Oleh Maria Amella, KAYC
KUCHING — Buat julung kalinya, ministri pelayanan belia Katolik telah mengadakan Retreat Pelayan Belia Sarawak 2023 pada peringkat negeri.
Program tersebut diadakan dari 11 hingga 14 September lalu dan dihadiri 20 peserta yang datang dari Keuskupan Agung Kuching dan Keuskupan Miri.
Ia dianjurkan oleh Suruhanjaya Belia Keuskupan Agung Kuching (KAYC) yang diketuai Fr Ramon Borja, SDB dengan kolaborasi bersama Kumpulan YAST yang diketuai Esther Law.
Stephen Borja telah dijemput khas dari Filipina untuk menyampaikan ilmu dan pengalamannya kepada para pelayan belia.
Program itu mensasarkan pelayan belia sepenuh masa dan ketua belia pada peringkat paroki.
Inisiatif untuk menjalankan retreat pada peringkat Sarawak itu adalah hasil daripada kenyataan Jawatankuasa Pelayan Belia Katolik Malaysia (MCYMC) tentang kepentingan “menjaga” pelayan belia supaya mereka boleh “menjaga lebih lagi”.
Maka itu, sebagai ketetapan daripada perkara tersebut, retreat dan formasi pelayan belia dikelolakan pada Peringkat Semenanjung, Sabah dan Sarawak sebagai program tahunan.
Kenapa HORNBILL (burung kenyalang)?
Burung kenyalang seperti yang kita ketahui merupakan lambang negeri Sarawak.
Ia juga diketahui bersifat setia, pengasih dan pemurah terhadap pasangan dan anak-anaknya.
Ia diilhamkan daripada Injil Matius 6:26, “Lihatlah burung di udara, yang tidak menyemai atau menuai atau menyimpan hasil di jelapang, namun Bapamu yang di syurga memberinya makan. Bukankah kamu lebih bernilai daripada burung?”
Seperti burung enggang, para pelayan belia Katolik di Sarawak diharapkan dapat mendekatkan diri kepada Kristus dan mencontohi hidup-Nya yang melayan dengan kasih, terutamanya kepada golongan muda.
Empat sudut penting dalam pelayanan belia adalah Rohani, Perkembangan Diri, Pelayanan dan Solidariti (Four corners of Youth Ministry @ 4S—Spiritual, Self-Growth, Service, Solidarity) yang menjadi intipati retreat dan formasi pada sesi kali ini.
Salah satu topik yang memberi impak kepada peserta adalah penerangan tentang pelayanan di mana melalui perumpamaan ‘Orang Samaria Yang Baik’, empat aspek penting perlu dititikberatkan.
Pertama adalah kesedaran tentang kepentingan untuk memiliki sikap peduli terhadap orang di sekitar kita.
Kedua adalah belas kasihan yang sangat penting dalam pelayanan agar kita dapat menyelami dan membantu orang yang memerlukan kita.
Ketiga adalah tindakan bertanggungjawab, yang bermaksud mengetahui apa tindakan yang perlu diambil dan kenapa pentingnya untuk mengambil tindakan.
Terakhir sekali adalah kolaborasi ataupun kerjasama, iaitu saling membantu dan membangun bersama sebagai anak-anak Tuhan.
Program pada hari terakhir disudahi dengan Misa Kudus dan pemberkatan serta penyampaian sijil kepada semua peserta.
KAYC mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyampai, gereja dan penderma yang telah memberikan sokongan dan bantuan untuk memastikan retreat dan formasi itu berjalan dengan lancar.
Golongan belia diharapkan terus melayan dengan semangat dan sukacita Kristus.