Oleh Irvina Joan
KOTA PADAWAN — Lebih 1,300 belia Katolik dari dalam dan luar Paroki Santa Anna menyahut panggilan untuk menyertai Program Belia Paroki Santa Anna (SAYD 2023) anjuran Ministri Belia Paroki Santa Anna di Gereja St Michael, Teng Bukap pada 15 hingga 17 September 2023.
“Kita berkumpul di sini merupakan suatu panggilan bagi setiap kita untuk memusatkan diri kita kepada Tuhan Yesus,” kata Friar Don Don Romero Ramerez, OFM dalam khutbahnya di Misa Pembukaan SAYD bersama umat pada 15 September.
“Setiap sesi yang dijalankan sepanjang SAYD 2023 membolehkan belia untuk mengalami Tuhan secara peribadi,” katanya.
Antara sesi yang diadakan untuk membantu belia mengenali panggilan kepada kehidupan kepaderian dan religius, termasuk sesi Saat Teduh bagi Panggilan Hidup.
Seterusnya, Fr Eugenio Gocela Maglasang dari Perkumpulan Salesian Don Bosco (SDB), Friar Don Don Romero Ramerez, OFM dari Perkumpulan Fransiskan, dan Fr Robert Jissem dari Jawatankuasa Panggilan Keuskupan Agung Kuching turut berkongsi mengenai panggilan kehidupan dan menggalakkan para belia untuk membuka hati kepada panggilan Tuhan bagi mereka.
Selain itu, sesi perkongsian disampaikan oleh Sr Susan Dulang, SSFS yang bertajuk ‘Mengapa Saya Bangga Menjadi Seorang Katolik’ untuk memberi pendedahan dan memperkukuh identiti Katolik para belia.
Dalam Doa Vigil Rosari kepada Bonda Maria yang diadakan selepas Misa Senja bersama umat, Friar Don Don mengajak para peserta untuk berdoa bersama Bonda Maria agar diberi kekuatan bagi menempuhi cabaran.
Sementara itu, Evenlixandra, seorang belia dari Kampung Jambu, Padawan berasa amat bersyukur kerana dapat mendekatkan diri dan mengenali Tuhan dengan lebih mendalam melalui aktiviti yang dijalankan di SAYD meskipun dia bakal menduduki Peperiksaan Percubaan SPM.
Reynold Macro, seorang belia dari Sarawak Skills Christian Fellowship turut menyatakan bahawa dia mengalami pengalaman yang hebat sepanjang SAYD 2023 kerana diberi peluang untuk melayani bersama rakan-rakannya.
John Thomason, seorang belia yang juga Calon Penguatan di Gereja St Ann, juga berasa teruja kerana melalui SAYD 2023, dia dapat mengeratkan hubungan dengan kawan-kawan calon penguatan yang lain.
SAYD 2023 turut dimeriahkan dengan Konsert Rohani Pujian diterajui Grace Notes dari Ministri Muzik Zon Simpok dan St Ann Got Talent yang menyaksikan 10 peserta membuat persembahan berkonsepkan kerohanian.
Para belia juga melibatkan diri secara aktif dalam muzik puji-pujian serta aktiviti berkumpulan yang telah diadakan seperti Tujuh Perhentian, Perjalanan ke Emmaus, Jalan Salib dan sukaneka.
Aktiviti kemuncak SAYD 2023 ialah penyampaian hadiah oleh Friar Don Don kepada pemenang sukaneka, diikuti pengumuman mengenai tuan rumah SAYD 2024 melalui gimik video.
Program Belia Paroki Santa Anna atau lebih dikenali sebagai St Ann Youth Day (SAYD) merupakan acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh belia Santa Anna Kota Padawan yang menggalakkan belia mendekatkan diri mereka dengan Tuhan dan memperdalamkan iman mereka. Nantikan maklumat lanjut di laman media sosial St Ann Catholic Church Kota Padawan (Facebook) dan stann10kotapadawan (Instagram) mengenai SAYD 2024 yang bakal diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Sinjok.