Oleh Shannon Wei
“Sinodaliti adalah satu perjalanan eklesia yang ada jiwa, iaitu Roh Kudus. Tanpa Roh Kudus, tiada sinodaliti.” – Pope Francis kepada Suruhanjaya Teologi Antarabangsa, 29 November 2019.
Dari 25 September hingga 2 Oktober 2023, saya diberkati dengan peluang untuk meluangkan masa seminggu di Rom dan Kota Vatikan sebagai peserta dalam program latihan tahun ketiga yang dianjurkan oleh Dikasteri Komunikasi. Program itu, yang bertajuk “Komunikasi Iman dalam Dunia Digital—Satu Perspektif Sinodal”, bertujuan untuk meneroka amalan terbaik dalam pembentukan rohani dan mencetuskan inspirasi bagi cara-cara komunikasi iman yang baharu dan berkesan menerusi media digital.
Program ini menghimpunkan 16 komunikator muda dari berbagai sudut dunia, berusia antara 24 hingga 33 tahun, dan kebanyakan mereka telah bertemu dengan satu sama lain buat pertama kali. Kumpulan kami mewakili pelbagai budaya dan rantau, kebanyakannya berasal dari Asia namun menjangkau negara sejauh Nigeria, Kenya, Zimbabwe dan Brazil.
Latihan mendalam ini telah memupuk di dalam diri saya satu matlamat baharu untuk melayani Tuhan dan Gereja-Nya, terutamanya dalam bidang komunikasi, sebagai seorang pembantu media di Today’s Catholic. Merenungkan perjalanan sinodal ini, di sini adalah beberapa pemahaman paling bermakna yang saya terima dari program ini:
1. Mendengar dengan ‘telinga hati’
Disebabkan oleh kepelbagaian kami sebagai sebuah kumpulan, sekali sekala timbul beberapa halangan dari segi budaya dan bahasa. Bagaimanapun, kuasa mendengar mengubah cabaran ini menjadi meja bulat kisah iman yang bertenaga dan memberi inspirasi. Hadir sepenuhnya bagi satu sama lain mewujudkan persekitaran di mana kita menyelidiki perbualan yang bermakna, dan beberapa peserta lain dari rantau yang bergolak kerana konflik, penindasan jantina dan kemiskinan selain perkara lain, dengan berani menceritakan tentang pengalaman peribadi.
Menerusi keterbukaan ini, ia membolehkan kami untuk lebih memahami perspektif dan pengalaman satu sama lain, yang mengundang inspirasi dan kekuatan, dan pada waktu yang sama mengayakan perjalanan kolektif kami sebagai saudara-saudari dalam Kristus. Dengan mengenali kepentingan untuk menjadi pendengar yang tekun, setiap daripada kita boleh menyediakan platform bagi banyak cerita lain untuk didengari, supaya kita dapat berjalan bersama dalam memahami dan belajar daripada satu sama lain.
2. Sinodaliti tidak eksklusif, ia adalah inklusif
Sepanjang lawatan kami selama seminggu, kami bukan sahaja menjalin hubungan bermakna di dalam kumpulan kami, tetapi juga mengalami banyak pertemuan yang mengayakan dengan orang di luar kumpulan kami, masing-masing didorong oleh panggilan masing-masing yang unik dan berhimpun di Rom dari semua lapisan masyarakat.
Interaksi ini dilanjutkan kepada umat awam yang setia melayan dalam berbagai organisasi dan dikasteri Vatikan, selain para paderi dan religius dari berbagai perkumpulan dalam Gereja. Antara kebanyakan peranan yang signifikan dalam misi mereka adalah memerangi pemerdagangan manusia dan memperkasakan wanita. Kami juga dirahmati kerana sempat berjumpa dengan beberapa kardinal yang baharu dilantik selepas konsistori pada 30 September lalu selain satu pertemuan sekali dalam hayat dengan Pope Francis sewaktu Pertemuan Umum pada Hari Rabu.
Pengalaman yang mesra dan mengalu-alukan ini menjadi peringatan bahawa semua kita terikat kepada satu sama lain dalam komuni, penyertaan dan misi untuk melayan Tuhan. Dengan interaksi ini menjelang Perhimpunan Agung Biasa Sinod Uskup-Uskup Ke-16, ia meninggalkan kebanyakan kami komunikator muda dengan satu matlamat yang besar dan rasa kekitaan yang semakin mendalam dalam Gereja.
3. Kesenyapan amat penting sekali
Dalam kata-kata Bapa Suci Pope Francis: “Kesenyapan, dalam komuniti eklesia, membolehkan komunikasi persaudaraan, di mana Roh Kudus menghimpunkan pelbagai pandangan.”
Ketika kami mengambil bahagian dalam vigil doa ekumeni ‘Together’ yang diadakan di Dataran St Peter pada petang 30 September lalu, ia sesungguhnya satu pengalaman yang kuat dan menyentuh hati terutamanya sewaktu doa peribadi yang senyap selama lapan minit.
Tempoh lapan minit ini bertindak sebagai satu masa yang menyatukan, yang menghimpunkan pelbagai pemimpi Kristian termasuk Bapa Suci, wakil-wakil dari Gereja Anglikan, Gereja Methodist, Gereja Orthodox dan mazhab lain. Ribuan umat, baik secara peribadi dan menerusi striming secara langsung, turut menyertai doa kolektif ini.
Pada waktu ini, ketika matahari turun di ufuk, saya juga menyaksikan sesuatu yang indah dan menguatkan iman—seekor burung yang terbang dengan indah di langit—satu peringatan sayu akan kehadiran Roh Kudus di perhimpunan ini, yang menyatukan kami dalam pengalaman ini.
4. Terima ‘belajar daripada amalan’
Dengan menerima proses ‘belajar daripada amalan’, ia adalah menyedari bahawa sinodaliti bukanlah satu peristiwa sekali sahaja tetapi satu perjalanan yang berterusan. Sepanjang lawatan kami selama seminggu, kami menyelidiki bukan sahaja sejarah kepercayaan Katolik yang kaya, tetapi juga melihat dengan lebih dekat evolusi komunikasi dan penceritaan di dalam Vatikan, yang mejangkau era cetak bersejarah hingga zaman siaran dan digital yang moden.
Sebagai komunikator iman dalam dunia digital, kami belajar bahawa mendengar satu sama lain dan penceritaan berjalan seiringan bagi misi kami dengan menggunakan alat yang ada bagi kami. Perjalanan itu menuntut adunan kreativiti, kepercayaan dan komitmen untuk bekerja bersama dalam satu semangat kerjasama dan komuni, terutamanya ketika kita berjalan bersama Gereja pada tahun-tahun mendatang.
5. Sentiasa terima cara hidup sinodal—pergilah dan sebar Firman Tuhan
“Komuni, penyertaan, misi”—tiga perkataan ini bergema setiap kali dan di mana sahaja sinod disebut. Menerima cara sinodal bukan sahaja satu pilihan, tetapi satu panggilan untuk mengambil bahagian, satu pelawaan untuk membiarkan Roh Kudus membimbing kita menuju hubungan yang lebih kuat dan lebih erat dengan satu sama lain, dengan kasih yang menyatukan bagi Kristus dan Gereja-Nya.
Selain itu, sebagai komunikator, semua kita adalah pempengaruh—besar atau kecil. Tidak kira apa pun yang kita sebut atau buat, ada seseorang yang melihat, seseorang yang dipengaruhi kita. Jadi marilah kita berjalan dalam cahaya Tuhan sambil mendengar dan belajar daripada satu sama lain dan berkongsi kesatuan Roh Kudus!
(Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: Embracing synodality as a young Malaysian Communicator