Teenagers’ Rally 2023: Remaja Dahagakan Tuhan

MEMULIAKAN TUHAN… Acara puji dan sembah yang dipimpin oleh Christ Teens, Miri. (Gambar: CAA Collective)

Oleh Natasha Ch’ng

MIRI — Teenagers’ Rally (dahulu dikenali sebagai Youth Rally) merupakan satu perhimpunan tahunan bagi golongan remaja untuk mengetahui lebih lanjut tentang kuasa, kebesaran dan keagungan Tuhan, selanjutnya mengalami Tuhan secara peribadi dan intim. Ia dianjurkan oleh pasukan Christ Teens, yang secara aktif melibatkan golongan belia, kebanyakannya juga remaja, dalam penganjuran dan pengendalian program selama tiga hari itu.

Teenagers’ Rally 2023 diadakan di Hotel Imperial, Miri dari 31 Ogos hingga 2 September yang lepas. Lebih 800 peserta dari berbagai paroki di Keuskupan Miri (Miri, Batu Niah, Bintulu, Limbang, Sungai Asap, Tatau, Sebauh, Marudi, Long San, Lapok dan Belaga) dan beberapa peserta dari keuskupan lain menghadiri rapat umum itu yang bertemakan The Lord is My Refuge (Tuhan adalah Pelindunganku).

Rapat 2013 itu terutamanya signifikan kerana ia merupakan rapat umum sepenuhnya yang pertama selepas tahun-tahun pandemik yang meninggalkan impak yang amat negatif ke atas kanak-kanak dari segi emosi dan rohani. Maka itu, tema 2023, “Tuhan adalah pelindungan dan kekuatan kita, bantuan yang benar-benar ada dalam kesusahan” (Mazmur 46:1) telah dipilih. Fr Sylvester Ngau dan Fr Henry Saleh dari Paroki Katedral St Joseph di sini membahagikan pemahaman mereka yang mendalam dengan para remaja tentang bagaimana mereka dapat mengetahui bahawa Tuhan adalah tempat pelindungan dan sumber kekuatan yang memadai dan berkekalan.

Banyak topik diliputi pada perhimpunan selama tiga hari itu. Ceramah pertama, Life Behind My Mask (Kehidupan Di Sebalik Topeng Aku), menerima realiti bahawa kebanyakan kita bersembunyi di sebalik topeng yang kita ciptakan untuk diri sendiri bagi melindungi diri daripada situasi hidup yang tidak menyenangkan. Fr Sylvester memberi jaminan kepada kita bahawa “Yesus mengasihi kita seadanya dan mahu kita menjadi siapa yang Dia ciptakan”.

AMIN… Golongan remaja memberi reaksi kepada ceramah Fr Henry.

Dalam ceramahnya, ‘He’ll Call On Me and I Will Answer Him’ (Dia Akan Memanggil Aku dan Aku Akan Menjawab-Nya), Fr Henry mengingatkan kita bahawa tidak kira apa pun cabaran yang mendatang, kita mesti ingat bahawa Yesus sentiasa ada di sisi kita, memegang tangan kita, melindungi kita daripada sebarang bahaya. Apabila kita memberikan kepercayaan kepada-Nya, kita akan mendapatkan kekuatan dan keberanian yang kita perlukan dalam hidup ini. Yesus adalah satu-satunya penyelamatan kita. Walaupun Tuhan memberikan kehendak bebas (free will) kepada umat manusia, Tuhan sentiasa sabar menunggu kita untuk menyahut jemputan-Nya kepada penyelamatan.

Dalam ceramah ‘Selfless, not Selfie’ (Tidak Mementingkan Diri, Bukan Mementingkan Diri), Fr Henry bercakap tentang kasih dan pelayanan. Sebagai anak-anak Tuhan, fokus kita harus diarahkan ke luar kepada sesama kita dan bukan diarahkan ke dalam kepada diri sendiri. Semua kita dipanggil untuk mengasihi dan melayan Tuhan dan sesama seperti yang diajar oleh Yesus kepada kita dengan dua suruhan agung dalam Injil Matius 22:36-40 dan bukannya mementingkan diri. Dalam pelayanan sepanjang hayat yang diabadikan kepada Tuhan dan manusia, Fr Henry mengalu-alukan golongan muda untuk menimbang menjadi paderi atau religius. 

PENOPANGAN… Fr Sylvester berdoa untuk para remaja.

“Setialah kepada Tuhan di mana sahaja anda berada sekarang, dengan memberikan yang terbaik kepada-Nya” adalah pesanan daripada Fr Sylvester kepada golongan remaja pada hujung ceramah Maximum Strength For God (Kekuatan Maksimum Bagi Tuhan). Kita harus memberikan kepada Tuhan diri kita sepenuhnya, sukacita dan kesedihan kita, kebimbangan dan keresahan kita, kemenangan dan kekecewaan kita, segalanya. Pada setiap waktu, kita perlu memberikan segalanya demi Tuhan dan pada setiap waktu, Tuhan mesti menjadi yang pertama dalam hidup kita.

Sepanjang program, para peserta remaja meluahkan perasaan mereka dan pergelutan yang mereka alami pada waktu pandemik apabila kehidupan yang mereka anggap ‘normal’ seakan-akan lenyap dalam sekelip mata. Mereka juga belajar untuk bersikap terbuka dan menyerahkan semua emosi mereka yang terpendam sehingga mereka mengalami pekerjaan Roh Kudus dalam diri mereka. Sewaktu altar call dibuat, sambutan begitu hangat sekali apabila golongan muda menerima Yesus untuk menjadi Penyelamat dan Penyembuh mereka, dan meletakkan semua beban dan penderitaan mereka yang tersembunyi di kaki-Nya. Semasa sesi penyembuhan, ramai mengalami penyembuhan dalam roh dan emosi mereka. Roh Kudus memenuhi dewan pada waktu acara puji dan sembah setiap hari.

Beberapa aktiviti menyeronokkan turut diadakan dan hadiah telah disampaikan. Pasukan dari beberapa paroki bersaing untuk tempat dalam kuiz Al-Kitab, kuiz kepercayaan dan kuiz memori kitab. Pertandingan drama bertajuk Mercy menyaksikan lakonan yang hebat oleh pasukan dari tiga paroki.

Mercy – sebuah pasukan drama sedang beraksi.

Acara selama tiga hari itu berakhir dengan Misa yang dirayakan oleh Fr Sylvester, Fr Henry dan Fr Stephen Esguerra, seorang paderi pelawat dari Keuskupan Sandakan.

Apabila para peserta kembali ke tempat asal mereka, mereka diharapkan sudah disegarkan dalam Roh Kudus, menemukan hubungan yang lebih erat dengan Tuhan dan kepercayaan mereka dinyalakan semula, menanggapi matlamat dan misi, mendapat rakan baharu, dan mengalami solidariti dengan remaja Katolik lain.

Apakah pendapat para remaja?

  1. “Ceramah benar-benar menyentuh saya dan ada kaitan dengan saya dalam banyak perkara, terutamanya dalam aspek kehidupan sebagai seorang belia Kristian. Saya sangat kagum dengan Fr Sylvester dan Fr Henry kerana mereka dapat menyampaikan ceramah dengan menarik kepada belia namun mendalam dari segi rohani.” (Gadis berusia 19 tahun)
  2. Saya rasa lebih dekat dengan Tuhan selepas rapat ini. Saya mengalami kehadiran-Nya pada waktu sesi penyembuhan.” (Remaja lelaki berusia 14 tahun)
  3. Rapat ini benar-benar menceriakan hari saya. Daripada orang yang tidak tahu apa-apa sebelum ini, saya sekarang lebih faham tentang siapa Tuhan sepatutnya dalam hidup saya. Saya harap saya dapat ikut serta sekali lagi pada tahun depan.” (Remaja lelaki berusia 15 tahun)
  4. Saya rasa begitu gembira dan saya begitu seronok sekali, dan saya sekarang tahu bahawa Yesus adalah penyelamat dan penyembuh saya.” (Gadis berusia 15 tahun)

(Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: Teenagers’ Rally 2023 – Teens’ Thirst for God

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.