Oleh Sophia Soo
MIRI — Sr Martina Nari Sang merayakan jubli perak kaul religius beliau pada 27 Ogos 2023 di Gereja Mater Dei di Lutong, Miri.
Uskup Richard Ng di Miri memimpin Misa Jubli beliau bersama empat paderi. Ratusan jemaat, termasuk rakan-rakan dan keluarga jubilarian perak itu, berhimpun di perayaan Ekaristi yang disusuli majlis makan malam dan persembahan tarian di dewan gereja.
Sr Martina dilahirkan pada 3 Mac 1972 di Teru, Tinjar, Baram di mana beliau membesar bersama ibu bapanya dan 11 adik beradik berbangsa Iban. Beliau dibaptis sebagai orang Katolik ketika beliau berada di Tingkatan Empat. Selepas Tingkatan Lima, beliau menyertai satu seminar komitmen di Miri. Selepas seminar itu, beliau pulang ke kampungnya untuk bekerja sebagai pembantu kedai dan guru tadika.
Beliau menyertai Perkumpulan Fransiskan pada 1993. Selepas formasi selama lima tahun, beliau menerima Kaul Pertama pada 29 Jun 1998. Seterusnya pada 1 Ogos 2005, beliau menerima Kaul Terakhir dengan cincin.
Apakah dan siapakah yang memberi inspirasi kepada anda untuk memilih kehidupan religius?
Firman Tuhan dalam Perjanjian Baharu mengenai kehidupan Yesus terutamanya penyerahan diri-Nya yang sepenuhnya sebagai korban, dan lagu Here I Am Lord.
Saya juga mendapat inspirasi daripada rakan sekolah saya yang sentiasa berdoa dan sering menghadiri Misa Hari Minggu dan kelompok doa.
Bilakah dan bagaimanakah anda menerima panggilan anda untuk menjadi seorang rohaniwati?
Saya tersentuh dengan lagu Here I Am Lord di Seminar Komitmen di Miri.
Saya menitiskan air mata setiap kali kami menyanyikan lagu ini, apabila Tuhan kita bertanya “siapakah yang boleh Aku utuskan?” dan tiada yang menjawab-Nya. Suatu hari saya memberitahu diri sendiri dan Tuhan Yesus, “Aku di sini, Tuhan. Adakah ia Aku, Tuhan? Aku telah mendengar-Mu memanggil pada waktu malam. Aku akan pergi, Tuhan, kalau Engkau memimpin aku. Aku akan meletakkan umat-Mu di dalam hatiku”.
Selepas seminar itu, saya berfikir saya akan melayan Tuhan dengan memasuki kehidupan religius tetapi selama dua tahun, saya tinggal dan bekerja di kampung saya. Saya lupa tentang keinginan saya untuk menyerahkan kehidupan saya dengan melayan-Nya dan umat-Nya.
Hinggalah saya menghadiri satu Misa Hari Minggu. Saya sedang menatap Tuhan kita di atas Salib apabila saya mendengar panggilan-Nya, “Siapakah yang boleh Aku utuskan?” Dengan mata yang bergenangan air mata, saya patuh dan menjawab panggilan Tuhan bagi saya.
Saya menyertai Perkumpulan Sisters of St Francis of Sarawak (SSFS) pada 1993 dan oleh rahmat Tuhan, saya kekal sebagai seorang rohaniwati hingga ke hari ini. ‘Tuhanku dan Allahku’ (Injil Yohanes 20:28).
Apakah yang menarik anda kepada perkumpulan anda?
St Francis di Assisi, pengasas perkumpulan kami, kerohanian Fransiskan dan jalan hidupnya, amalan kesucian, kemiskinan dan kepatuhan dalam komuniti.
Bagaimanakah hari biasa bagi anda?
Sebagai katekis sepenuh masa di Katedral St Joseph, Miri, saya menyantuni umat dengan membahagikan Firman Tuhan. Saya membantu mereka dalam formasi iman mereka. Saya melawat keluarga yang kurang bernasib baik dan anggota komuniti orang pekak kerana saya tahu bagaimana untuk berkomunikasi dengan mereka dalam bahasa isyarat.
Apakah peranan yang anda mainkan dalam komuniti anda?
Saya adalah seorang Animator Iman.
Apakah hobi dan minat anda?
Hiking, makan dan meluangkan masa bersama rakan-rakan saya dan komuniti, berkongsi pengalaman hidup kami dan menyokong satu sama lain dalam iman.
Apakah nasihat yang akan anda berikan kepada seseorang yang menimbang kehidupan religius?
Sentiasa rasa bersyukur bagi kehidupan yang Tuhan berikan kepada setiap daripada kita. Layanlah kehidupan dengan hormat dan sentiasa panjat kesyukuran bagi apa pun pengalaman yang anda lalui dalam perjalanan anda sebagai penziarah di bumi. Ingatlah bahawa Tuhan tidak pernah membiarkan anda bersendirian. Dia sentiasa bersama anda dan Dia mengasihi anda.
Panggilan religius adalah panggilan ilahi, timbangkanlah kerana Tuhan memerlukan seseorang untuk diutuskan ke ladang anggur-Nya. “Siapakah yang boleh Aku utuskan?” Giliran anda pula untuk menjawab sekarang.
(Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: Franciscan Sister Martina celebrates Silver Jubilee of Religious Profession