Oleh Christine Cyrill
KOTA PADAWAN — Kuching Campus Ministry (KCM) telah menganjurkan Kuching Campus Ministry Weekend Hangout 2023 (KCMWH) pada 3 hingga 5 November 2023 di Pusat St Lukas, Kota Padawan.
Program hujung minggu itu, yang julung kalinya diadakan pada tahun 2022, telah mendapat sambutan positif daripada kalangan pelajar kampus dan sekali lagi diteruskan pada tahun ini.
Pada tahun ini, acara itu disertai seramai 45 orang pelajar dari pelbagai kampus, termasuk Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Samarahan 1 dan 2, ILKKM Kuching, Politeknik Matang, dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang.
Apakah KCMWH?
Ianya merupakan program hujung minggu yang melibatkan pelajar Katolik dan Kristian dengan objektif untuk mengeratkan perhubungan di antara pelbagai kampus di Keuskupan Agung Kuching.
Program ini disertai dengan input atau sesi yang boleh memberi manfaat kepada peserta merangkumi aspek spiritual (berdoa dan mendekatkan diri dengan Tuhan), pertumbuhan diri (kepimpinan dan pengetahuan), pelayanan (membantu sesama) dan solidariti (perhubungan antara satu dengan yang lain).
KCMWH 2023 bertemakan Growth in Spirit (Bertumbuh dalam Roh) dengan ayat Al-Kitab diambil dari 1 Korintus 16:13, “Berjaga-jagalah! Berdirilah dengan teguh dalam iman! Bersikaplah sebagai laki-laki! Dan tetap kuat! Lakukanlah segala pekerjaanmu dalam kasih!”.
Objektif KCMWH 2023 adalah untuk pengukuhan doa dan peperangan rohani (deliverance) dalam ministri kampus, dan seterusnya bagi memupuk kesefahaman dan mengeratkan hubungan persahabatan antara ministri kampus.
Pada 4 November lalu (Hari Jumaat), program dimulakan dengan sesi suai kenal.
Acara istimewa pada malam tersebut adalah rosari berjalan (walking rosary) dan pondok Bonda Maria yang dihiasi dengan lilin berbentuk rosari.
Keesokan harinya, program diteruskan dengan sesi perkongsian oleh Alexis Bong dari Holy Cross Ministry of Healing and Deliverance bersama 20 ahli mereka.
Sesi tersebut amat membantu peserta untuk lebih mengetahui tentang spiritual welfare dan deliverance.
Pasukan ministri itu turut menyediakan sesi kaunseling atau khidmat nasihat kepada peserta program.
Selain itu, para seminarian yang menjalankan program pastoral turut membantu dalam sesi seperti Lectio Divina dalam kumpulan yang disampaikan oleh Brother Lincoln.
Acara yang menjadi kesukaan peserta pada malam tersebut adalah doa malam mengelilingi ungun api untuk mengakhiri sesi.
Pada 6 November (Hari Ahad), sesi terakhir disampaikan oleh Brother Patrick melalui kisah Perjalanan ke Emmaus dari Lukas 24:13-35.
Program diakhiri dengan Misa Kudus yang dirayakan oleh Fr Ramon Borja, SDB.
Para pelajar diharapkan terus melayani dan bersungguh-sungguh mengukuhkan iman sesama dalam ministri kampus masing-masing.
Antara testimoni atau kesaksian peserta:
“Malam rosari dijalankan dengan lancar dan baik, dapat fokus dan kekal terjaga kerana doa dibuat sambil berjalan mengelilingi tempat terbuka St Lukas. Suasana sepanjang malam rosari amatlah menenangkan dengan dekorasi di grotto yang ‘perfect’!”
“Saya suka sesi ‘Growth in Spirit’, dan sesi tersebut merupakan sesi yang paling diingati sepanjang program.”
“Unggun api pada malam tersebut adalah terbaik!”