Retret Gabungan Majlis Pastoral Paroki (2024-2026) bertemakan Misi Paroki “Menjadi Lambang Iman”

Fr Paul Lo memberi penerangan tentang misi gereja.

Oleh Jarisah Gondikit

KOTA KINABALU — Ketika Gereja memasuki permulaan musim Prapaskah pada hari Rabu Abu, satu retret Majlis Pastoral Paroki gabungan Katedral Hati Kudus (SHC), Paroki Mary Immaculate (CMI), Paroki St Paul Dontozidon (SPD) dan Gereja Our Lady Queen of Peace bersama tujuh ahli Majlis Kewangan Pastoral Paroki (PFPC).

Retret yang berlangsung di sebuah hotel tempatan pada 15 Feb 2024 disertai oleh 53 ahli Majlis Pastoral Paroki untuk berkongsi dan membincangkan halatuju dan perancangan konkrit paroki masing-masing. Turut serta dalam program itu ialah Fr Paul Lo, Fr Russell, Fr Saimon William dan Fr Terans serta seminarian Yosef Yup.

Retret dimulakan dengan pentakhtaan Alkitab dan diakhiri dengan Misa Kudus. Fr Paul Lo telah menyampaikan katekesis Misi Paroki – ”Menjadi Lambang Iman” kepada kesemua paroki yang terlibat. Mengambil petikan 1Kor 1:17-25;2:1-9 dan Injil Matius 28:16-20 di mana para rasul yang dipenuhi dengan Roh Kudus memberitakan tentang Yesus yang disalibkan. Sama seperti para rasul, mereka semua juga telah dipanggil untuk memberitakan tentang Kristus bukan dengan kebijaksanaan manusiawi tetapi dengan kuasa Roh Kudus yang telah dijanjikan oleh Kristus untuk bersama kita sehingga akhir zaman.

Fr Paul Lo juga telah mengambil petikan dari Lumen Gentium (dokumen Vatican Council II) tentang “Gereja adalah Terang bagi bangsa-bangsa dan Sakramen Kristus”. Beliau seterusnya menerangkan tentang Gereja yang boleh dilihat dalam Persekutuan Ekaristi Mingguan di mana Kristus hadir melalui paderi yang ditahbis, pewartaan Sabda Tuhan, Ekaristi yang dirayakan dan persekutuan umat yang hadir.

Penerangan tentang misi gereja seterusnya diambil dari petikan dokumen Vatican council – Gaudium Et Spes: ‘kegembiraan dan harapan, kedukaan dan kerisauan manusia zaman ini, terutama mereka yang miskin atau dalam apa jua keadaan menderita, adalah kegembiraan dan harapan, kesedihan dan kebimbangan para pengikut Kristus. Dalam Matius 5, gereja dilambangkan sebagai garam, terang dan ragi (kepada yang miskin, sakit, pendatang, krisis keluarga, mereka yang kesunyian dan depresi serta warga tua).

Para peserta retret disedarkan bahawa intipati Doa Diosis Agung sesungguhnya memang telah mengambilkira isu perbincangan dalam Perhimpunan Majlis Paroki pada 28 Sept 2023 – Gereja (Evangelium Gaudium), Keluarga (Amoris Laetitia), Sosial (Fratelli Tutti) dan Alam Sekitar (Laudato Si).

Salah satu kumpulan sedang membincangkan perancangan misi konkrit paroki.

Oleh itu gereja yang berpusatkan Ekaristi harus menjadi gereja missionari menjadi saksi cintakasih Kristus sepertimana yang telah diperintahkan oleh Yesus sendiri: saling mengasihi (Yoh 13:34-35). Dalam masa yang sama si iblis tidak pernah berhenti menyerang gereja dengan menggoda manusia, malah iblis menyerang melalui institusi kepaderian dan keluarga dengan menwujudkan pelbagai masalah antaranya skandal dan perceraian. Namun Yesus memberikan nyanyian kemenangan terhadap pertempuran dengan iblis (Wahyu 12:7-12).

Fr Paul mencadangkan sepanjang bulan Oktober (Mission Month), diadakan pembelajaran Evangelium Gaudium (Sukacita Injil), misi penginjilan yang diutus secara berpasangan dan doa rosari khas untuk intensi bulan misi tersebut. Ini sebagai sahutan kepada pengistiharan Bapa Suci Fransiskus, menjadikan Tahun 2024 sebagai Tahun Doa kerana doa adalah nadi iman.

Sebagai gereja yang berjalan bersama, adalah dicadangkan agar umat dewasa harus sentiasa berjalan bersama para belia dalam jagaan paroki, malah semua komuniti harus memainkan peranan untuk membimbing para belia. Di samping itu, Fr Paul juga berharap agar Komiti Kehidupan Keluarga dan Apostolik Alkitab dapat bekerjasama untuk mewujudkan bimbingan Doa Keluarga yang dapat digunakan untuk  keluarga berdoa bersama pada setiap hari Ahad.

Selepas memberikan semua input, peserta seterusnya melakukan saat teduh selama setengah jam untuk membuat refleksi tentang tiga soalan berpandu yang diberikan oleh Fr Paul. Kemudian, para peserta dibahagikan  kepada 12 kumpulan yang terdiri dari enam ahli gabungan pelbagai paroki untuk berbincang  dan berkongsi pendapat tentang soalan yang telah diberikan awal.

Selepas makan tengahari semua peserta dikumpulkan semula mengikut paroki bagi membincangkan perancangan misi konkrit paroki masing-masing dan disusuli dengan perkongsian berbentuk laporan. Sebelum retret berakhir dengan Misa penutupan, pengerusi setiap Majlis Pastoral Paroki diberikan kesempatan untuk berucap. Turut memberikan ucapan adalah pengerusi Majlis Kewangan Pastoral Paroki, Anthony L.

Catholic Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.