Kursus Alpha pengalaman menakjubkan

Oleh Mabel Salin

KOTA PADAWAN — Seramai 40 orang telah menyertai Kursus Alpha dalam Bahasa Malaysia yang dijalankan buat kali kelapan Paroki Santa Anna, Kota Padawan. 

Kursus tersebut berlangsung pada 14 hingga 29 Oktober lepas di Chapel St Joachim, Batu 12 di sini.

Kursus itu dilancarkan pada 1 Oktober oleh Rektor Paroki, Friar Don Don Ramerez, OFM dan semasa pelancaran tersebut, beliau telah menyeru agar ramai umat menyertai program tersebut bagi pembentukan iman dan agar umat menyelami iman dan makna kehidupan. 

Sebelum kursus berlangsung, sesi latihan turut diadakan buat pembimbing kumpulan dan pembantu Alpha. 

Sesi ceramah yang dijalankan semasa kursus menggunakan video Alpha Film Series dalam Bahasa Malaysia dan para tetamu turut menjalani sesi perkongsian dalam kumpulan. 

Selain itu, tetamu Alpha turut diberi peluang untuk menerima Sakramen Rekonsiliasi bagi menyediakan diri untuk menerima kuasa Roh Kudus, dan seterusnya mereka juga mengalami pengalaman berdoa dalam kelompok dan ministering atau melayan iaitu sesi berdoa dan mendoakan rakan-rakan dalam kumpulan masing-masing. 

Pelbagai aktiviti selingan juga diadakan seperti nyanyian penyembahan dan juga permainan. 

Semua tetamu yang menyertai kursus Alpha pada kali ini menyatakan keinginan mereka untuk melayani dalam program Kursus Alpha yang akan datang dan menjadi lebih berdedikasi dalam ministri atau pelayanan yang mereka sertai di gereja. 

Di bawah adalah beberapa testimoni daripada tetamu Alpha BM-8 Paroki Santa Anna: 

“Saya merasakan diri saya diperbaharui dan diberi lebih keyakinan diri selepas setiap topik Alpha.” – Lawrence Dillon, 16 tahun 

“Ini merupakan pengalaman Alpha pertama saya. Syukur kerana saya telah diberi peluang untuk mendalami keimanan dan menambahkan pengetahuan dan kepercayaan saya.” – Gwyneta Olivia, 23 tahun 

“Alpha memberikan sebuah pengalaman yang indah kepada saya.” – Eric Eses, 54 tahun

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.