Program hujung minggu bersama seminarian

Para Seminarian bergambar bersama Fr Bede Anthonius dan para peserta dari komuniti setempat.

Oleh Juanis Marcus

KENINGAU — Aspiran dan Seminarian dari Keuskupan Keningau menganjurkan Program Hujung Minggu bersama Seminarian. Selain ‘fellowship’, program itu juga bertujuan untuk memberi peluang kepada para belia setempat untuk mendengar sendiri perkongsian daripada para seminarian.

Kali ini para seminarian tersebut memilih untuk mengadakan program di Rumah Retret Keuskupan Keningau, Kg Tuarid, Tatal. Para seminarian yang terlibat adalah Candy Yangun (CDC), Jackelson Jimmy (CDC), Valerian Victor (CDC), Uldrich Mark (IY), Clive Leo Singki (IY), Bob Cornelius (IY), Devson Konsuang (CG), Hogan Bonaventure (CG), Alexsius Linggam (CG), Nelbert Victor (SPC), Byrwinedren (SPC) dan Timothry (SPC).  

Program pertama para seminarian itu bermula pada 5 Jan 2024, yang mana mereka menjemput Uskup Cornelius Piong, paderi yang melayani di  Paroki KSFX, pengerusi MPP dan pengerusi-pengerusi Zon Paroki KSFX untuk satu majlis makan bersama. Paderi yang hadir adalah Msgr Gilbert Lasius (Rektor Paroki KSFX), Fr Roney Mailap (Pembimbing Rohani Komisi Panggilan), Fr David Gasikol dan Fr Ferdinandus.

Pada Majlis Makan bersama itu, para seminarian diperkenalkan kepada semua yang hadir. Uskup Cornelius Piong pula dalam ucapan singkatnya, mengingatkan kepada para seminarian  agar membuat renungan mengenai, “Apakah yang kamu cari?”, agar panggilan mereka semasa pembentukan semakin dikuatkan.

Keesokannya, 6 Jan 2024, aktiviti dimulakan dengan Misa Kudus Pagi, yang diselebrankan oleh Uskup Cornelius Piong. “Yohanes Pembaptis dan Yesus menunjukkan teladan tentang kerendahan hati kepada kita semua. Oleh itu dalam pembentukkan anda nanti, harus ada kerendahan hati untuk menerima Yesus, agar Dialah yang membentuk panggilan kita itu,”jelas prelatus itu semasa homili.

Aktiviti hari kedua para seminarian itu turut ditemani oleh 22 orang peserta yang datang untuk mendengar perkongsian. Perkongsian pertama diberikan Aspirant Clive Leo bertajuk “Apa itu Panggilan dan Komitment hidup?”. Selepas itu pula Aspirant Jackelson memberi perkongsian mengenai “Paderi Keuskupan”. Pada sebelah petang pula, para peserta diperkenalkan dengan beberapa kongregasi religious seperti  Sister Poor Clare (OCS) yang disampaikan oleh Sr M Chiara dan Kongregasi OFM, yang disampaikan oleh Friar Timothy. Pada sebelah malam pula, para seminarian bersama peserta menonton movie bersama bertajuk “John Constantine”.

Hari ketiga, 7 Jan 2024 pula, para seminarian bersama dengan peserta mengikuti Misa Minggu di Rumah Retret Keuskupan Keningau, Tatal yang diselebrankan oleh Fr Bede Anthonius. Selepas Misa, para seminarian dan peserta mengambil masa untuk bergambar bersama, serta mendengar perkongsian dapatan dari para peserta.

Dari 12 orang seminarian tersebut, enam orang akan berpastoral di Keuskupan Keningau (Leo, Mark, Bob, Alex, Brywin, Nelbert) dan seorang lagi di Keuskupan Agung Kuala Lumpur (Devson).

Catholic Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.