Pelancaran Kutipan Dana Pembinaan Pusat Pastoral Paroki St Theresa

UNTUK DANA… Dennis Sung (dua kanan) menunjukkan baju T-shirt cenderamata sambil diperhatikan oleh Msgr William (tiga kanan) dan Fr Lazarus (kanan).

Oleh Jacquiline Ebby

SERIAN — Msgr William Sabang telah dijemput dengan penuh hormat untuk melancarkan Dana Pembinaan Pusat Pastoral Paroki St Theresa pada malam 2 September yang lalu.

Upacara yang sederhana tetapi penuh berkat itu dihadiri ramai ahli Majlis Pastoral Paroki, pemimpin zon berkenaan, pengerusi Ketua Gereja Kampung (KGK), dan pengerusi Basic Christian Community (BCC) selain katekis, religius dan paderi paroki.

PELANCARAN… Msgr William Sabang menyampaikan ucapan pada Pelancaran Kutipan Dana Pembinaan Pusat Pastoral Paroki St Theresa, Serian.

Dalam ucapannya, Msgr William menggalakkan semua untuk menderma dan mengatakan bahawa sesiapa yang menabur sedikit akan menuai sedikit juga, dan sesiapa yang menabur dengan banyak akan menuai dengan banyak juga.

Setiap orang harus memberi sebanyak yang telah diputuskan dengan inisiatif sendiri, bukan dengan rasa ragu-ragu atau paksaan, kerana Allah berkenan kepada penderma yang murah hati.

Dalam ucapan seterusnya yang disampaikan oleh Rektor Gereja St Theresa, Fr Lazarus Swinie mengatakan bahawa seluruh tanah bagi Pusat Pastoral Paroki telah dibersihkan, dan penimbusan tanah sehingga melebihi paras banjir sudah selesai.

Disebabkan oleh kerja itu, sumbangan daripada semua umat yang terkumpul selama 24 tahun lepas hampir habis dibelanjakan.

Dalam ucapannya sebelum itu, Pengerusi Majlis Pastoral Paroki merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Pusat Pastoral Paroki, Dennis Sung, menggesa setiap orang untuk memberikan sokongan dan kerjasama yang sama seperti yang telah ditunjukkan dengan baik bagi projek kutipan dana yang telah dijalankan oleh jawatankuasa sebelum ini.

Beliau mengatakan bahawa fasa pertama, iaitu pembersihan tapak dan penimbusan tanah, sudah selesai.

“Kami kini sedang menunggu kelulusan daripada pelbagai jabatan kerajaan sebelum kami boleh membuka tender. Sementara menunggu, kami perlu menyediakan anggaran jumlah perbelanjaan bagi projek ini.

“Oleh itu, jawatankuasa akan terus mengadakan aktiviti mengutip dana dengan harapan semua umat di paroki ini akan memberi sokongan sepenuhnya,” katanya.

Upacara pelancaran diakhiri dengan sejumlah besar sumbangan yang diterima untuk memulakan kempen mengutip dana.

Untuk makluman, semua projek pengumpulan dana yang baharu dicadangkan akan dilaksanakan satu persatu selepas ini.

Projek yang dicadangkan termasuk Sumbangan Bulanan Keluarga, penjualan baju T-shirt cenderamata, cabutan bertuah yang diadakan pada 30 September lepas, Majlis Makan Malam Pengumpulan Dana pada 6 April 2024, Joggerton pada tahun 2025, dan lain-lain lagi.

Jawatankuasa Pembinaan juga mengucapkan setinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menyumbang kepada projek itu.

Antaranya adalah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang telah bersetuju untuk membantu melalui Unit Pekara Agama Lain (UNIFOR), dan akhbar yang memberikan ruangan untuk melaporkan perkembangan pusat itu, selain semua yang berterusan memberikan komitmen dari segi kewangan kepada projek tersebut. Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyerahkan sumbangan mereka kepada Pejabat Paroki St Theresa Serian atau dengan membuat pemindahan dana dalam talian ke nombor akaun bank 03300013158 di Hong Leong Bank, Serian untuk DANA PASTORAL ST THERESA.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.