Niat doa Paus bagi April: “Bagi peranan kaum wanita”

Paus Francis memberkati seorang wanita

Oleh Deborah Castellano Lubov

VATICAN CITY — Niat doa bulanan Paus Francis pada April adalah “bagi peranan kaum wanita”.

Paus mengajak Gereja berdoa bagi niat ini dalam The Pope Video pada bulan ini, yang diamanahkan kepada seluruh Gereja Katolik menerusi The Pope’s Worldwide Prayer Network.

Dalam The Pope Video bagi April, Bapa Suci menekankan langkah yang perlu diambil masyarakat pada hari ini, dan meminta umat Kristian menyertainya dalam doa “agar maruah dan nilai kaum wanita diiktiraf dalam setiap budaya, dan bagi penamatan kepada diskriminasi yang mereka hadapi di beberapa tempat di dunia”.

Kecaman Paus Francis

Paus dalam videonya menggambarkan jurang besar yang wujud di antara prinsip-prinsip yang dinyatakan dengan amalan sebenar.

“Dalam teori, semua kita setuju lelaki dan wanita mempunyai maruah yang sama sebagai insan, tetapi ini tidak ditunjukkan dalam amalan,” katanya.

Paus memberi contoh konkrit, dengan memetik “undang-undang diskriminatori” yang berkuat kuasa sekarang: kod pakaian mandatori, halangan kepada pendidikan berterusan, penafian bantuan bagi peluang pekerjaan, dan beliau mengimbau hakikat bahawa “di banyak negara, pencacatan alat kelamin masih diamalkan”.

Maka itu, katanya, “kerajaan perlu beriltizam untuk menghapuskan” diskriminasi ini dan “bekerja ke arah menjamin hak asasi wanita”.

Beliau juga meminta semua kita menghormati kaum wanita, yang malangnya masih dilayan “seperti sesuatu yang perlu dibuang” dan sering menjadi mangsa keganasan dan penganiayaan di banyak tempat di dunia, malah di negara yang didakwa lebih maju. “Dan jika kita tidak [hormat kaum wanita],” tambah Paus, “masyarakat kita tidak akan maju”.

Percanggahan masih wujud

Menurut satu kenyataan akhbar dari The Pope’s Worldwide Prayer Network, percanggahan adalah banyak dalam dunia pada hari ini.

Sementara di beberapa negara, kaum wanita ada akses kepada pendidikan dan pekerjaan, selain memegang peranan kepimpinan dalam perniagaan dan organisasi, ramai lagi yang masih belum menikmati peluang yang sama seperti kaum lelaki.

Dalam pasaran pekerjaan, kurang daripada satu dalam dua wanita di dunia bekerja, dan kaum wanita memperoleh pendapatan kurang 23 peratus berbanding kaum lelaki. Demikian juga dengan pendidikan apabila kita memikirkan bahawa wanita yang celik huruf adalah golongan minoriti di beberapa negara. Contohnya di Niger, 27 peratus.

Sedikit peluang bermakna kesusahan ekonomi yang teruk.

Menurut Wanita Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ia dianggarkan bahawa menjelang 2030, lapan peratus wanita dan gadis akan hidup dalam kemiskinan tegar, dan 25 peratus wanita tidak akan ada cukup makanan.

Srikandi sepanjang masa

Pengarah Antarabangsa bagi The Pope’s Worldwide Prayer Network, Father Frédéric Fornos SJ, merenungkan niat pada bulan ini, dengan mengimbau bahawa “dari awal lagi, Yesus mengalu-alukan kaum wanita sebagai murid-murid-Nya. Ini adalah sesuatu yang baharu dalam masyarakat pada zaman itu”.

 “Seperti yang disaksikan oleh Injil,” tegasnya, “bonda Yesus, Maria, menduduki tempat yang menonjol dalam kalangan Para Rasul dan dalam komuniti awal”. Beliau juga memerhatikan bahawa Yesus mengamanahkan misi untuk mengumumkan Kebangkitan-Nya kepada seorang wanita, Maria Magdalena.

Fr Fornos mengingatkan, di sepanjang sejarah, kaum wanita telah menyumbang kepada dinamisme rohani dalam Gereja, dengan memetik secara khusus Santa Teresa Avila, Santa Catherine Siena, dan Santa Thérèse Lisieux, semuanya Doktor Gereja, selain ramai lagi santa lain.

The Pope’s Worldwide Prayer Network

The Pope Video merupakan satu inisiatif global rasmi dengan tujuan menyebar niat-niat doa bulanan Bapa Suci. Ia dijalankan oleh The Pope’s Worldwide Prayer Network (Kerasulan Doa). Sejak 2016, The Pope Video mendapat lebih 203 juta tontonan di kesemua rangkaian sosial Vatikan dan diterjemahkan ke dalam lebih 23 bahasa, dan menerima liputan media di 114 negara.

 Video-video berkenaan diterbitkan dan dicipta oleh pasukan The Pope Video Prayer Network, diselaraskan oleh Andrea Sarubbi, dan diedar oleh La Machi Communication for Good Causes. Projek itu ditaja oleh Vatican Media.

The Pope’s Worldwide Prayer Network adalah sebuah yayasan Vatikan, dengan misi untuk menggerakkan umat Katolik menerusi doa dan tindakan sebagai sahutan kepada cabaran yang dihadapi umat manusia dan misi Gereja. 

Cabaran-cabaran ini dikemukakan dalam bentuk niat-niat doa yang diamanahkan oleh Paus kepada seluruh Gereja.

Vatican News (Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: Pope’s April prayer intention: ‘for the role of women’

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.