Oleh Shannon Wei
KUCHING — Pada 9 September yang lalu, Misa Kesyukuran telah dirayakan di chapel rumah persaraan Chapel Bonda Maria, Stutong untuk memperingati ulang tahun pentahbisan kepaderian ke-36 Fr Martin Wong.
Dalam homili beliau, Fr Martin menekankan kepada kongregasi yang kecil perihal kepentingan menghargai warga emas. Beliau mengingatkan mereka tentang peranan tidak ternilai yang mereka mainkan dalam komuniti dan pada waktu yang sama menggalakkan mereka untuk sentiasa berdoa agar lebih ramai kanak-kanak menjalin hubungan yang semakin erat dengan Tuhan.
Pada hujung Misa, jemaat paroki, yang menghargai paderi yang mereka sayangi, mengejutkannya dengan kek kesyukuran dan sejambak bunga.
Perayaan diteruskan dengan nyanyian secara langsung dan deklamasi sajak Footprints in the Sand yang menyenangkan dan bergema dengan perjalanan rohani Fr Martin sendiri.
Fr Martin pertama kali menemukan panggilannya pada usia 15 tahun ketika beliau memerhatikan kebaktian harian ibunya kepada rosari.
Pada usia 23 tahun, beliau merasakan satu lagi tarikan kepada Gereja ketika beliau bekerja dalam industri pembinaan.
Beliau melanjutkan panggilan itu di Seminari Utama St Francis Xavier, Singapura pada tahun 1981, diikuti Seminari Utama Kolej St Peter, Kuching pada pertengahan tahun 1983.
Ini membawa kepada pentahbisannya sebagai diakon di Gereja St Mary, Sandakan, diikuti pentahbisan kepaderiannya di Gereja Holy Trinity, Tawau oleh Uskup John Lee pada tahun 1988.
Beliau telah mengabdikan diri kepada tugasan pastoral dengan mengajar katekisme kepada golongan muda untuk memupuk pertumbuhan rohani generasi seterusnya.
(Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: Fr Martin Wong’s 36th Priestly Ordination Anniversary: A Heartfelt Thanksgiving