Niat Doa Paus bagi Bulan Mei: Bagi pembentukan religius lelaki dan wanita

Oleh Francesca Merlo

KOTA VATIKAN — Bagi bulan Mei, Paus Francis mengajak kita untuk memanjatkan doa-doa bagi “pembentukan religius lelaki dan wanita serta seminarian”.

Dalam videonya ketika mengumumkan niat doa bagi bulan Mei, Paus Francis mengingatkan bahawa setiap panggilan adalah “intan kasar” yang perlu digilap, diolah dan dibentuk pada setiap sudut.

Bapa Suci menyatakan bahawa “seorang paderi, rohaniwati atau biarawati yang baik mesti terutama sekali menjadi seorang lelaki, seorang wanita yang diolah, dibentuk oleh rahmat Tuhan”. Ini adalah orang yang sedar tentang keterbatasan diri sendiri dan bersedia “menjalankan kehidupan doa, kesaksian yang berdedikasi kepada Injil”.

Dalam perutusannya yang diamanahkan kepada ‘Pope’s Worldwide Prayer Network’, Paus mengingatkan kita bahawa bermula dalam seminari atau novisiat, persiapan mereka mesti berkembang secara bersepadu dalam hubungan langsung dengan kehidupan orang lain. Ini, tambahnya, “adalah mustahak”.

Ia adalah penting untuk memahami bahawa pembentukan tidak berakhir pada waktu khusus, seperti pentahbisan, tetapi sebenarnya berterusan sepanjang hidup, yang menyepadukan seseorang itu dari segi intelek, kemanusiaan, emosi dan rohani.

Persiapan diteruskan dengan kehidupan dalam sebuah komuniti. “Kehidupan dalam komuniti begitu mengayakan, walaupun ia kadang-kala mungkin sukar.

“Kehidupan bersama tidak sama dengan kehidupan dalam komuniti,” tambah Paus.

Akhir sekali, Paus Francis meminta kita berdoa agar “religius lelaki dan wanita serta seminarian berkembang dalam perjalanan panggilan masing-masing menerusi pembentukan manusiawi, pastoral, rohani dan komuniti, yang membimbing mereka untuk menjadi saksi Injil yang boleh dipercayai”. 

Vatican News (Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: Pope’s May Prayer Intention: For the formation of men and women religious

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.