Oleh Christina Jonypha
LUNDU — Pada 9 Mac lalu, Program ‘Lenten Walk’ Peringkat Zon Batang Kayan julung kali diadakan bagi Paroki Holy Spirit, Lundu.
Program itu disertai lebih kurang 300 orang yang terdiri daripada umat yang datang dari pelbagai peringkat umur dari KGK Holy Spirit dan KGK-KGK dalam zon tersebut.
Program dimulakan dengan Misa Kudus yang dirayakan oleh Fr Davie Entalai.
Ia disusuli dengan perarakan beramai-ramai sambil berdoa Jalan Salib dari KGK St Gregory, Selampit hingga KGK St Clement, Perian sejauh sekitar 4 kilometer.
Umat dibahagikan kepada beberapa kumpulan seperti umat KGK, belia Zon, para Pemimpin Ibadat Zon, para Pengerusi KGK Zon dan anggota Ladies Guild Zon.
Mereka bukan sahaja mengetuai doa di setiap stesen Jalan Salib yang telah ditetapkan, malah diberi kesempatan untuk sama-sama memikul kayu salib setinggi kira-kira 14 kaki.
Perarakan berakhir sekitar jam 9.30 malam dengan jamuan ringan bersama.
Sebelum beredar pulang, Fr Davie, mewakili para pengerusi Peringkat Zon Batang Kayan, mengumumkan program ‘Lenten Walk’ tahun 2025 akan diadakan di KGK St Vincent, Stungkor Baru ke KGK St Peter, Stungkor Lama.
Program ini diharapkan dapat dilaksanakan sebagai aktiviti tahunan yang akan menjadi salah satu ibadah Musim PraPaska dengan tujuan menyatukan umat Katolik dalam zon tersebut dan membangkitkan semangat pelayanan demi Tuhan dan sesama.
Berita dalam Bahasa Inggeris: Lenten Walk: Stations of the Cross procession