160 umat paroki di Sri Aman hadiri Kursus Pembentukan Iman

Oleh Kelly Damian

SRI AMAN — Satu seminar kerohanian dipanggil ‘Faith Formation Course’ telah diadakan di Gereja ‘Our Lady Queen of Peace’ Sri Aman bersempena dengan Musim Pra-Paska.

Ini adalah program kerjasama di antara Gereja ‘Holy Family’ Betong dengan kumpulan Alpha, yang diketuai oleh Fr Lazarus Swinie.

Seminar ini diadakan pada 16 Mac lepas dan dihadiri kira-kira 160 umat dari Sri Aman, Betong dan Saratok.

Seminar ini diadakan dengan tujuan untuk meningkatkan pemahaman serta iman para peserta tentang agama Katolik, terutama sekali dalam kalangan peserta dari kelas Upacara Inisiasi Kristian bagi Orang Dewasa (RCIA).

Selain daripada bagi tujuan kerohanian, seminar ini diharapkan dapat menyemarakkan lagi Roh Kudus di dalam diri peserta serta memupuk lagi semangat kekeluargaan dan kekitaan dalam kalangan umat dari tiga zon ini.

Rata-rata umat berpendapat bahawa seminar ini telah memberi impak kepada pengertian dan pemahaman mereka mengenai keimanan dan semangat hidup di dalam gereja.

Selain itu, ia juga dapat menambahkan pengetahuan tentang Yesus dan tanggungjawab setiap kita sebagai pengikut Yesus.

Melalui seminar ini, peserta turut mempelajari jenis-jenis doa dalam Gereja Katolik, selain mengapa dan bagaimana kita dapat berdoa.  

Seorang peserta dari kalangan calon RCIA, Laura Jane, mengatakan ini merupakan kali pertama beliau menghadiri seminar seumpama ini.

Perkongsian ilmu daripada seminar ini amat berharga buat dirinya sebagai seorang katekumen kerana banyak pengetahuan baharu yang beliau dapat daripada program tersebut.

Laura juga mengetahui lebih banyak mengenai Yesus dan cara-cara berdoa yang betul.

Manakala itu, menurut Hendry Lopes Dingol, program seumpama ini amat diperlukan oleh umat Katolik untuk mengingatkan kembali peranan kita sebagai seorang Katolik.

Seorang lagi peserta seminar, Marphy, berpendapat bahawa program ini patut diadakan setiap tahun, dan beliau merasakan bahawa perkongsian ilmu berkenaan amat jelas dan mudah difahami.

Seminar ini telah dimulakan dan diakhiri dengan doa oleh Fr Lazarus Swinie.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.