KOTA VATIKAN — Niat doa bulanan Pope Francis pada Februari ini adalah bagi golongan pesakit parah dan keluarga mereka.
Paus menjemput Gereja untuk berdoa bagi niat itu dalam The Pope Video pada bulan ini yang diamanahkan kepada seluruh Gereja Katolik menerusi Jaringan Doa Sedunia Paus.
Video pada bulan ini dikeluarkan pada bulan di mana Gereja merayakan liturgi peringatan bagi Bonda Perawan Lourdes pada 11 Februari, iaitu Hari Pesakit Sedunia.
Pope Francis menjelaskan “apabila ada orang bercakap tentang penyakit padah, mereka selalunya keliru mengenai dua perkataan: tidak dapat disembuhkan, dan tidak dapat dijaga tetapi kedua-duanya tidak sama”.
Menjaga walaupun tidak dapat menyembuhkan
Beliau memetik kata-kata paus terdahulu, Pope St John Paul II, “Sembuhkanlah kalau boleh, sentiasa menjaga.”
Imej-imej dari The Pope Video bagi bulan Februari merupakan contoh situasi yang menunjukkan cinta kasih dan kelemahlembutan bagi golongan pesakit parah, dan bergantung kepada cara ia diterjemahkan, menggambarkan siri kegagalan atau kejayaan, dengan kegagalan yang bermaksud “jika satu-satunya kesudahan yang diterima adalah kesembuhan”, manakala kejayaan pula adalah “jika objektif adalah penjagaan pesakit”.
Pope Francis menjelaskan, walaupun peluang tiada bagi penawar, “setiap orang sakit ada hak untuk mendapatkan bantuan perubatan, psikologi, rohani dan manusiawi”.
“Penyembuhan,” beliau mengaku, “tidak selalunya boleh berlaku tetapi kita boleh sentiasa menjaga orang sakit, menjaga mereka”.
Jaminan keakraban dan sokongan
Merenungkan kepentingan penjagaan paliatif, Pope Francis mengesahkan semula bahawa penjagaan sedemikian “menjamin bukan sahaja perhatian perubatan kepada pesakit” tetapi juga “keakraban dan bantuan kemanusiaan”.
Sementara itu, ketika bercakap tentang peranan keluarga, beliau menggariskan bahawa mereka yang menderita “tidak harus dibiarkan bersendirian pada waktu sukar sekarang”.
Peranan keluarga “amat penting”, kata Paus, yang menegaskan saudara-mara “memerlukan akses kepada cara yang memadai untuk memberikan sokongan fizikal, rohani dan sosial”.
Pope Francis membuat rumusan dengan meminta doa dan komitmen daripada semua orang agar “golongan sakit parah dan keluarga mereka sentiasa menerima bantuan dan penjagaan manusia dan perubatan yang diperlukan”.
Jaringan Doa Sedunia Paus
The Pope Video merupakan satu inisiatif global rasmi dengan tujuan menyebar niat doa bulanan Bapa Suci. Ia dijalankan oleh Jaringan Doa Sedunia Paus (Kerasulan Doa). Sejak 2016, The Pope Video mempunyai lebih daripada 203 juta tontonan merentasi semua jaringan sosial Vatikan dan diterjemahkan kepada lebih 23 bahasa, yang menerima liputan media di 114 buah negara.
Video-video tersebut diterbitkan dan dicipta oleh pasukan Jaringan Doa Video Paus yang diselaraskan oleh Andrea Sarubbi lalu diedarkan oleh La Machi Communication for Good Causes. Projek itu ditaja oleh Vatican Media. Untuk maklumat lanjut: The Pope Video.
Jaringan Doa Sedunia Paus merupakan sebuah yayasan Vatikan dengan misi untuk menggerakkan umat Katolik menerusi doa dan tindakan sebagai tindak balas kepada cabaran yang dihadapi umat manusia dan misi Gereja. Cabaran itu dikemukakan dalam bentuk niat doa yang diamanahkan oleh Paus kepada seluruh Gereja.
Vatican News (Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: Pope’s February prayer intention: For the terminally ill