perkara yang beliau hargai dalam bengkel ini adalah peluang bagi peserta untuk berkongsi sumber dan idea bagi menghasilkan kandungan untuk platform media sosial. “Kebanyakan maklumat yang dikongsikan adalah baharu bagi saya walaupun saya sudah berkhidmat dalam bidang Komunikasi Sosial selama beberapa tahun ini,” katanya. 

(Terjemahan)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.