BAU — Uskup Agung Katolik Metropolitan Kuching, Simon Poh telah memberkati patung Kristus Raja di Pusat Ziarah Memorial Katolik (CMPC) Singai pada hari pertama tahun baharu 2024.
Prelatus itu memberkati patung tersebut semasa memimpin Misa Kesyukuran Tahun Baharu yang diadakan di perkarangan pintu masuk CMPC yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Dato Henry Harry Jinep dan Presiden Persatuan Penyelidikan serta Pembangunan Singai Sarawak, Datuk Peter Nansian.
Uskup Agung Poh semasa menyampaikan ucapannya berkata patung itu adalah arca moden yang boleh dilihat oleh semua orang khususnya mereka yang berziarah atau datang ke Gunung Singai.
“Bila-bila anda datang ke Gunung Singai, temuilah patung Kristus Raja sambil berjalan di perhentian-perhentian Jalan Salib dan berdoa di chapel Kristus Raja,” katanya.
Sementara itu, pengerusi CMPC Vincent Eddy Sireng menyebut istilah ‘Inkulturasi’ yang merupakan penjelmaan atau inkarnasi Injil yang mempengaruhi budaya asli agar penyebaran iman lebih mengena dengan cita rasa budaya setempat.
“Khabar Sukacita Yesus di Singai bermula pada 1885 dengan kedatangan para misionari pertama.”
“Khabar Gembira ini telah berkembang dan tersebar ke seluruh bahagian Bau dan negeri Sarawak pada umumnya.”
“Itulah sebabnya kita boleh mengatakan Yesus telah meresapi kehidupan di Singai di kalangan orang-orang tempatan.”
“Wajah patung itu adalah simbolik dan bukan gambar statik. Wajah patung itu boleh menjadi orang Asia, Bidayuh atau “orang putih.”
“Maksudnya tetap sama iaitu Kristus adalah Raja Sang Semesta Alam dan Sang Penyelamat bagi kita semua.”
“Orang Kristian di tanah besar China, Afrika dan Amerika Latin serta banyak negara lain telah lama memasukkan unsur budaya, bahasa dan seni mereka dalam agama Kristian. Kita harus melakukan perkara yang sama secara sedar di sini di Singai,” tambahnya.
Utusan Borneo / Herald Malaysia (Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: Archbishop Simon Poh blesses Singai’s Christ the King statue