PULAU PINANG — “Keuskupan Pulau Pinang menerima hadiah dua kali ganda iaitu dengan pengangkatan Uskup Sebastian Francis ke kolej kardinal, menandakan ikatan perpaduan dengan Bapa Suci menjadi lebih kuat dan nyata.”
“Selain itu, Gereja tempatan melihat dirinya dalam cahaya persekutuan yang lebih luas dari Gereja sejagat, yang dipelihara dalam kesatuan iman oleh Roh Kudus, melalui ikatan konkrit penerus Sto Petrus,” kata Kardinal Giorgio Marengo dari Mongolia semasa menyampaikan homili semasa Misa Kudus Kesyukuran Pengangkatan Uskup Sebastian menjadi Kardinal di Basilika Kecil Sta Anna.
Misa Kudus kesyukuran pada Januari 8, itu dihadiri oleh para Kardinal dari Singapura, Thailand, Vietnam dan Mongolia, Wakil Sri Paus ke Malaysia, Uskup Agung Wojciech Załuski, para Uskup/Agung dari Konferensi para Uskup Malaysia, Singapura dan Brunei, para klerus dari pelbagai Keuskupan, para pemimpin umum pelbagai kongregasi, para pemimpin dari denominasi Kristian, wakil Ketua Menteri Pulau Pinang, mantan duta pertama Malaysia ke Vatikan iaitu Tan Sri Bernard Dompok dan ramai lagi.
Ia dimulakan dengan perarakan meriah dengan tarian dari komuniti Indonesia, diikuti para pemegang Jalur Gemilang dan bendera negeri-negeri di Malaysia, putera-puteri altar, diakon dan para klerus.
Sebelum ritus pembukaan Misa, Uskup Agung Julian Leow dari Kuala Lumpur, memperlihatkan serta membaca Dekri Bapa Suci Fransiskus atau papal bull yang mengumumkan keanggotaan Uskup Sebastian ke jabatan Kardinal.
Kardinal Sebastian dalam ucapannya mengungkapkan kesyukuran kepada Sri Paus Fransiskus, yang mempercayainya sebagai kardinal kedua Malaysia melalui surat Bapa Suci pada Julai 9, 2023.
Prelatus itu mengongsikan tiga pesan utama Bapa Suci iaitu:
- Kesejagatan Gereja Katolik yang bersumber pada pengalaman Pentakosta
- Inkulturasi iman
- Inkulturasi budaya.
Kardinal berusia 72 tahun itu juga mengingatkan bahawa tahun 2024 merupakan tahun persiapan untuk Tahun Jubli 2025 iaitu Tahun Harapan yang bertema, “Penziarah Harapan.” Kardinal Sebastian turut menyeru semua umat agar bersedia dengan sebuah perhimpunan besar yang melibatkan kongregasi Malaysia iaitu Perhimpunan Pastoral Malaysia 2026 (MPC 2026).
“Kita Gereja Asia adalah pencerita (story teller). Kita ingin memberitahu mengenai Yesus dan meminjam kata-kata Kardinal Giorgio – membisikkan Injil kepada semua orang yang kita temui.
“Dan saya ingin menambah, sebarkanlah Injil Sukacita, Belas Kasihan dan Harapan kepada semua orang.”